WALAUPUN pelantikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat empat kerajaan negeri ditadbir oleh Pas atau 'State-Government 4' (SG4) tidak melanggar semangat federalisme, namun ia mampu merencatkan... Klik di sini untuk terus membaca

WALAUPUN pelantikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat empat kerajaan negeri ditadbir oleh Pas atau 'State-Government 4' (SG4) tidak melanggar semangat federalisme, namun ia mampu merencatkan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif berkata, pelantikan Dr Mahathir juga dijangka tidak akan memberikan impak besar kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan dan peningkatan taraf kehidupan rakyat di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis pada masa depan.

Ini kerana katanya, suasana ekonomi dan faktor geopolitik dunia sudah jauh berubah ditambah dengan perkembangan pesat teknologi terkini yang memerlukan sekumpulan pakar peka dengan perkembangan semasa.

"Penubuhan SG4 sendiri menyebabkan pelabur jadi keliru, tidak tahu di mana dan dengan siapa bakal menjadi rujukan mereka untuk melabur. Ini kerana mereka kurang pasti sama ada kerjasama strategi berkenaan akan terus berkekalan jika berlaku pertukaran kerajaan negeri dalam pilihan raya umum akan datang.

"Justeru, sama ada penubuhan SG4 ini boleh membantu menjayakan atau membantutkan pelaksanaan RMK12, bergantung kepada sejauh mana kerjasama strategik antara kerajaan negeri dengan Persekutuan. Jika kurangnya komunikasi dan ketelusan, pelaksanaan RMK12 boleh terjejas,” katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Ahmed Razman berkata, SG4 juga memerlukan sekumpulan pakar yang mampu memberikan nasihat strategik lebih sesuai kepada inisiatif penerokaan industri baharu, sekali gus menjadikan hala tuju ekonomi empat negeri berkenaan lebih berdaya saing dan mampan.

Dalam pada itu, Ahmed Razman menjelaskan, SG4 hanya mampu mengeluarkan empat negeri berkenaan daripada masalah kemiskinan tegar jika usaha tersebut dibuat secara konsensus bersama Kerajaan Persekutuan.

"Ini kerana tidak mustahil berlaku pertindihan bantuan dan program membasmi kemiskinan sehingga menyebabkan ada kemungkinan sebahagian kumpulan sasar yang layak tercicir nama daripada pangkalan data Kerajaan Persekutuan atau negeri tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmed Razman yakin, pelaksanaan SG4 mampu mengurangkan kebergantungan kepada bantuan dan pemberian hutang daripada Kerajaan Persekutuan jika kerjasama berkenaan berjaya meningkatkan ekonomi empat negeri terbabit.

Menyentuh semangat federalisme, pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, pelantikan Dr Mahathir sebagai penasihat dan penubuhan SG4 boleh dibuat selagi tidak melanggar prinsip persekutuan seperti ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Wan Ahmad Fauzi berkata, penubuhan SG4 kekal relevan selagi kerjasama yang dimaksudkan tidak melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan tidak menjejaskan perhubungan dengan negeri lain sebagai ahli keluarga Malaysia.

"Perlembagaan Persekutuan sudah memperuntukkan platform rasmi bagi maksud pembangunan ekonomi berasaskan semangat federalisme yang menjadi tulang belakang dan asas penubuhan Malaysia.

"Platform itu termasuklah penubuhan Majlis Tanah Negara, Majlis Kewangan Negara dan pelbagai jawatankuasa lain yang merealisasikan usaha pembangunan negara secara kerjasama antara anggota negeri-negeri dalam Malaysia dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau menjelaskan, Bab 6 Perlembagaan Persekutuan turut menggariskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk membantu negeri melalui aktiviti siasatan, tinjauan dan perangkaan.

"Kerajaan negeri mempunyai kuasa budi bicara bagi mendapatkan nasihat pakar bagi perancangan dan pembangunan, khususnya membabitkan hasil bumi seperti unsur nadi bumi (REE).

"Namun kerjasama berkenaan tidak wajar sekadar bermotifkan usaha mewujudkan blok kepartian kerana kerajaan negeri adalah kerajaan sultan atau raja pemerintah negeri masing-masing.

"Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan juga tidak boleh mendiskriminasikan negeri yang dipengaruhi parti politik berbeza. Perbezaan kepartian hanya wajar wujud pada peringkat pemilihan wakil rakyat dan pilihan raya sahaja,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca