SESUDAH 77 tahun ditenggelami sejarah, kalimat keramat, ‘jiwa merdeka’ bergema di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) apabila ia secara tiba-tiba diungkapkan kembali oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan pidatonya, Amanat Perdana sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 pada 30 Ogos lalu.
Di atas robohan kota Melaka,
Kita bangunkan jiwa merdeka;
Bersatulah Melayu seluruh baka,
Membela hak keadilan pusaka.
Kalimat ‘jiwa merdeka’ dipetik daripada pantun ciptaan Allahyarham Datuk Seri Dr Burhanuddin al-Helmi, tokoh pejuang kemerdekaan negara. Kalimat itu pertama kali disebut ketika beliau menyampaikan pidato pada kongres Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada tahun 1946 di Melaka, kemudian dirakamkan oleh Hamka dalam bukunya, Dari Perbendaharaan Lama.
Falsafah tersirat pada kalimah historikal dan nostalgik itu ialah pernyataan keazaman Burhanuddin yang mahu membangkitkan semula keagungan dan kekuatan Semenanjung Tanah Melayu setanding dan gagah seperti empayar Sriwijaya, Majapahit atau Melaka yang pernah wujud di Nusantara sebagai tonggak kuasa ekonomi, politik dan sosial di rantau Timur.
Siddiq Fadzil dalam bukunya, Islam dan Melayu memaknai falsafah pantun itu sebagai agenda perpaduan rakyat dalam perjuangan mendaulatkan prinsip keadilan termasuk mengembalikan dan memelihara hak ketuanan bangsa. Jiwa merdeka, menurut Sidik ialah asas perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu.
Kalau roboh kota Melaka,
Papan di Jawa kita dirikan;
Kalau sungguh bagai dikata,
Nyawa dan badan kita serahkan.
Sambungan pantun ini juga menjadi bahan komunikasi politik bagi pengikut-pengikut Burhanuddin apabila berkempen memperkenalkan gagasan Melayu Raya. Dalam buku beliau, Falsafah Kebangsaan Melayu, Burhanuddin menyebut gagasan tersebut meliputi Sumatera, Jawa, Kalimantan, Filipina, Sulawesi, Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei dan Pattani.
Gagasan Melayu Raya
Pada hakikatnya, gagasan Melayu Raya diperkenalkan di Tanah Melayu pada tahun 1922 oleh pensyarah Sultan Idris Training College (SITC) Tanjung Malim seperti Abdul Hadi Haji Hassan dan Harun Muhammad Amin. Namun begitu, Burhanuddin memperincikan konsep dan bentuk gagasan Melayu Raya dalam beberapa buku politiknya.
Dalam proses pembentukan sesebuah negara-bangsa yang berdaulat dan merdeka, Burhanuddin menerima kemajmukan (plurality) dan ideologi politik nasional yang universal dan terbuka. Islam diletakkan pada takah lebih tinggi daripada ideologi.
Justeru itu, beliau menegaskan bahawa nasionalisme perlu diamalkan secara sederhana, digunakan hanya untuk mencapai kesejahteraan kehidupan (al-Falah) dalam konteks jiwa merdeka.
Bagi Burhanudin, Islam memandang nasionalisme sebagai suatu alat bukan tujuan, sebagaimana Islam memandang dunia, bukan tujuan tetapi satu alat atau kenderaan ke alam akhirat. Justeru kemunculan ungkapan ‘jiwa merdeka’ laungan Perdana Menteri memaknai kemerdekaan yang mutlak dalam satu perspektif yang tersirat.
Rakyat berjiwa merdeka akan teguh pendirian dalam memperkasakan perpaduan sekali gus bekerja keras untuk memodenkan negara dengan ekonomi berteraskan perindustrian tinggi serta transformasi digitalisasi.
Kejayaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2023) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang diperkenalkan Kerajaan Madani memerlukan penyertaan rakyat berjiwa merdeka, bijaksana lagi kritis mendepani cabaran dan rintangan untuk menjayakan kedua-dua pelan tersebut.
Justeru itu, laungan ‘jiwa merdeka’ oleh Anwar tepat pada masa negara sedang mengenang kembali perjuangan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajahan.
Negara tercinta ini telah terjajah selama 446 tahun namun kita beroleh kemerdekaan setelah berjuang dalam tempoh yang panjang tanpa putus asa kerana rakyat kita memiliki jiwa merdeka dan sewajarnya dipupuk dan digelorakan dalam kalangan masyarakat sebagai teras pengisian kemerdekaan itu sendiri.
Burhanuddin al-Helmi merupakan tokoh politik yang pernah berkecimpung di arena politik Malaysia selama tiga puluh tahun (1930-1960). Sepanjang penglibatan tersebut, beliau telah menganggotai KMM dan memimpin PKMM, Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), Pusat Tenaga Rakyat – All Malaya Council for Joint Action (Putera-AMCJA), menganjurkan penubuhan Parti Rakyat Malaya (PRM) dan akhirnya menerajui Parti Islam Se-Malaysia (Pas).
Mengenali Burhanuddin
Perjuangan dan pemikiran politik beliau diarusperdanakan menerusi pelantar gerakan kiri. Namun demikian, idealisme politik Burhanuddin tidak dapat diterima secara holistik oleh masyarakat kontemporari kerana dua sebab utama, pertama: tahap pemikiran masyarakat khususnya golongan marhean tidak mampu memahami idealisme beliau dan kedua disebabkan golongan elit mempunyai pengaruh terhadap massa mampu melemahkan gerakan nasionalisme Burhanuddin dengan berbagai cara.
Kemuncak pertarungan merebut kemerdekaan tanah air dilakukan oleh Burhanuddin secara diplomatik dan eksklusif di Lapangan Terbang Tekkah, Taiping pada 12-13 Ogos 1945 bersama-sama Ibrahim Hj Yaakob dengan wakil Indonesia, Sukarno dan Mohamad Hatta bagi membincangkan soal-soal kemerdekaan dalam konteks gagasan Melayu Raya/Indonesia Raya. Pertemuan ini direstui Jepun yang diwakili Profesor Itagaki, penasihat tentera Jepun di Asia Tenggara dan telah mencapai kata sepakat dan memeterai Piagam Taiping.
Pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu dan Indonesia terencat kerana Jepun menyerah diri kepada Tentera Berikat dan berundur dari Asia Tenggara secara mengejut (sebelum pengisytiharan sempat dilakukan) kerana Nagasaki dan Hirosima dibom oleh Amerika Syarikat pada 6 dan 9 Ogos 1945. Dalam keadaan huru-hara itu, Sukarno dan Hatta sempat mengisytiharkan Indonesia merdeka pada 17 Ogos 1945 tetapi Burhanuddin dan Ibrahim Yaakob gagal berbuat demikian.
Burhanuddin lahir di Kampung Changkat Tualang, Kota Bahru, Perak pada 29 November 1911 dan meninggal dunia pada 25 Oktober 1969. Nama beliau tercatat dalam Dictionary of International Biography kerana kecemerlangan akademik dan sumbangannya memperkenalkan perubatan homeopati di Malaysia. Makam Burhanuddin terletak di halaman Masjid Melayu @ Masjid Tengku Menteri di tengah bandar warisan, Taiping.
Hebat tokoh ini, setelah 46 tahun jasadnya bersemadi pada tahun 2015, Sultan Nazrin Muizmuddin Shah, Sultan Perak mengurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelar Dato’ Seri kepada Burhanuddin secara anumerta.
Malahan satu lagi sejarah tercipta, kalimah ciptaan beliau, ‘jiwa merdeka’ diungkapkan kembali oleh seorang Perdana Menteri setelah 77 tahun tenggelam dalam lipatan sejarah. Sesungguhnya bak kata Sukarno, bangsa yang besar itu adalah bangsa yang membesarkan pahlawannya - inilah jiwa merdeka!
* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)
Klik di sini untuk terus membaca