PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada 11 September lalu antara lain berkata, kerajaan akan haramkan eksport bahan-bahan mentah nadir bumi.
Tujuh pengharaman itu adalah untuk menyekat perlombongan dan kehilangan sumber alam. Kalau kita masih ingat, perlombongan nadir bumi atau lebih terkenal dengan singkatan REE (Rare Earth Elements) menjadi bahan serangan gabungan Kerajaan Perpaduan terhadap Perikatan Nasional (PN) dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) bulan lalu.
Ia dijadikan peluru senapang gajah yang Perdana Menteri sendiri gunakan terhadap ‘budak poster’ PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Anwar dan jentera propaganda gabungan perpaduan menuduh Menteri Besar Kedah itu ‘mencuri’ bahan-bahan nadir bumi dengan bantuan pelombong dari China.
Daripada perang saraf itu, terdedah Perdana Menteri sendiri membawa seorang usahawan Indonesia yang dicamkan sebagai Redza Khalid untuk melawat Kedah termasuk menghadap Sultan Kedah. Bagaimanapun, apabila berita kehadiran usahawan Indonesia itu bocor, Anwar menafikan ia berkaitan REE.
Seperti kita semua sudah tahu, gabungan perpaduan dibelasah teruk di Kedah semasa PRN pada 12 Ogos lalu dengan memperoleh hanya tiga daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Rakan baharu mereka, UMNO tidak menang satu kerusi pun. Daripada tiga kerusi Pakatan Harapan (PH), dua dimenangi PKR dan satu oleh DAP, selebihnya menjadi milik PN.
Dengan pengharaman eksport logam-logam nadir bumi, bermakna semua operasi perlombongan REE dihentikan atau hasilnya diproses dalam negara.
Di Malaysia, ada sebuah kilang memproses REE yang menjadi sasaran pengharaman PH iaitu Lynas Malaysia Sdn Bhd. Jika ikut janji pilihan raya PH pada 2018, kilang milik pelabur Australia itu sudah pun ditutup kalau tidak kerana campur tangan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kerajaan Perpaduan yang dipelopori oleh PH membuat pusingan U dengan tidak menutup kilang Lynas dan sekarang bercakap pula mengenai memproses bahan REE tempatan di dalam negara.
Lynas mengimport REE dari Australia. Masalah utama pemprosesan REE adalah sisa buangannya yang mengandungi bahan radioaktif beracun dan mengambil masa hingga 100 tahun untuk dihapuskan.
Logiknya, kalau pemprosesan REE toksik dan dasar PH sendiri menentangnya, penyelesaian terbaik adalah mengeksport bijih REE ke negara-negara yang bersedia memprosesnya.
Dengan itu, risiko pencemaran radioaktif dihadkan kepada kilang yang sedia ada di Pahang dan negara masih memperoleh pendapatan dengan mengeksport REE. Cuma kawalan ketat diperlukan bagi mengelak kerosakan hutan rimba, sungai dan kawasan tadahan.
Lagi pun, bukan perlombongan REE sahaja yang merosakkan alam semula jadi. Perlombongan bauksit, tanah liat, arang batu, tembaga, emas, besi, pasir dan banyak lagi, semuanya menyebabkan kerosakan serta keracunan alam semula jadi.
Menuding jari dan mengambil tindakan ke atas REE sahaja nampak seolah-olah hendak membalas dendam terhadap Kedah kerana menolak dan memalukan gabungan perpaduan.
Malah, ada juga menteri mendakwa terdapat unsur pemerdagangan manusia dan buruh paksa dalam per-lombongan REE.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca