SHAH ALAM - Kerajaan disaran mengurangkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus kepada tiga peratus jika ingin melaksanakannya semula.
Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, pelaksanaan semula GST tidak menjadi masalah, namun perlu mengambil kira beberapa faktor bakal dihadapi rakyat ketika ini.
"Kalau dahulu dikenakan cukai sebanyak enam peratus, mungkin kali ini boleh diturunkan kepada tiga peratus. Ia kerana rakyat merasa tekanan dari segi kos sara hidup tinggi, gaji rendah dan harga barangan atau keperluan semakin membebankan.
"Rakyat mungkin boleh faham yang kerajaan juga perlukan duit untuk mentadbir ekonomi negara tetapi tidak bolehlah terlalu tinggi (GST),” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau mengulas mengenai kemungkinan kerajaan tidak menolak untuk memperkenalkan semula GST yang dimansuhkan pada tahun 2018.
Untuk rekod, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan akan mengutamakan beberapa strategi bagi meluaskan sumber hasil negara antaranya membangunkan Cukai Keuntungan Modal yang dijadual dilaksanakan pada tahun 2024 dan GST.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kerajaan akan memperkenalkan dasar cukai progresif kerana ia tidak bersifat broad-based seperti GST yang memberikan kesan besar terhadap golongan kurang mampu.
Sementara itu, Nuradli Ridzwan Shah berkata, pelaksanaan semula GST berupaya meredakan kekangan fiskal sekali gus membantu memulihkan keadaan ekonomi negara.
"Kerajaan memang menghadapi kekangan fiskal sebelum ini contohnya kadar defisit rendah ketika Covid-19 melanda negara. Dari segi nak melaksanakannya semula (GST), ia salah satu cara yang baik untuk meredakan kekangan fiskal.
"Tetapi, kita pernah laksanakannya kemudian mansuh dan sekarang hendak laksanakan semula. Yang menjadi isu hanyalah mahu buat atau tidak sahaja,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca