PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan perbelanjaan siling Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dari RM400 bilion kepada RM415 bilion boleh memberi impak positif kepada ekonomi negara sekiranya ditangani secara... Klik di sini untuk terus membaca

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan perbelanjaan siling Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dari RM400 bilion kepada RM415 bilion boleh memberi impak positif kepada ekonomi negara sekiranya ditangani secara baik dan berhemat.

Dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK12 pada Isnin lalu, tujuh daripada 12 sasaran ekonomi makro terpilih telah dicapai, empat sasaran berada pada landasan ditetapkan, sementara satu sasaran masih ketinggalan.

Jika RMK12 yang dibentangkan pada 2021 membawa tema ‘Makmur, Inklusif, Mampan’, Kajian Separuh Penggal RMK12 mencadangkan sedikit perubahan kepada ‘Malaysia Madani: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi’.

Perubahan slogan tidaklah memberi kesan besar kepada kejayaan RMK12 kerana ia sekadar perubahan kosmetik, seiring dengan aspirasi baharu kerajaan bersandarkan visi Ekonomi Madani.

Bagaimanapun, Perdana Menteri turut memberi respons kepada perubahan ekonomi sekeliling dengan mencadangkan tiga perkara utama dan 12 sub keutamaan bagi menghabiskan baki RMK12 yang akan berakhir pada 2025.

Tiga keutamaan baharu RMK12 ialah melonjakkan pertumbuhan ekonomi, mempercepat reformasi struktur serta memacu daya saing sektor dan industri.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peningkatan RM15 bilion itu bagi membiayai bidang keutamaan rakyat, di samping memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat.

Kata Anwar, ia selari dengan hasrat kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat termasuk memperbaiki sekolah serta klinik daif, menjamin bekalan air bersih dan meneraju ekonomi Islam.

Selain itu, terdapat cadangan projek prasarana dan infra baharu yang dibentangkan dalam Kajian Separuh Penggal RMK12, antaranya peluasan perkhidmatan Bus Rapid Transit (BRT) dan bas dalam bandar termasuk di Johor Bahru dan Lembah Klang, menaik taraf Lebuhraya Senai-Desaru dan pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (dari Yong Peng ke Senai Utara) secara berfasa.

Turut dicadangkan ialah pembinaan Sarawak-Sabah Link Road II, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B, projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, peluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang; menaik taraf Lebuh Raya Timur-Barat dari Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan dan naik taraf jalan dari Tanah Rata ke Kea Farm, Cameron Highlands.

Sudah tentu pelaksanaan projek-projek itu akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus membantu RMK12 mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya lima peratus setahun.

Peningkatan tersebut memberi isyarat Perdana Menteri tidak akan merombak sebahagian besar perancangan RMK12 tetapi menambah beberapa perancangan baharu agar selari dengan dasar pentadbiran beliau.

Ia akan memberi keyakinan kepada pelabur dan usahawan bahawa akhirnya ketidaktentuan dalam dasar serta pengurusan ekonomi negara mungkin telah berakhir dan mereka boleh membuat perancangan signifikan.

Namun, kebimbangan utama kita ialah peningkatan perbelanjaan pembangunan akan meningkatkan hutang kerajaan. Walaupun Anwar beberapa kali menyatakan keadaan hutang negara ‘membengkak’ tetapi hingga kini belum jelas bagaimana kerajaan hendak mengatasinya.

Kerajaan mungkin perlu mengkaji semula beberapa projek prasarana yang memerlukan belanja besar tetapi kurang manfaat kepada majoriti rakyat seperti pembinaan LRT di Pulau Pinang dan pembangunan semula LTSAS yang bukan keperluan mendesak.

Satu perkara wajar dipuji ialah kesediaan Perdana Menteri meneruskan agenda bumiputera yang dirangka dalam RMK12. Menurutnya, usaha memperkasa bumiputera akan beranjak daripada tumpuan terhadap syarikat terpilih kepada program pengupayaan yang melibatkan lebih ramai usahawan dan lebih banyak syarikat bumiputera berskala kecil dan sederhana.

Anwar juga turut mengumumkan satu kongres ekonomi bumiputera akan diadakan pada Januari tahun depan bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda bumiputera yang lebih adil, saksama serta inklusif.

Apa pun, RMK12 hanyalah satu panduan kepada pembangunan negara. Implementasi sebenar hanya boleh dilihat melalui pembentangan belanjawan tahunan negara.

Kita akan melihat bagaimana belanjawan yang akan dibentangkan Oktober ini akan menjadi satu katalis baharu pembangunan Ekonomi Madani.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca