SHAH ALAM - Ketiadaan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku sekretariat penting yang menguruskan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol), diakui sedikit merencatkan usaha majlis itu untuk menangani... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketiadaan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku sekretariat penting yang menguruskan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol), diakui sedikit merencatkan usaha majlis itu untuk menangani kenaikan harga barang keperluan secara menyeluruh ketika ini.

Bekas Menteri KPDN, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, meskipun mesyuarat Naccol dipengerusikan Perdana Menteri, agenda mesyuarat dan pelaksanaan inisiatif yang dipersetujui dalam mesyuarat itu masih perlu dikendalikan oleh Menteri KPDN selaku pengantara atau mediator jawatankuasa sekretariat majlis.

Berikutan itu, beliau berkata, ketiadaan seorang Menteri KPDN secara sepenuh masa dibimbangi akan membantutkan fokus dan pelarasan agenda membendung kenaikan kos sara hidup yang dirancang Naccol secara rentas kementerian bersama tujuh kluster kementerian lain.

Tujuh kluster kementerian berkenaan dalam Naccol ialah Kluster Perumahan, Pendidikan, Pengangkutan, Utiliti, Kesihatan, Makanan dan e-Dagang.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

"Pengalaman peribadi saya, mesyuarat Naccol kebiasaannya diadakan sekurang-kurangnya dua hingga empat kali setahun bersama Perdana Menteri, menteri-menteri, Ketua Setiausaha Negara, Gabenor Bank Negara, Peguam Negara, tokoh-tokoh akademik, badan bukan kerajaan (NGO), wakil-wakil persatuan dan wakil-wakil industri.

"Bagaimanapun penyusunan strategi dalam merealisasikan agenda dipersetujui dalam mesyuarat Naccol memerlukan komitmen seorang Menteri KPDN yang secara sepenuh masa mampu berkomunikasi dan bermediasi dengan pegawai-pegawai kanan kementerian terlibat secara berkesan.

"Saya faham Perdana Menteri mungkin berdepan kekangan untuk melantik Menteri KPDN baharu lebih awal. Namun, saya merasakan lebih cepat portfolio kementerian kritikal itu dilantik seorang menteri, barulah Naccol akan lebih teratur,” kata Menteri Kerja Raya itu kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada kerajaan menerusi KPDN dan Naccol sudah mempunyai solusi kepada isu kenaikan harga barang yang semakin membebankan rakyat kebelakangan ini, terutamanya melibatkan pelbagai item barang makanan asas seperti beras, bawang dan cili.

Susulan pemergian bekas Ahli Parlimen Pulai, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu, kekosongan jawatan Menteri KPDN masih belum terisi dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali ketika ini dilantik sebagai pemangku.

Antara agenda pertama dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik sahaja dilantik memegang jawatan itu adalah dengan mengadakan mesyuarat khas Naccol bagi mengutamakan fokus membendung kenaikan kos sara hidup rakyat pada November tahun lalu.

Mengulas lanjut mengenai pengalamannya mengendalikan Naccol sewaktu kerajaan terdahulu, Alexander turut mencadangkan Naccol mengadakan mesyuarat dengan lebih kerap pada setiap tahun di samping fungsinya diselaraskan dengan lebih baik, setiap kali isu kenaikan harga barang timbul.

HASAN MALEK SERU TURUN PADANG

Seorang lagi bekas Menteri KPDN, Datuk Seri Hasan Malek turut bersetuju dengan pandangan pelantikan Menteri KPDN perlu diisi segera dan tidak boleh terus tertangguh.

Hasan

Ujarnya, pelantikan Menteri KPDN baharu akan memastikan fungsi Naccol diperkasa sekali gus memberi isyarat kepada setiap kementerian terlibat bahawa ada menteri yang akan memantau prestasi mereka sewaktu melaksanakan agenda majlis itu.

"Paling penting, kewujudan Naccol yang dipantau seorang Menteri KPDN sepenuh masa bakal memastikan aspek penguatkuasaan kementerian dalam membendung isu pencatutan harga barang dan aktiviti menyorok stok sumber makanan asas dapat dipertingkatkan secara optimum.

"Bagi saya, soal penguatkuasaan undang-undang terhadap peniaga atau pemborong yang cuba mengaut keuntungan melampau juga amat penting kerana kadangkala ada pihak mengambil kesempatan daripada kekangan dihadapi kementerian dan kerajaan ketika ini,” ulas Ahli Majlis, Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu.

Pada masa sama, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu turut menggesa bakal Menteri KPDN baharu dan Naccol turun padang ke setiap pelosok kawasan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan gambaran sebenar kadar kenaikan harga barang yang berlaku ketika ini.

"Jangan sekadar pantau harga barang di Lembah Klang. Ini kerana masalah kenaikan harga barang sebenarnya lebih banyak berlaku di kawasan luar bandar disebabkan aspek penguatkuasaan undang-undang yang lemah,” tambahnya.

Dalam pada itu, bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sewaktu zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH), Sim Tze Tzin mengakui Anwar berdepan cabaran besar untuk menggantikan Menteri KPDN baharu yang mampu menyaingi kualiti kepimpinan Salahuddin.

Menurutnya, hal ini kerana Salahuddin sememangnya mempamerkan prestasi cemerlang sewaktu mengemudi KPDN sehingga inisiatif Rahmah disambut hebat oleh rakyat sehingga kini.

"Hakikatnya, hanya setelah Salahuddin meninggal dunia, baru kita mendengar pelbagai isu kekurangan produk makanan asas timbul.

"Walaupun ada seorang menteri dilantik memangku jawatan dikosongkan Salahuddin, namun saya melihat KPDN memerlukan komitmen seorang menteri yang boleh berkhidmat secara sepenuh masa kerana portfolio itu amat kritikal dengan kesejahteraan hidup rakyat,” kata Ahli Parlimen Bayan Baru itu.

Klik di sini untuk terus membaca