SHAH ALAM - Lebih 1,000 orang pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diarah turun padang setiap hari, bagi membuat pemeriksaan harga barangan di kedai serta pasar raya secara rawak.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, arahan tersebut merupakan langkah kerajaan untuk memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang secara tidak wajar.
Bagaimanapun kata Fuziah, laporan yang diterima setakat ini tidak menunjukkan berlaku peningkatan harga barangan secara tidak terkawal di pasaran tempatan seluruh Malaysia.
"Saya bagi contoh, kami dapat laporan kenaikan harga bawang di Johor sebanyak 30 hingga 40 peratus.
"Selepas pemeriksaan dibuat di beberapa kedai, secara puratanya perkara itu tidak berlaku.
"Mungkin itu kes terpencil memandangkan pelapor tidak memberitahu secara jelas di mana ia berlaku.
"Pihak kami kerap melakukan pemantauan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga tidak munasabah iaitu 30 hingga 40 peratus.
"Jika perkara itu berlaku, penguat kuasa KPDN akan mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga tersebut di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” ujarnya.
Fuziah berkata lagi, kenaikan harga barang lingkungan satu atau dua peratus adalah perkara biasa, namun sekiranya mencecah 30 hingga 40 peratus, peniaga telah melanggar Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
"Harga barang ditentukan oleh tawaran dan permintaan.
"Sekiranya penawaran terhad dan permintaan tinggi, maka harga barangan tersebut tentu sekali akan meningkat.
"Kerajaan juga ada mengawal harga beberapa barang keperluan antaranya gas, minyak masak botol, gula dan beras tempatan,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca