PELANTIKAN Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) atau State-Government 4 (SG4) menimbulkan 1,001 persoalan. Ini kerana banyak pihak berpandangan bahawa aura... Klik di sini untuk terus membaca

PELANTIKAN Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) atau State-Government 4 (SG4) menimbulkan 1,001 persoalan.

Ini kerana banyak pihak berpandangan bahawa aura dan pengaruh mantan Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu sudah kurang relevan dalam arena politik tanah air susulan beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Situasinya bertambah teruk apabila koalisi Gerakan Tanah Air (GTA) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dipengerusikan oleh Dr Mahathir bukan hanya kalah, malah hilang wang deposit di semua 121 kerusi Parlimen ditandingi mereka pada PRU15.

Lebih parah, gerakan Proklamasi Orang Melayu diilhamkan Dr Mahathir juga dilihat kurang disokong masyarakat Melayu, sekali gus diibaratkan hidup segan mati tidak mahu.

Namun, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berpandangan, biarpun Dr Mahathir tidak menyertai mana-mana parti politik, namun bekas Ahli Parlimen Langkawi itu masih mempunyai pengaruh serta hubungan baik dengan pelbagai rangkaian pelabur asing yang boleh dimanfaatkan oleh empat negeri ditadbir Pas.

Menurutnya, tindakan Pas dan PN melantik Dr Mahathir sebagai penasihat negeri SG4 tidak salah kerana beliau mempunyai pengalaman luas dalam tadbir urus negara sementelah pernah menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali.

"Apa salahnya kita melantik Tun Dr Mahathir sebagai penasihat SG4? Beliau orang lama, berpengalaman luas, pernah menjadi Perdana Menteri dua kali dan berjasa besar kepada rakyat Malaysia?

Dari kiri; Mohamed Fadzli, Muhammad Shamshinor dan Khairuddin

"Dengan pengalaman luas dan hubungan baik Dr Mahathir dengan negara luar serta pelabur asing, saya yakin kerjasama ini mampu membantu meningkatkan pembangunan sosioekonomi rakyat di empat negeri SG4.

"Kita bukan hanya akan bekerjasama dengan Dr Mahathir sahaja, bahkan semua pihak asalkan perkara itu dapat memberikan manfaat kepada rakyat dan kerajaan negeri SG4,” katanya kepada Sinar Premium.

Mohamed Fadzli berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mengesahkan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis secara dasarnya bersetuju melantik Dr Mahathir sebagai penasihat tidak rasmi dari segi aspek tadbir urus dan urusan menarik pelaburan asing melabur ke negeri terlibat.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis pula berpendapat, tindakan PN melantik Dr Mahathir sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat negeri anggota SG4 adalah satu langkah bijak yang dapat membantu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan infrastruktur di negeri-negeri berkenaan.

Lebih tersusun

Beliau berkata, penubuhan SG4 mampu memberi impak positif kerana ia memastikan keempat-empat kerajaan negeri ditadbir Pas dapat meningkatkan kerjasama secara lebih tersusun sebagaimana penubuhan koridor pembangunan diilhamkan bekas Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Inisiatif Pas lantik Dr Mahathir sebagai penasihat tidak rasmi SG4 juga bukan kerana mereka mahu menjarakkan diri daripada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Dakwaan mahu menjarakkan diri daripada Muhyiddin juga tidak timbul kerana mereka berbuat demikian kerana mahu menggunakan pengaruh dan pengalaman Dr Mahathir bagi memajukan negeri anggota SG4.

"Selain itu, saya tidak nampak keputusan ini menunjukkan seolah-olah Pas hendak menjadi ‘abang besar’ dalam PN, sebaliknya saya percaya cadangan pelantikan Dr Mahathir itu turut memberi nilai tambah kepada Bersatu sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan Dr Mahathir amat bersemangat dan bersedia membantu kepimpinan Pas di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis bagi memacu pembangunan ekonomi negeri-negeri berkenaan agar setanding dengan negeri maju lain di Malaysia.

"Berbekalkan pengalaman membangunkan Malaysia, Insya-ALLAH, Dr Mahathir secara jujur dan ikhlas akan terus membantu negeri-negeri ini untuk melonjak secara gemilang dalam bidang pembangunan ekonomi.

"Ini juga satu pendekatan ke arah membuktikan empat negeri terlibat boleh maju secara lebih baik dibandingkan dengan negeri-negeri maju lain di tanah air kita,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca