SHAH ALAM - Kredibiliti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang disegani negara luar khususnya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mampu memberi nilai tambah terhadap jaringan pelaburan ekonomi kepada empat kerajaan negeri ditadbir oleh Perikatan Negeri (PN).
Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, ini kerana pelantikan bekas Ahli Parlimen Langkawi sebagai penasihat tidak rasmi State-Government 4 (SG4) diketahui mempunyai pengaruh yang sangat kuat bukan sahaja dari segi pendidikan tetapi juga kehidupan harian termasuk muamalat secara Islam.
"Pelantikan Dr Mahathir menjadi penasihat kepada empat negeri tersebut sesuatu yang sangat positif bukan sahaja kepada negeri terlibat tetapi juga Malaysia secara khususnya.
"Jadi, saya melihat Dr Mahathir sebagai penasihat kepada empat negeri tersebut akan menarik kembali pelabur-pelabur yang begitu teruja dengan idea dan wawasan beliau yang terkini sesuai dengan perubahan zaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sejauh mana kredibiliti Dr Mahathir mampu bantu pentadbiran negeri di bawah PN terutama di Kelantan dan Kedah yang perkembangan ekonominya lebih perlahan ketika ini.
Mengulas lanjut, Mohd Faisol berkata, pengalaman luas bekas Perdana Menteri sebelum ini secara tidak langsung membuatkan Dr Mahathir lebih memahami kekuatan dan kelebihan di empat negeri tersebut.
"Selain itu, sejarah juga membuktikan bagaimana Dr Mahathir mampu menangani krisis mata wang pada 1997 juga sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk datang melabur ke negeri yang mempunyai pertumbuhan ekonomi perlahan.
"Ini kerana mereka beranggapan negeri-negeri ini mampu dipacu oleh pembangunan yang mampan dan berdaya maju serta mempunyai impak positif dalam jangka masa panjang,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca