BERMULA dengan kenaikan harga beras import, kini pengguna terpaksa berdepan pula dengan harga bawang dan cili kering yang didakwa naik bermula minggu ini.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa negeri mendapati berlaku kenaikan harga barang mentah itu sehingga 40 peratus menyebabkan ramai pembeli merungut.
Ikuti kupasan isu ini bersama wartawan SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI, NORAWAZNI YUSOF, SHAHRIZAL AHMAD ZAINI, NURUL HIDAYAH HAMID, NURFARDLINA IZZATI MOKTAR, SAIFULLAH AHMAD, NORAFIDAH ASSAN dan NOR FARHANA YAACOB.
Peniaga kedai makan terpaksa naikkan harga
Di Pahang, pengguna menyifatkan kenaikan harga barangan keperluan meningkat dengan ketara selepas episod kenaikan harga beras pada Isnin lalu.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya dan kedai runcit mendapati harga bawang merah, bawang putih dan cili kering naik antara 30 hingga 40 peratus.
Harga bawang merah yang sebelum ini RM3 hingga RM6 sekilogram kini naik kepada antara RM9 hingga RM13.
Bawang putih yang sebelum ini hanya RM4 sekilogram turut naik ke RM9 manakala cili kering RM13 sekilogram naik mendadak kepada lebih RM21.
Peniaga kedai makan, Noor Azliha Saidi, 35, mendakwa, kenaikan harga bahan mentah berkenaan menyebabkan kos operasi kedainya meningkat.
"Harga barang naik sekarang, teruk sangat (keadaannya) kami ini. Minggu lalu, beras naik, kali ini harga bawang merah, bawang putih, bawang holland dan cili kering pula naik.
"Jual mahal orang (pengguna) marah, tapi hakikatnya kita berdepan dengan kenaikan barang berganda," katanya ketika ditemui di gerai makan Kompleks Hasil Laut Tanjung Api pada Sabtu.
Bagi peniaga kedai runcit, Siti Norhaslina Amran, 34, mengakui kenaikan barang terbabit ketara apabila berlaku peningkatan sehingga 40 peratus berbanding awal tahun lalu.
Menurutnya, kerajaan seharusnya membuat hebahan kepada rakyat secara jelas setiap barang keperluan yang berlaku kenaikan.
"Kerajaan kena umum bukan naik secara senyap-senyap dan kami peniaga terpaksa hadap pembeli yang mendakwa kami sengaja naikkan harga barang," ujarnya yang sudah 10 tahun mengusahakan kedai runcit.
Cake terima aduan setiap hari
Di Kedah, Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mengesan terdapat kenaikan harga beberapa barangan keperluan termasuk cili kering di pasaran di sekitar bandar Alor Setar.
Tinjauan Sinar Ahad mendapati harga cili kering yang sebelum ini RM24 sekilogram naik kepada lebih RM27 hingga RM38 sekilogram.
Presiden Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, harga cili kering, bawang merah dan bawang putih didapati naik antara 30 hingga 40 peratus.
Mohamad Yusrizal berkata, beliau menerima maklumat tentang kenaikan harga setiap hari daripada Skuad Pengguna Cake di seluruh daerah di Kedah.
"Kenaikan (berlaku) sedikit demi sedikit hingga kini naik sehingga RM34 hingga RM38 sekilogram di sesetengah kawasan,” katanya.
Sementara itu, peruncit, Milatul Shamsul Mohd Fauzi, 36, berkata, kenaikan barang mentah berlaku secara konsisten sejak awal tahun lepas.
"Harga naik sedikit demi sedikit sehinggalah mencecah harga sekarang dan kini kami terpaksa jual cili kering sekitar RM33 sekilogram,” katanya.
Harga bawang putih paling ketara
Di Pulau Pinang, harga bawang putih dilaporkan naik secara mendadak sejak dua minggu lalu iaitu daripada RM10 hingga RM14 sekilo.
Peniaga Pasar Awam Sungai Ara, Sim Siew Hoom, 60, berkata, sebelum ini, beliau hanya perlu membayar RM98 untuk satu guni bawang putih namun sejak minggu lalu, dia perlu membayar lebih RM100 untuk seguni bahan keperluan itu.
Menurutnya, harga bawang merah juga naik RM1 untuk sekilo menjadikan harganya kini RM5 sekilo.
"Paling ketara adalah bawang putih, (harga) naik terlalu banyak iaitu antara RM2 hingga RM4 sekilo. Susah nak jual kalau macam ni. Saya beli daripada pemborong pun mahal, takkan saya nak jual murah?
"Harga bawang merah sebelum ini memang sudah tinggi iaitu RM4 sekilo tetapi kini naik lagi RM1. Cili kering pula, sekarang saya beli RM30 sekilo berbanding dua bulan lalu, RM35 sekilo.
"Harga tidak tentu, naik turun tetapi sekali naik, memang tinggi,” katanya di Pasar Sungai Ara di sini pada Sabtu.
Katanya, harga barang keperluan itu naik mendadak sejak awal tahun ini membuatkan dia perlu menerangkan kepada pelanggannya mengenai perkara itu.
"Memang kasihan dengan pelanggan tapi saya tiada pilihan kerana jika jual murah, saya pula yang tiada untung.
"Tetapi pelanggan faham apabila saya menerangkan situasi harga barang ketika ini. Nak tak nak, mereka terpaksa beli kerana mereka juga perlu berniaga,” katanya.
Sementara itu, pemilik kedai runcit di Ayer Itam, Neoh Siew Keat, 50-an turut mengakui kenaikan harga bawang putih dan bawang merah yang amat ketara ketika ini.
"Memang naik sebab itu saya jual dalam peket, senang untuk pelanggan saya beli. Saya jual mengikut harga semasa, terpaksa kerana untung kecil,” katanya.
Harga masih terkawal di Ipoh
Di Perak, harga bawang merah, bawang putih dan cili kering di sekitar Ipoh masih terkawal biarpun terdapat laporan kenaikan harga bagi barangan tersebut.
Seorang peniaga kedai borong, Mohamed Arib Aliah berkata, bawang besar sekilogram yang dijual di kedainya ketika ini masih pada harga sekitar RM2.80 sejak lebih setahun lalu.
"Setakat ini pembekal tidak naikkan harga, sebab itu kita masih jual pada harga sama. Tapi ada barang-barang lain seperti beras import memang dah naik.
"Apabila pembekal naikkan harga, peruncit macam kami juga terpaksa naikkan juga sebab kita ada komitmen lain yang perlu dibayar seperti sewa, gaji pekerja dan sebagainya,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca