AHLI Parlimen Bentong, Young Syefura Othman mengakui pernah berdepan tekanan sehingga menangis selama seminggu kerana dikecam secara melampau di media sosial.
Namun, beliau mengambil iktibar dan tidak menafikan ia berpunca daripada kesalahan sendiri.
Katanya, kesalahan yang dilakukan ketika dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu merupakan kesilapan terbesar yang pernah dibuat dalam hidupnya sepanjang berada dalam dunia politik.
Menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin wanita muda atas tiket DAP juga bukan perkara mudah buat beliau apabila menghadapi cacian sesetengah pihak.
Bagaimanapun setelah hampir 10 tahun dalam politik, beliau mula lali dan enggan melayan emosi walaupun mengakui berkecil hati.
Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, NURHIDAYAH HAIROM bersama Young Syefura menyingkap perspektif pemimpin muda itu mengenai golongan muda dan hala tuju Kerajaan Perpaduan.
SINAR HARIAN: Pada pandangan YB, apa kekuatan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) sehingga mampu menyekat gelombang hijau menembusi Johor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram baru-baru ini?
YOUNG SYEFURA: Menerusi keputusan PRK tersebut, ia menunjukkan kerjasama yang sangat baik daripada kedua-dua belah pihak, sama ada daripada PH ataupun BN.
Kita melihat di Johor bagaimana UMNO dan juga PH di negeri itu berusaha keras bekerjasama memainkan peranan yang sangat penting.
Saya percaya kerjasama seperti ini boleh diteruskan lagi pada pilihan raya akan datang.
Hal ini sangat penting kerana rakyat mahu melihat kerjasama dan kebersamaan kita. Sebenarnya kemenangan di Johor ini memberikan semangat lebih kuat kepada kita untuk meneruskan kerjasama di negeri-negeri lain juga.
SINAR HARIAN: Secara peribadi, adakah wujud kebimbangan gelombang hijau ketika PRK Johor?
YOUNG SYEFURA: Semestinya. Kita tidak boleh terlalu selesa. Namun apa yang penting kita percaya dengan gerak kerja kita di kawasan.
Sepertimana sebelum ini, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub telah berkhidmat dengan sangat baik dan saya percaya daripada perkhidmatan Allahyarham itu memberikan kepercayaan kepada pengundi di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai untuk terus mengekalkan kemenangan.
Kedua-dua calon bagi dua kerusi tersebut daripada Amanah dan dengan kerjasama PH, UMNO, dan BN menunjukkan rakyat percaya walaupun datangnya gelombang hijau, tapi dengan perkhidmatan yang baik membuka kepercayaan pengundi terhadap calon yang kita ketengahkan.
SINAR HARIAN: Peratusan keluar mengundi untuk PRK di Johor agak rendah. Bagaimana YB melihat jangkaan penglibatan pengundi bagi PRK DUN Pelangai nanti?
YOUNG SYEFURA: Kita tahu setiap kali PRK memang bukan mudah untuk pujuk pengundi keluar mengundi kerana mereka berpendapat sudah keluar mengundi setiap lima tahun.
Selain itu, bukan mudah juga untuk minta pengundi yang bekerja di luar dan sebagainya untuk pulang mengundi.
Untuk PRK DUN Pelangai ini, ia merupakan satu cabaran untuk kita ‘keluarkan’ pengundi. Jadi, kita perlu memastikan para pengundi ini tahu peranan mereka dan sedar betapa pentingnya memastikan kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan.
Namun, yang penting adalah gerak kerja kempen kita untuk mereka lihat calon yang diketengahkan.
Kita juga akan bawakan perkara yang sebelum ini menjadi masalah di DUN Pelangai untuk kita selesaikan supaya mereka nampak bahawa kesungguhan kita bukan kerana PRK, tetapi kerana tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan.
SINAR HARIAN: Jadi berdasarkan situasi semasa, setelah selesainya PRK Johor dan bermulanya di DUN Pelangai tidak lama lagi, berapa anggaran peratusan kemenangan untuk calon PH-BN?
YOUNG SYEFURA: Sejujurnya saya tidak pandai bermain dengan nombor tapi saya percaya kita boleh mengekalkan kemenangan DUN Pelangai itu di bawah Kerajaan Perpaduan.
SINAR HARIAN: Parti lawan iaitu Perikatan Nasional (PN) terutama Pas pasti akan membawa naratif Melayu dan Islam dalam kempen PRK Pelangai. Adakah PH-BN akan tergugat?
YOUNG SYEFURA: Kalau kita lihat sentimen Melayu dan Islam ini dimainkan sejak daripada pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri dan membawa ke PRK Johor. Namun Johor masih kekal kemenangan dan percaya kepada kerajaan.
Di PRK Pelangai ini, ia bukan satu tugas yang mudah kerana 72 peratus pengundi di situ adalah pengundi Melayu, 18 peratus adalah pengundi Cina, 5.7 peratus pengundi India dan 3.2 peratus lagi adalah pengundi Orang Asli.
75 peratus pengundi Melayu memang satu jumlah yang tinggi dan separuh pengundi di DUN Pelangai ini terdiri daripada penduduk Felda.
Sentimen Melayu dan agama itu pasti kuat dimainkan di tiga Felda dan sebenarnya sudah bermula pun sebelum tempoh kempen apabila pihak ‘sebelah sana’ bermain sentimen 3R (raja, agama dan kaum).
Jadi, saya rasa ini satu sikap yang tidak bertanggungjawab kerana mereka menggunakan sentimen ini untuk menakut-nakutkan penduduk di luar bandar dan saya percaya jika kita biarkan, ia akan merosakkan pemikiran dan menjarakkan hubungan kaum di kawasan itu.
Kerajaan Perpaduan akan memastikan segala sentimen ini dilawan dengan memberikan fakta jelas kepada para pengundi.
Kita sudah lihat bagaimana pada pilihan raya umum (PRU) yang lepas, sentimen 3R ini semakin kuat dan ia satu sikap yang tidak bertanggungjawab. Yang menjadi mangsanya adalah anak muda.
Pengaruh media sosial hari ini sangat kuat. Mereka tidak mahu turun ke lapangan untuk mendengar ceramah. Mereka mungkin hanya melihat video di media sosial dan dengan hanya video satu saat, satu minit atau dua tiga minit, ini terus masuk ke pemikiran mereka.
SINAR HARIAN: DUN Pelangai di bawah Parlimen Bentong, jadi apa permasalahan penduduk yang akan diberi perhatian?
YOUNG SYEFURA: Antara isu utama di DUN Pelangai selama bertahun-tahun ini adalah jalan baharu yang diperlukan penduduk untuk menghubungkan antara bandar Bentong dan juga pekan Pelangai.
Lebuh raya baharu akan menyingkatkan perjalanan dari Bentong ke Pelangai. Ia juga memudahkan dan dapat meningkatkan sosioekonomi di Pelangai sebab DUN ini dikira sebagai luar bandar.
Lingkaran tengah di antara Mempaga ke Pelangai ini sebenarnya amat penting dan perkara ini saya kerap bawa dalam Parlimen.
Sebenarnya kita semakin mendapat perkhabaran yang positif untuk mendapat laluan baharu ini. Sebenarnya laluan ini telah diwujudkan tetapi dihentikan. Jadi kita mahu ia diteruskan.
Kalau kita tidak ada satu jalan yang selesa, mudahkan penduduk, bagaimana kita nak menarik orang luar untuk datang bina stesen minyak, membina lot kedai, pusat pengajian tinggi dan sebagainya.
Kedua, adalah masalah perumahan dan perkara ini telah pun kita bincangkan.
Dalam PRK Pelangai ini kita juga bincangkan perkara-perkara menambah baik kemudahan untuk keselesaan warga Pelangai.
Paling penting bagi saya adalah meningkatkan sosioekonomi supaya anak muda Pelangai tidak perlu berhijrah jauh. Mereka boleh tinggal di Pelangai untuk berbakti, dalam masa sama dapat membantu meningkatkan ekonomi setempat.
SINAR HARIAN: Apa status sebenar projek jalan baharu itu sekarang ini?
YOUNG SYEFURA: Ia dalam perancangan fasa lingkaran tengah. Sebelum ini fasa satu hingga empat telah selesai dan fasa lima dalam pembinaan.
Fasa keenam ini masih ditangguhkan dahulu kerana kos meningkat, juga perlu pengambilan tanah dan sebagainya dan ia memerlukan proses yang panjang.
Sebab itu kita minta dikembalikan, diberikan semula dan projek itu dapat diteruskan untuk memenuhi keperluan warga Pelangai.
Jalan sedia ada sudah berpuluh-puluh tahun dan jika hujan lebat, apabila berlaku banjir, jalan itu tidak boleh dilalui.
Jadi, kita tidak mahu jika berlaku sekali lagi banjir besar dan sebagainya, kita tidak ada laluan lain untuk menyampaikan bantuan.
SINAR HARIAN: Pemimpin dan penyokong pembangkang suka melabelkan Melayu dalam DAP sebagai pengkhianat, tali barut komunis dan liberal lawan Islam. Adakah YB pernah berkecil hati?
YOUNG SYEFURA: Tipu kalau tidak berkecil hati bila orang label kita pengkhianat atau sebagai kafir. Sedangkan kita ini Muslim, amalkan rukun Islam dan sebagainya. Tapi bagi saya inilah politik, setiap hari akan ada cercaan, makian serta perkara-perkara negatif yang datang kepada kita.
Namun sebagai orang politik, kita perlu tahu apa prinsip dan hala tuju kita, sama ada kita nak terus bergerak, berbakti kepada masyarakat, membawa polisi yang lebih baik, mahu membantu rakyat dan sebagainya atau pun kita nak melayan kerenah-kerenah politik retorik yang sangat membosankan.
Jadi, saya positif kepada gerak kerja kepada parti, percaya dengan parti dan pimpinan. Dalam parti saya, mereka mahu berkhidmat dengan baik untuk masyarakat, membantu tidak kira kaum, agama, bangsa, budaya.
Mereka mahu memastikan setiap rakyat sama ada Melayu, Cina, India atau siapa sahaja yang tertindas akan dibantu.
Siapa yang miskin kita tolong...itu yang saya fikirkan setiap hari. Kita tidak boleh tutup mulut, bukan sahaja netizen tetapi pemimpin-pemimpin di ‘sebelah sana’. Mereka akan bercakap. Tapi bagi saya adalah gerak kerja yang kita buat kerana itu yang rakyat akan lihat dan nilai.
SINAR HARIAN: Bagaimana YB hadapi kecaman khususnya di media sosial yang komennya tiada batas?
YOUNG SYEFURA: Dulu saya akan baca setiap komen, ada kalanya saya akan balas kerana sakit hati dan geram. Namun, setelah hampir 10 tahun dalam politik, saya sedar kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak.
Jadi saya ambil pendirian abaikan semua itu dan sekarang saya tak baca pun komen (kecaman).
Kita faham ada teguran membina yang baik dan positif. Teguran baik pastinya kita ambil dan saya sendiri akan sedaya upaya perbaiki diri kerana saya juga manusia biasa.
Saya belajar daripada pengalaman yang saya pernah buat silap. Belajar dari segi menjaga kata-kata, perlakuan dan apa sahaja sikap kita yang orang boleh nilai sebab menjadi orang politik ini macam artis juga, orang akan tengok dan nilai dari atas ke bawah, orang akan tengok cara percakapan, ke mana kita pergi, apa kita buat, mereka akan nilai kita.
Secara tak langsung saya sendiri perlu menjaga diri saya untuk lebih berhati-hati, lebih menghormati pendirian masing masing. Tapi dalam masa sama saya perlukan juga mereka di luar sana untuk menghormati pendirian dan keputusan yang saya buat, barulah adil kedua-dua belah pihak memahami satu sama lain.
Namun dengan media sosial hari ini tidak mudah kerana netizen tidak kisah sama ada betul ke, baik ke, salah ke, kejam atau tidak, bagi mereka, yang penting mereka rasa puas hati dengan apa yang ditulis. Jadi kitalah yang perlu mengawal diri sendiri.
SINAR HARIAN: Pernahkah YB berasa down dan menangis disebabkan cercaan yang diterima?
YOUNG SYEFURA: Pernah. Itu sewaktu saya melanggar PKP dulu, kesilapan diri sendiri yang memang saya akui dan saya faham pada ketika itu semua orang tertekan dengan PKP dan jangkitan Covid-19.
Dan itu kesilapan terbesar yang pernah saya buat dalam hidup dan sepanjang berada dalam politik. Ketika itu memang seminggu saya menangis, saya tak tengok media sosial. Saya hanya hubungi beberapa orang sahaja.
Pada waktu itu, saya rasa perkara yang saya buat tidak lah besar mana, tetapi sebenarnya memang silap diri sendiri. Saya rasa hukuman yang saya terima itu terlalu berat sehinggakan netizen sebarkan nombor telefon peribadi saya.
Mereka mesej saya dengan nada marah-marah dan mengeluarkan perkataan kurang elok sehinggakan saya rasa seolah-olah saya buat kesalahan membunuh orang. Namun, saya faham keadaan dan perasaan mereka semua. Cumanya memang apa yang mereka tulis itu tiada batas. Tapi saya kena terima lah.
SINAR HARIAN: Selaku wanita muda DAP, apa pendekatan YB untuk tarik anak muda supaya sokong DAP?
YOUNG SYEFURA: Pengaruh media sosial hari ini memang sangat kuat dan ia sebenarnya bukan di Malaysia sahaja tapi di mana-mana negara pun mengalami masalah yang sama. Memang media sosial sangat penting tetapi kita perlu seimbangkan. Tetapi saya faham, anak muda di luar sana celik politik, faham dan progresif serta boleh berfikir dengan baik dalam membuat keputusan.
Jadi saya sebagai Naib Ketua Wanita DAP yang baru dilantik, memikul tanggungjawab yang sangat besar untuk saya membuka ruang dan peluang kepada anak muda bagi menarik minat mereka terhadap DAP.
Kita nak mereka kenali DAP walaupun DAP adalah parti yang sudah berpuluh tahun, namun sehingga hari ini sentimen yang dimainkan terhadap DAP itu masih ada...walaupun dulu UMNO kita lawan tetapi kini UMNO bersama dengan kita.
Saya mahu mereka lihat politik hari ini adalah politik yang dinamik, dulu kita lawan hari ini kita kawan dan bagaimana kita perlu profesional dalam apa sahaja bidang lebih lagi dalam dunia politik hari ini yang mana kita perlu sentiasa terbuka, hormat dan menerima semua yang berlaku.
Untuk itu, kita telah adakan sesi penerangan apa itu DAP kerana kita bukan memaksa mereka sertai tetapi kita mahu mereka kenali DAP dengan lebih dekat macam siapa pemimpin DAP, apa bahasa yang kita bawa untuk kita menolak sentimen ataupun persepsi negatif di luar.
Kita juga memanggil pemimpin-pemimpin DAP untuk turun bercakap dengan anak-anak muda ini supaya mereka rasa dekat serta kenal dengan DAP.
Kita juga berbincang isu-isu yang kritikal seperti isu semasa dan ekonomi untuk kita lihat bagaimana pemikiran anak muda masa ini kerana program seperti ini sangat penting.
Saya ingat lagi satu hantaran saya di platform X, mengajak siapa yang mahu sertai DAP dan dalam satu malam sahaja kita dapat 200 penyertaan bukan untuk sertai DAP tapi untuk mengenali DAP.
Kita tidak ada paksaan tetapi kita membuka pintu kepada mereka untuk kenal kita dan ini adalah salah satu cara pihak pemuda DAP untuk bersama dengan anak muda dan semestinya dari masa ke masa program seperti sembang santai, sembang kopi terus kita jalankan.
Ahli Parlimen dan pejabat ADUN kami juga sentiasa terbuka untuk menerima pelajar intern dan bekerja di pejabat setiap wakil rakyat kerana kita tahu anak muda ini dia minat politik tapi tak tahu mana nak pergi, mahu jadi sukarelawan tapi tidak tahu cara nak berkhidmat.
Yang paling penting sekarang ini, semua wakil rakyat kita digalakkan untuk mempunyai media sosial sendiri bagi membolehkan anak-anak muda tahu wakil rakyat kawasan mereka di mana, program apa yang ditawarkan, apa khidmat bakti yang diberikan.
SINAR HARIAN: Apa yang YB boleh gambarkan mengenai hala tuju pemerintahan Kerajaan Perpaduan ketika ini?
YOUNG SYEFURA: Dari segi hala tuju pemerintahan Kerajaan Perpaduan, kita nampak sangat baik dari masa ke masa dengan kesungguhan dan kerjasama antara Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet serta benchers MP Kerajaan Perpaduan.
Dan ketika ini kita sedang membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang mana kita boleh tambah baik dalam pentadbiran negara pada hari ini dan saya percaya dengan kesungguhan menteri-menteri kita, mereka akan memastikan kita mampu meningkatkan ekonomi, dapat membantu rakyat dan sebagainya.
Bagi saya, beri peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir dalam tempoh lima tahun ini dan PRU16 nanti, kita lihat siapa yang rakyat akan pilih.
Saya percaya, mereka boleh buat kerja dengan baik dan kita tengok semakin ramai pelabur yang datang dan saya berharap kerjasama yang sangat baik juga daripada pegawai-pegawai kerajaan kerana mereka adalah tulang belakang kerajaan. Kerjasama daripada mereka amat perlu untuk kita membangunkan negara ini dengan lebih bagus pada masa hadapan.
SINAR HARIAN: Sepanjang terlibat dalam politik mungkin ada kisah yang sangat memberi kesan kepada YB. Boleh kongsikan?
YOUNG SYEFURA: Paling terkesan apabila saya kehilangan 'ayah' saya iaitu Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Sampai sekarang saya rasa sangat kehilangan kerana kita kerap berhubung, dan berjumpa, apabila diperlukan saya akan tanya beliau. Allahyarham seorang yang sangat baik dan senang dibawa berbincang.
Apabila konsep Rahmah dbawa oleh Allahyarham, ia jadi satu kehilangan besar. Apabila kita dalam dunia politik, kita akan rapat dengan orang politik, kita akan bersama dengan mereka, selalu berjumpa di ceramah, Parlimen atau di mana sahaja.
Bagi saya sendiri, dunia politik ini adalah bagaimana kita nak perbaiki diri supaya dapat bantu masyarakat kerana menjadi orang politik sebenarnya adalah tanggungjawab yang besar kerana kita perlu tahu cara untuk membantu orang.
Sebab itu saya masuk politik kerana saya seorang yang mudah kasihan. Saya dulu pun sebenarnya daripada keluarga yang susah, rumah pernah kena lelong, selalu pindah rumah, masalah keluarga dan sebagainya.
Oleh itu, saya tidak mahu generasi hari ini, hanya kerana politik yang berbeza, fahaman yang berbeza, kita hidup dalam kesusahan, semua pihak perlu mainkan peranan yang penting.
Klik di sini untuk terus membaca