PADA 31 Julai lalu, penulis dalam ruangan Untung Rugi, Sinar Harian telah memberikan gambaran bahawa negara bakal berhadapan dengan krisis beras disebabkan oleh pelbagai faktor luaran dan juga dalaman. Penulis ketika itu menekankan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 31 Julai lalu, penulis dalam ruangan Untung Rugi, Sinar Harian telah memberikan gambaran bahawa negara bakal berhadapan dengan krisis beras disebabkan oleh pelbagai faktor luaran dan juga dalaman.

Penulis ketika itu menekankan berkenaan negara India yang telah mengenakan larangan eksport beras utama. India adalah negara yang menyumbang lebih daripada 40 peratus daripada eksport beras dunia dan ini bermakna larangan eksport berkenaan bakal meningkatkan harga makanan.

Penulis turut menekankan bahawa disebabkan oleh kebergantungan tinggi kepada negara luar, maka amat berisiko berlakunya kenaikan harga beras di dalam negara pada masa akan datang.

Kemuncak kepada isu ini telah menyebabkan krisis melebar dengan tambahan pelbagai faktor lain yang merumitkan keadaan. Tatkala, peningkatan harga beras import sehingga 36 peratus sebelum ini, beras tempatan pula didapati sukar untuk diperolehi.

Terdapat pelbagai kemungkinan mengapa beras tempatan sukar diperolehi. Ia mungkin kerana faktor permintaan yang jauh lebih tinggi daripada pengeluaran disebabkan oleh sebahagian pengguna beralih daripada membeli beras import kepada beras tempatan.

Selain itu, berkemungkinan ia melibatkan tahap kecekapan pembekal atau lebih parah lagi berlakunya aktiviti sembunyi beras tempatan di dalam gudang dengan harapan dapat menjualnya selepas harga beras diapungkan.

Pada 5 Jun lalu, penulis dalam ruangan sama dengan artikel bertajuk ‘Sediakan payung sebelum hujan’ telah menekankan agar kerajaan Pusat dan negeri perlu mempertingkatkan simpanan bank makanan untuk bersedia daripada berhadapan dengan sebarang kemungkinan krisis makanan yang lebih mencabar.

Kita tahu tahun ini lebih ramai penduduk dunia yang akan berhadapan dengan krisis makanan termasuk peningkatan kadar kebuluran dan kekurangan bekalan makanan, maka bank makanan ini bertujuan untuk menyimpan makanan yang dapat bertahan lama.

Sekiranya krisis makanan meruncing, maka stok makanan yang disimpan ini boleh disalurkan kepada rakyat.

Ternyata terdapat usaha dan inisiatif awal yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri antaranya kerajaan Terengganu dan pelbagai pihak lain yang terlibat dalam penghasilan Beras Ganu.

Beras keluaran anak syarikat kerajaan negeri ini telah berjaya membekalkan beras tempatan untuk keperluan rakyat dan mendapat permintaan tinggi pengguna ekoran kenaikan harga beras import serta kekurangan beras tempatan lain di pasaran ketika ini.

Inisiatif Beras Ganu boleh dijadikan salah satu contoh dalam membantu kekurangan bekalan beras dan perkara ini juga perlu diperluaskan dalam konteks mengurangkan kebergantungan kepada barangan import. Sebahagian bahan mentah makanan, pengeluarannya boleh dibuat di peringkat dalaman sahaja tanpa bergantung kepada negara luar.

Malaysia sebenarnya amat terdedah kepada isu ini lebih-lebih lagi kebergantungan Malaysia terhadap barangan import terutamanya bekalan makanan amat tinggi.

Mengikut laporan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, sebanyak RM75.54 bilion import makanan dicatatkan pada tahun 2022, berbanding RM63.59 bilion pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 18.7 peratus. Perkara ini perlu dikurangkan melalui pengeluaran di peringkat dalaman.

Selain daripada meningkatkan pengeluaran dalaman, peralihan subsidi melalui kad pengenalan dan e-dompet secara berperingkat juga sesuatu yang boleh dipertimbangkan pelaksanaannya dalam membantu menyelesaikan krisis yang berlaku ketika ini agar ia tidak berlarutan serta merebak ke barangan lain yang akan memberikan lebih tekanan kepada rakyat.

Selain itu, pihak penguasa juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengambil kesempatan dan menangguk di air keruh terhadap krisis yang berlaku.

Emas suasa emas bersadur,

Dilebur dengan panasan api;

Walaupun musang sedang tidur,

Mengira ayam dalam mimpi.

*Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca