TEHERAN - Ulang tahun pertama memperingati kematian Jina Mahsa Amini pada Sabtu lalu mencetuskan gelombang protes tidak pernah berlaku di seluruh dunia.
Pasukan keselamatan Iran turut dikerahkan ke bandar kelahirannya di wilayah Kurdistan sejak beberapa hari lalu untuk mengawal situasi selepas kemarahan orang ramai masih membara.
Pihak berkuasa didakwa menggunakan kekerasan terhadap gadis berusia 22 tahun itu yang ditahan kerana melanggar kod etika pakaian wajib dikuatkuasakan pemerintah hingga meragut nyawanya.
Ketika diberkas pada 13 September 2022, Mahsa dikatakan tidak memakai tudung dengan sempurna.
Sebagai membantah tindakan itu, golongan wanita di Teheran dan seluruh dunia bertindak melancarkan protes yang kemudiannya bertukar menjadi ganas.
Siapa sangka kematian Mahsa telah memberi impak besar kepada komuniti global sehingga ke hari ini.
Gadis itu turut tersenarai sebagai 100 Wanita Paling Berkuasa di Dunia menerusi majalah Forbes yang menjadi titik tolak bantahan secara besar-besaran dan membawa kepada gerakan revolusi yang menuntut perubahan di bawah pemerintahan rejim konservatif di Iran.
Nama Mahsa bukan sahaja sinonim dengan penindasan teokratik (sistem kerajaan yang menggunakan hukum agama sebagai dasar pemerintahan) malah ia dijadikan hashtag secara meluas dan pernah digunakan lebih 79 juta kali sehingga 30 November 2022.
"Mahsa kini menjadi simbol kebebasan global,” kata aktivis hak asasi wanita, Nina Ansary yang menyelar rejim Teheran kerana melayan wanita sebagai ‘warga kelas kedua’.
Kira-kira 41 tahun lalu, kurang sebulan selepas Revolusi Islam menguasai politik Iran, ribuan wanita pernah membanjiri jalan utama di ibu kota untuk menentang dasar dicadangkan pemerintah yang menghendaki golongan itu menutup seluruh tubuh mereka dan ketidakadilan lain.
Bantahan sama kembali melanda negara Asia Barat tersebut dan berterusan sehingga ke hari ini.
Kesan trauma pada kepala
Mahsa dilahirkan pada 21 September 1999 di wilayah Kurdistan, barat laut Iran.
Gadis itu mendapatkan pendidikan di Taleghani Girls High School di Saqqez dan tamat belajar pada tahun 2018.
Dia dikatakan bakal memasuki universiti pada akhir 2022 dan bercita-cita mahu menjadi peguam malah dia sempat menguruskan kedai butik milik bapanya sebelum meninggal dunia.
Detik hitam itu berlaku ketika Mahsa bersama ahli keluarganya tiba di Teheran untuk menziarahi saudara mereka.
Mahsa ditahan Gasht-e Ershad (polis moral), namun dia dikatakan cuba melawan hingga memaksa tindakan kekerasan digunakan ke atasnya.
Beberapa wanita lain yang diberkas di bawah kesalahan sama mendakwa Mahsa dipukul beberapa kali di dalam van peronda.
Ketika di pusat tahanan, Mahsa jatuh pengsan secara tiba-tiba sewaktu disoal anggota pihak berkuasa wanita.
Gadis itu kemudiannya berada dalam keadaan koma dan dimasukkan ke hospital di mana dia menghembuskan nafas terakhir pada 16 September 2022.
Punca kematiannya masih tidak jelas selepas keluarganya mendakwa dia mungkin terkena serangan jantung dan strok.
Laporan koroner bagaimanapun mendapati ia berpunca daripada kegagalan beberapa organ yang disebabkan hipoksia serebrum yang ada kaitan dengan pembedahan otak berdasarkan rekod kesihatan miliknya.
Keluarga Mahsa sekali lagi menolak prosedur yang dijalankan lebih sedekad lalu menyebabkan sebarang komplikasi.
Warisnya juga tidak dibenarkan memeriksa tubuhnya, namun bukti gambar dan video ketika jasad Mahsa ditempatkan di hospital menunjukkan terdapat kesan trauma pada kepala gadis berkenaan.
Bapa kena tahan
Pihak berkuasa didakwa menghalang keluarga Mahsa mengadakan sebarang upacara untuk memperingati pemergiannya.
Kumpulan hak asasi manusia memaklumkan bapanya, Amjad Amini turut dikenakan ‘tahanan rumah’ dan kemudiannya dibebaskan tidak lama selepas diberi amaran keras.
"Bapanya tidak dibenarkan menziarahi pusara gadis itu,” dakwa jurucakapnya.
Media tempatan bagaimanapun cuba meredakan kemarahan orang ramai dengan menyatakan pasukan keselamatan ‘mengurung’ bapanya kerana ancaman bunuh diterima lelaki itu.
Pada minggu lalu, Amjad dipanggil pegawai risikan selepas dia mengumumkan rancangan tentang upacara tersebut.
Salah seorang bapa saudaranya, Safa Aeli turut ditahan di Saqez pada awal bulan lalu.
Ketika ini, pasukan keselamatan menutup akses ke kawasan tanah perkuburan yang menempatkan pusaranya kerana bimbang protes ganas kembali berulang. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca