ISU tanah terbiar bukanlah perkara baru, ia bukan sahaja sinonim di negara kita, malah di kebanyakan negara. Secara dasarnya tanah terbiar ini bukan tiada pemilik cuma ia tidak diusahakan atas faktor-faktor tertentu.
Bagaimanapun ia memberi kesan terhadap sesuatu kawasan sehingga boleh menjejaskan perkembangan ekonomi terutamanya di kawasan luar bandar.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Saiful Yazan Sulaiman, perkara itu antara yang mendapat perhatiannya kerana pembangunan tanah terbiar ini mampu melonjakkan eko-pelancongan penduduk kampung terutamanya golongan anak muda yang masih mencari peluang untuk menjana pendapatan.
Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, NORAFIDAH ASSAN bersama Saiful Yazan bagi mengulas isu tanah terbiar dan lain-lain isu di kawasan DUN diwakilinya.
SINAR HARIAN: Difahamkan Yang Berhormat (YB) kerap menerima aduan berhubung tanah terbiar ini. Bolehkah YB ceritakan keluhan mereka?
SAIFUL YAZAN: Ya saya ada terima beberapa aduan daripada penduduk setempat berhubung perkara ini, mereka datang ke pusat khidmat saya termasuklah ketika bertemu di sekitar kawasan Johol meluahkan isu tersebut.
Bagaimanapun, untuk membangunkan tanah ini ia membabitkan dua status iaitu tanah adat dan tanah milik yang mungkin daripada segi pemiliknya sudah tidak tinggal di kawasan itu.
Bagi tanah milik individu, mereka yang berada di luar Johol mungkin melihat tidak ada keperluan untuk memajukan tanah tersebut. Ada dalam kalangan mereka juga mengakui tidak berkemampuan untuk mengusahakannya.
Mereka ini mempunyai idea namun kekangan kewangan menjadi faktor utama, namun ada juga yang tidak berminat untuk mengusahakannya disebabkan ingin menumpukan pekerjaan sedia ada.
Selain itu, ada yang memaklumkan disebabkan penama ramai dalam satu tanah menyukarkan mereka untuk mengusakannya kerana perlu persetujuan semua pihak terlibat seperti pertukaran nama waris dan sebagainya.
Justeru, keadaan ini mengakibatkan proses pembangunan tanah terbiar menjadi sukar sebab kalau di Johol ini kebanyakan kawasan di tepi jalan utama iaitu kira-kira 30 hingga 40 peratus merupakan tanah terbiar milik individu.
Berhubung tanah adat pula, ia agak rumit kerana terdapat kekangan tertentu dari segi adat masyarakat Adat Perpatih.
SINAR HARIAN: Apakah cabaran dihadapi oleh YB sepanjang menyelesaikan masalah itu?
SAIFUL YAZAN: Cabaran utamanya adalah berkaitan dengan undang-undang negeri dan tanah adat itu sendiri. Perlu diteliti dengan sebaiknya sebelum sebarang keputusan dibuat supaya tidak berlaku hal berbangkit di kemudian hari.
Kalau tanah individu itu dari segi sikap mereka sendiri, kesedaran terhadap tanah terbiar ini antaranya tiada usaha untuk membersihkannya. Saya tidak menolak juga ada yang tidak tahu cara untuk memajukan tanah mereka yang akhirnya menyebabkan masalah kepada penduduk setempat.
SINAR HARIAN: Di kawasan DUN YB sendiri apakah usaha dan langkah yang dilakukan bagi mengatasi masalah berkenaan dalam tempoh lima tahun ini.
SAIFUL YAZAN: Sebelum ini, saya telah lancarkan Tekad Hebatkan Johol yang di dalamnya merangkumi bidang pendidikan, kebajikan,pembangunan infrastruktur, eko-pelancong dan Johol Bertani.
Kalau tanah terbiar ini ada kaitan dengan eko-pelancongan serta Johol Bertani dan kedua-duanya selaras dengan hasrat saya ingin menjadikan kawasan Johol ini sebagai pilihan pelancong antaranya membangunkan beberapa kawasan sebagai destinasi pelancongan.
Salah satunya saya tekankan eko-pelancongan dengan membina kem perkhemahan, memperbanyakkan inap desa yang melibatkan pembangunan di kawasan tanah terbiar. Contohnya, kalau tanah terbiar terletak di jalan utama, mungkin sesuai pembukaan industri-industri kecil dan tanah-tanah terbiar di tepi sungai pula sesuai untuk buat tapak perkhemahan.
Berhubung tanah adat yang terbiar pula, sebelum ini kerajaan negeri ada meluluskan Rang Undang-Undang Pemegangan Tanah Adat Luak Tanah Mengandung Dan Tanah Adat Lingkungan 2022 dan RUU Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (Pindaan) 2022.
Pun begitu, RUU ini masih tidak menyeluruh kerana ia hanya melibatkan tanah adat lingkungan sahaja. Ini bermakna, ia tidak meliputi keseluruhan tanah adat yang ada dan ini menyebabkan kita masih tidak dapat menyelesaikan masalah tanah adat terbiar secara keseluruhannya.
Justeru, saya berpandangan perlu ada satu mekanisme menyeluruh supaya masalah tanah terbiar ini terutamanya yang melibatkan tanah adat dapat diselesaikan sepenuhnya. Ini bermakna, kerajaan negeri perlu melibatkan pelbagai pihak untuk perhalusi cara serta jalan terbaik untuk melaksakannya termasuk kemungkinan mewujudkan satu jawatankuasa di peringkat negeri.
SINAR HARIAN: Apakah nasihat YB kepada pemilik tanah terlibat dalam memastikan tanah berkenaan tidak terbiar dan diselenggara.
SAIFUL YAZAN: Saya mahu pemilik tanah terlibat bekerjasama sama-sama memajukan tanah tersebut. Saya bersedia berkongsi maklumat berkaitan, boleh datang terus ke pejabat saya. Ada agensi kerajaan yang boleh membantu.
Dalam masa sama, saya pun sudah kenal pasti tanah-tanah berkenaan yang mana ia mempunyai potensi yang baik, malah terdapat pengusaha tapak khemah berminat untuk membuka perniagaan tersebut di sini disebabkan lokasinya bersesuaian.
Lagi pula, kawasan Johol ini jauh dari kawasan bandar, tenang dan kehadiran kem-kem ini membolehkan orang ramai melakukan aktiviti riadah secara alam semula jadi. Kita ada juga trek-trek aktiviti permotoran lasak.
Selain tanah milik individu dan tanah adat, tanah kerajaan yang mempunyai potensi dibangunkan turut mendapat perhatian saya contohnya tanah itu boleh dibina kolej komuniti, pusat latihan, maktab rendah sains MARA, kedai-kedai untuk orang tempatan berniaga atau yang bersesuaian.
PROFIL
Nama: Saiful Yazan Sulaiman
Umur: 57
Status: Berkahwin dan mempunyai empat orang anak
Asal: Kampung Renggoh,Johol
Pendidikan:
- Sijil Senibina Diploma Kejuruteraan Awam, UiTM
- Sarjana Muda Kejuruteraan Air Buangan
Jawatan: Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Pilah
Klik di sini untuk terus membaca