"TIDURLAH anakku, selimutkan tubuhmu. Malam ini lebih sejuk.” Berlatar belakang bunyi rintik hujan, mungkin itulah kata-kata terakhir seorang ibu saat menidurkan anak kecilnya di kamar malam Isnin lalu.
Saat nyenyak dibuai mimpi, penduduk Derna, Libya dikejutkan dengan bunyi letupan yang amat kuat. Belum pun pun benar-benar faham apa yang berlaku, sekelip mata, ribuan rumah ranap bersama seluruh penghuninya, dihanyut air deras yang melimpah dari dua empangan.
Tak siapa sangka, hujan yang sedikit lebat dan lama daripada biasa itu berkesudahan dengan tragedi memilukan. Dua empangan yang berada kurang 10 batu dari bandar itu pecah susulan curahan hujan berlebihan bawaan Ribut Daniel.
Sekurang-kurangnya 30 juta meter padu air dimuntahkan, meragut sekurang-kurangnya 15,000 nyawa. Hampir 25 peratus kawasan bandar Derna kini kosong. Hanya sisa-sisa runtuhan bangunan dan mayat yang bergelimpangan di sebalik timbunan lumpur kelihatan.
Sejak zaman dulu kala, empangan sememangnya infrastruktur terpenting dalam peradaban manusia. Di zaman moden ini, jumlah empangan juga semakin banyak. Bukan saja sebagai takungan bekalan air dan pengairan tanaman, malah turut berfungsi mengawal banjir dan menjana tenaga hidro.
Empangan pecah pula, walau amat jarang berlaku, sering kali mencatat jumlah kemusnahan yang jauh lebih tinggi dari bencana lain. Kerana itu, International Humanitarian Law turut melarang keras apa jua bentuk serangan ke atas empangan milik pihak lawan sebagai strategi peperangan.
Empangan pecah pertama kali berlaku pada tahun 575 di negeri Saba’ (Yemen). Negeri Ratu Balqis yang hebat itu katanya ditenggelami air dari empangan Saba’ yang pecah. Peristiwa yang berlaku pada kaum Saba’ ini memberitahu kita, betapa sebuah empangan sudah cukup untuk memusnahkan tamadun yang gah.
Insiden empangan pecah paling besar di zaman moden ini pula berlaku pada tahun 1975 di China susulan Taufan Nina. Hujan lebat menyebabkan empangan Banqio serta beberapa empangan lain di Daerah Henan gagal berfungsi menampung air yang terlalu banyak, lalu pecah, memusnahkan hampir tujuh juta rumah dan mengorbankan 171,000 nyawa.
Empangan dibina dengan reka bentuk khas bagi menampung bekalan air dengan selamat dan boleh berfungsi sehingga ratusan tahun. Tapi, ia perlu dipantau berterusan dan disenggara secara berkala. Kos yang terlibat pula bukan sedikit.
Tentulah dengan jumlah empangan yang begitu banyak hari ini, pemantauan dan penyenggaraan oleh kerajaan menjadi lebih sukar dan memerlukan belanja yang amat besar. Dalam masa sama, kekurangan pemantauan dan penyenggaraan terus menjadi punca utama berlakunya insiden seperti ini.
Siasatan awal mengesyaki dua empangan yang pecah di Derna yang kini digelar The Dam of Death juga terkait rapat dengan isu penyenggaraan yang tak mencukupi.
Lebih menyedihkan, kebimbangan terhadap isu kerosakan yang berlaku di empangan itu sudahpun lama disuarakan penduduk setempat kepada kerajaan. Malangnya, pegawai yang bertanggungjawab dikatakan bersikap acuh tak acuh saja. Tiada sebarang tindakan diambil.
Apa yang terjadi di Derna memberitahu kita, penyenggaraan meskipun mahal, ia tak semahal nilai kemusnahan yang telah pun berlaku. Malah jauh lebih rendah berbanding pelaburan yang diperlukan untuk membangun semula bandar seperti Derna.
Cerita empangan pecah, walau berlaku di tempat orang, tetap boleh buat kita tak lena tidur. Apatah lagi di Malaysia ini kita ada begitu banyak empangan. Di Lembah Klang saja ada tiga buah empangan iaitu Empangan Klang Gate, Empangan Batu dan Empangan Semenyih.
Buat masa ini, Malaysia ada garis panduan pengurusan empangan yang amat baik (MyDam) dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran.
Empangan kita juga masih belum terlalu tua melangkau ratusan tahun. Walaupun begitu, dengan taburan hujan yang semakin tinggi dan tak menentu, risiko empangan gagal berfungsi dan pecah tetap tinggi.
Mengambil pengajaran dari kisah Empangan Derna, Banqio mahupun Saba’, kita harap kerajaan Persekutuan atau negeri tak sesekali culas dalam menyenggara empangan-empangan kita, tak kiralah seperti apapun keadaan politik dan ekonomi yang sedang dan bakal kita hadapi.
Tak dapatlah dibayangkan betapa dahsyat kemusnahan yang boleh berlaku andai walau hanya satu empangan kita gagal berfungsi dan pecah. Semoga dijauhkan!
*Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca