SELEPAS menghadiri Kemuncak G20 iaitu kumpulan 20 negara ekonomi terbesar dunia di India pada 9 dan 10 September lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengadakan lawatan rasmi ke Vietnam, satu-satunya negara di Asia Tenggara yang beliau kunjungi dalam lawatan kerja rasmi ke Asia kali ini.
Lawatan itu walaupun sekadar 24 jam, mencatat sejarah tersendiri dalam memperkukuhkan hubungan Washington dan Hanoi. Kedua-dua negara bersetuju menandatangani satu perjanjian yang mengiktiraf satu sama lain sebagai rakan strategik sepenuhnya.
Dengan kata lain, hubungan dua negara itu kini bukan sekadar hubungan diplomatik biasa seperti terjalin pada 1995. Sebelum itu, hubungan Hanoi dan Washington terputus setelah AS kalah dalam perang Vietnam.
Ia menyaksikan dua negara di rantau Indo-China yang dipecah dua melalui Perjanjian Paris 1954 iaitu Vietnam Selatan dan Vietnam Utara kembali menjadi sebuah negara bangsa di bawah pemerintahan komunis dengan nama Vietnam pada 1976.
Vietnam pada asalnya sebuah negara bebas dan merdeka tetapi menjadi tanah jajahan Perancis pada 1877. Semasa Perang Dunia Kedua, Vietnam diduduki oleh Jepun. Apabila perang tamat, Perancis kembali berkuasa di Vietnam tetapi kuasa Barat itu tidak dapat bertahan.
Ia berdepan dengan perjuangan untuk memerdekakan Vietnam oleh Viet Minh yang merupakan sebuah gerakan pembebasan kebangsaan berteraskan komunisme, diasaskan Ho Chi Minh pada 1941.
Sebagai penyelesaian konflik di Vietnam, kuasa-kuasa yang menang dalam Perang Dunia Kedua dikepalai oleh AS di satu pihak dan Soviet Union di pihak yang lain memutuskan untuk memecahkan Vietnam kepada dua negara pada 1954 – Vietnam Utara diperintah oleh Parti Komunis Vietnam dan Vietnam Selatan ditadbir secara de-mokratik berteraskan ekonomi pasaran.
Namun, penyelesaian itu tidak membawa kestabilan kepada rantau Indo-China yang melibatkan bukan sahaja Vietnam tetapi Kemboja dan Laos.
Di Vietnam Selatan, kumpulan pejuang pembebasan yang bergerak menggunakan nama Viet Cong dan disokong oleh Viet Minh meneruskan perjuangan menyatukan Vietnam Selatan dengan Vietnam Utara.
Oleh sebab Vietnam Selatan tidak mempunyai kekuatan angkatan bersenjata, maka kuasa Barat tampil membantu. AS yang percaya pada teori domino sekiranya Vietnam Selatan jatuh ke tangan Vietnam Utara, maka negara lain di Asia Tenggara juga menjadi negara komunis tampil secara besar-besaran mempertahankan Vietnam Selatan.
Matlamat dasar luar AS pasca Perang Dunia Kedua adalah membendung kemaraan komunis merebak ke negara bukan komunis di Asia Tenggara. Dalam hubungan itu, Washington terlibat secara langsung semasa perang proksi di Indo-China bagi memastikan Vietnam Selatan, Laos dan Kemboja kekal pro Barat.
Selepas 20 tahun berperang, tekanan domestik anti perang di AS memaksa Washington mengibarkan bendera putih. Vietnam Selatan ditinggalkan yang berkesudahan dengan negara itu ditelan oleh Vietnam Utara. Laos dan Kemboja juga jatuh ke tangan komunis.
Hubungan diplomatik Washington dengan Hanoi juga terputus sehinggalah pada 1995. Siapa pernah membayangkan hubungan dua negara bermusuhan itu akan diberi status rakan strategik sepenuhnya pada 11 September lalu. Dan tidak mustahil selepas ini kemungkinan Vietnam diangkat menjadi negara sekutu AS di Asia Tenggara.
Mengapa? Perkara itu ada kaitan dengan kepentingan AS untuk membendung kemaraan pengaruh China di rantau ini yang secara agresif sedang meningkatkan kehadiran ketenteraannya di Laut China Selatan dan pengaruh ekonominya di Asia Tenggara. Jika tidak dikawal, gelagat China itu boleh mengancam kepentingan geostrategik dan geopolitik AS di rantau ini.
Justeru, mengiktiraf Vietnam sebagai rakan strategik sepenuhnya adalah sebahagian usaha mengukuhkan kepentingan AS di Asia Tenggara walaupun Biden sendiri mengatakan kerjasama baharu dengan Vietnam bukan bertujuan membendung pengaruh China di rantau ini.
Namun, kita tahu tersirat dalam peningkatan status hubungan diplomatik Washington dan Hanoi itu sebenarnya ada udang di sebalik batu, bukan sahaja kepada AS tetapi Vietnam juga.
*Chamil Wariya ialah pengarah VOA MEDIA NETWORK, penyedia kandungan faktual.
Klik di sini untuk terus membaca