MALAYSIA ialah sebuah negara unik dengan kepelbagaian agama, ras, etnik, persempadanan negeri dan fahaman politiknya. Ia juga memberi roh dan kekuatan kepada kedudukannya di peta serantau serta global.
Namun, Malaysia juga berdepan cabaran dan persaingan sama ada di dalam mahu pun luar negara. Apakah Malaysia untuk warganya?
Malaysia tidak sempurna tetapi yang menyempurnakannya ialah warga mendiami negara ini. Walau ada perbezaan latar, itu tidak bermakna boleh dikompromi dalam hal kenegaraan.
Apakah Rukun Negara memerlukan penjenamaan dan pemasaran yang bersesuaian dengan peredaran masa? Ikrar Rukun Negara jelas menunjukkan bagaimana warganya perlu menzahirkan tingkah laku, perlakuan dan perwatakan selari dengan demografi serta geografinya.
Ikrar Rukun Negara berbunyi – Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut - Kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, kesopanan dan kesusilaan.
‘Kami rakyat Malaysia’ memerihalkan jiwa Malaysia dan lima prinsip dalam Rukun Negara menjadi asas kepada wajah Malaysia serta gaya hidup di negara ini. Lima cita-cita negara yang perlu difahami, diterap dan kemudiannya menjadi amalan adalah bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
1. Mencapai perpaduan lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya.
2. Memelihara cara hidup demokrasi.
3. Mencipta satu masyarakat yang adil, dengan kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.
4. Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan pelbagai corak.
5. Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
Ia bertujuan meluruskan norma etnik dan ras agar serasi dengan identiti nasional yang dikongsi serta dipersetujui atas dasar sifat ‘kepunyaan’. Kukuh negara kukuh rukunnya, kukuh nilai kukuh negaranya.
Hakikatnya, kita masih berbincang mengenai ‘Kami Malaysia’ kerana kita sudah membina Malaysia tetapi masih belum membangunkan jati diri warga Malaysia.
Kerangka Rukun Negara penting kerana ada nilai kepercayaan, kenegaraan, perundangan dan kebudayaan. Kesemuanya saling melengkapi sebagaimana peringatan Allahyarham Tun Abdul Razak iaitu ‘tanpa amalan, Rukun Negara akan menjadi secebis dokumen tidak mempunyai makna dan bagaimana setiap patah prinsip Rukun Negara wajar menjadi darah daging kita, warga Malaysia’.
Keadilan, keamanan dan keselamatan serta kesejahteraan juga menjadi selaput dan dinding kepada Rukun Negara. Moral menjadi kompas kepelbagaian Malaysia. Perlakuan yang peka kepada nilai faham, hormat dan terima membolehkan asal-usul pembentukan negara ini terpelihara di bawah pelindungnya iaitu raja-raja Melayu yang menjadi pasak keutuhan negara bangsa.
Hatta, yang dididik, diasuh dan disemai melalui nilai ‘Kami Malaysia’ adalah untuk menjadi negara progresif, negara kelas pertama dengan dihuni oleh masyarakat kelas satu. Negara kelas pertama ialah negara yang memiliki penampilan negara maju termasuk dari segi pembangunan, modenisasi, industrialisasi, kemudahan, prasarana dan persaingan dengan negara global lain.
Masyarakat kelas satu dirujuk kepada masyarakat berilmu, kemahiran dan kebolehan tetapi diperkukuhkan dengan sahsiah, akhlak, patriotisme serta nasionalisme ke atas tanah air kerana kita tahu apabila disebut ‘Kami Malaysia’, ia juga adalah maruah diri.
Pengisian dan penghayatan ke atas Rukun Negara penting untuk diteliti. Tanggungjawab ke atas negara ini adalah tanggungjawab bersama. Walaupun kini identiti bersifat ‘hibrid’ dan ‘berubah-ubah’ mengikut keselesaan kita, falsafah kebangsaan itu perlu melangkaui nilai retorik serta kosmetik.
Estetika Rukun Negara adalah pada nilai rasa, sentimen dan emosi. Kemanusiaan adalah wajah ‘Kami Malaysia’ dan Rukun Negara merupakan formula untuk meratakan yang mencapah serta melicinkan yang tidak seimbang agar pembinaan tamadun Malaysia di bumi ini akan menjadikan negara kekal aman, sentosa dan bahagia.
*Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca