SHAH ALAM - Walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) atau State-Government 4 (SG4), namun ia tidak bermakna bekas Perdana Menteri itu bakal diangkat menjadi pemimpin de facto (penasihat) koalisi pembangkang.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tidak salah jika PN melantik bekas Pengerusi Bersatu dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu sebagai Penasihat SG4 selagi ia membawa kebaikan kepada rakyat.
Ahmad Faizal percaya pengalaman serta hubungan mantan Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu dengan pelabur asing mampu membantu memajukan ekonomi serta mempercepatkan proses pembangunan negeri terlibat.
"Dr Mahathir juga pengasas Bersatu jadi apa salah jika hari ini beliau duduk bersama kita dalam pelbagai isu. Malah, keputusan PN melantik Dr Mahathir sebagai penasihat bersama dengan asas untuk memajukan empat negeri ditadbir PN.
"Kita bukan hanya mengalu-alukan sumbangan Dr Mahathir, malah Presiden Bersatu dan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bekas Menteri Kabinet PN juga sentiasa memberikan idea untuk kita terus memajukan ekonomi serta merancakkan pembangunan di negeri berkenaan,” katanya kepada Sinar Ahad.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal juga menempelak beberapa pemimpin UMNO termasuk bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mendakwa Pas membelakangi Bersatu dan Muhyiddin dalam isu pelantikan Dr Mahathir selaku penasihat tidak rasmi kerajaan negeri SG4.
Ahmad Faizal menegaskan, pemimpin UMNO sengaja membangkitkan isu terbabit dengan niat mahu melaga-melaga kepimpinan Pas dan Bersatu.
"Kenapa orang UMNO mahu masuk campur soal Bersatu dan PN? Kenapa UMNO mahu menjadi batu api melaga-lagakan Bersatu dan Pas? Hubungan Pas, Bersatu dan Gerakan dalam kerajaan PN di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis cukup baik.
"Kita tidak mempunyai masalah dan sentiasa mengalu-alukan segala idea dan cadangan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di empat negeri ditadbir oleh PN sekarang,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca