SHAH ALAM - Kenaikan harga barang yang tidak terkawal akan menyebabkan berlaku inflasi makanan di negara ini.
Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Barjoyai Bardai berkata, jika sebelum ini setiap keluarga berbelanja RM900 sebulan, namun ia meningkat selepas berlakunya kenaikan harga barang.
Beliau memberi contoh, perbelanjaan makanan akan meningkat sebanyak 30 peratus sekiranya harga barang mentah naik 30 peratus.
"Saya percaya orang yang paling terkesan dengan kenaikan harga barang ini adalah golongan berpendapatan rendah iaitu mereka yang makan gaji kurang daripada RM2,300.
"Jadi dia punya belanjawan sudah meleset. Bukankah ia akan membebankan?” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Pada Sabtu,Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin meminta kerajaan segera campur tangan dalam menangani kenaikan harga barang keperluan rakyat daripada terus melambung di pasaran.
Beliau berkata, masalah bekalan dan harga barangan seperti telur, minyak masak, beras serta bawang sudah lama berlaku dan tidak menolak kemungkinan barangan lain seperti gula juga berdepan masalah sama.
Tegas Barjoyai, inflasi tidak dapat dielakkan kerana ia melibatkan kenaikan kos barangan luar, namun ia boleh dikurangkan dengan strategi penggantian import.
"Misalnya beras, bila harga makanan ruji rakyat Malaysia itu meningkat sebarang makanan lain juga turut meningkat.
"Jadi kita kena berusaha untuk menambahkan pengeluaran beras tempatan.
"Selain itu, kita juga perlu kurangkan makan makanan yang sedia masak. Kalau boleh beli bahan mentah dan masak sendiri kerana boleh pilih beras yang murah,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca