SHAH ALAM - Pelantikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sepatutnya dibuat lebih awal iaitu sebelum Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kerana keperluan yang mendesak.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, melantik pemangku bagi tempoh yang lama bukanlah keputusan baik kerana tidak mempunyai kuasa besar untuk membuat keputusan penting.
Menurutnya, peranan seorang menteri ketika ini amat perlu memandangkan rakyat berada dalam situasi terpaksa ‘mencatu’ dan berkira-kira dalam berbelanja.
"Bagi saya, pemangku tiada kuasa besar berbanding penyandang yang ada kedudukan dan kuasa untuk menyatakan (berunding) kepada peniaga atau syarikat besar, seterusnya tunduk pada arahan serta akur kepada permintaan menteri.
"Sekarang ini rakyat bimbang dengan harga barang tapi lebih merisaukan bila terdapat kenyataan daripada kerajaan bahawa harga barang tak naik. Ia sama sekali berbeza dengan apa yang berlaku di peringkat akar umbi dan pasaran.
"Kedudukan menteri yang menjaga kepenggunaan dan harga barang ini sangat penting. Hendak lantik menteri tidak perlu pilihan raya, pilih sahaja sesiapa pun yang ada kelayakan dan kemampuan kerana dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri, ada bakat-bakat yang tidak boleh dipandang rendah,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang keperluan untuk segera melantik Menteri KPDN bagi menggantikan Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.
Ketika ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali memangku jawatan tersebut.
Ditanya tentang individu berkelayakan untuk menerajui kementerian itu, Dr Mohammad Tawfik berkata, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilihat mempunyai kewibawaan untuk menggalas tugas berkenaan.
"Beliau pernah berkhidmat sebagai menteri dan menunjukkan prestasi baik serta mengendalikan Covid-10 sebelum berlakunya Langkah Sheraton. Bagi saya, apa salahnya mengangkat beliau kerana kewibawaannya itu.
"Kerusi tersebut juga bukan dikhususkan untuk Amanah tapi terbuka untuk parti politik lain. Kalau kita lihatnya hanya untuk Amanah, maka keadaan akan berlaku seperti hari ini, masih kosong dan belum tentu lagi Suhaizan Kayat (Ahli Parlimen Pulai) akan dilantik sebagai menteri kerana beliau tiada pengalaman di peringkat Persekutuan.
"Kerajaan juga ada pilihan untuk buat rombakan, tidak semestinya lantik ahli Parlimen baharu di kerusi tersebut. Boleh juga lantik dalam kalangan menteri yang ada di kabinet, tetapi mereka cenderung dan minat untuk pegang portfolio berkenaan,” jelasnya.
Kerajaan perlu campur tangan selesai isu harga
Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, kerajaan perlu segera campur tangan dalam menangani kenaikan harga barangan keperluan rakyat daripada terus melambung di pasaran.
Menurutnya, masalah bekalan dan harga barangan seperti telur, minyak masak, beras dan bawang sudah lama berlaku dan tidak menolak kemungkinan barangan lain seperti gula juga berdepan masalah sama.
Justeru, beliau mencadangkan agar penguatkuasaan ditingkatkan bagi menangani masalah bekalan ‘hilang’ di pasaran dan mengapungkan harga bagi mengelakkan ketirisan barangan subsidi.
"Kita tahu masalah kekurangan bekalan beras di peringkat global menyebabkan harganya melambung tinggi di pasaran. Jadi, alternatifnya adalah beras tempatan.
"Tapi apa yang peliknya, beras tempatan ini ‘hilang’ di pasaran. Seperti di Mydin, jika kita nak dapatkan 1,000 kampit beras, kita hanya dapat 50 kampit. Barang ini diseludup ke mana?
"Kita faham bekalan kurang, tapi takkanlah sampai tiada langsung? Sebab itu, saya harap bahagian Kawal Selia Padi dan Beras buat pemeriksaan di mana beras hilang,” katanya.
Ameer menjelaskan, Mydin yang merupakan rangkaian pemborong dan peruncit halal terbesar di Malaysia mengakui, kenaikan harga barang memberikan kesan besar kepada pengguna, khususnya golongan B40 dan M40.
Bagaimanapun jelasnya, situasi itu tidak dapat dielakkan dan mengharapkan penyelesaian yang bijaksana daripada kerajaan bagi mengatasinya.
Klik di sini untuk terus membaca