SHAH ALAM - Kejayaan Malaysia menarik pelaburan bernilai RM132.6 bilion berupaya meningkatkan ekonomi negara dalam jangka masa panjang termasuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan. Pakar Ekonomi, Profesor Dr Yeah Kim Leng berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kejayaan Malaysia menarik pelaburan bernilai RM132.6 bilion berupaya meningkatkan ekonomi negara dalam jangka masa panjang termasuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

Pakar Ekonomi, Profesor Dr Yeah Kim Leng berkata, keyakinan pelabur itu juga boleh meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyumbang kepada pelbagai sektor terutama perkhidmatan.

"Ini memberi kesan langsung terhadap hubungan industri seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan tidak mustahil meningkatkan jumlah pendapatan isi rumah sedia ada.

"Ia juga mampu meningkatkan kecekapan dalam memastikan pengeluaran dalam semua industri mampu menampung permintaan domestik atau global,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Ahad menjangka mencatat pertumbuhan lebih kukuh pada separuh kedua 2023 selepas berjaya meraih pelaburan yang diluluskan bernilai RM132.6 bilion pada separuh pertama 2023.

Pelaburan untuk enam bulan pertama tahun ini itu meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan dan sektor utama lain yang melibatkan sebanyak 2,651 projek. Ia dijangka mewujudkan 51,853 peluang pekerjaan di negara ini.

Sebelum ini, Bank Negara memberitahu KDNK Malaysia pada suku kedua 2023 turun kepada 2.9 peratus selepas mencatat pertumbuhan 5.6 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Mengulas lanjut, menurut Kim Leng, dengan suntikan modal baharu mampu meningkatkan kapasiti produktiviti seterusnya membina strategi dalam memastikan permintaan dan penawaran industri membantu pertumbuhan ekosistem ekonomi.

Ujarnya, menerusi pelbagai projek daripada industri utama, perkhidmatan dan perkilangan akan mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi negara di peringkat global.

"Keadaan ini akan menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan sekali gus meningkatkan pendapatan dalam negara,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca