ENTAH apa agaknya yang bermain di fikiran menteri-menteri kita ketika cuba menegur pemimpin dan peserta protes 'Selamatkan Malaysia' agar jangan terlibat dengan demonstrasi jalanan.
Banyak daripada menteri kanan kita kini banyaknya adalah 'bekas' peserta protes yang bermain di jalanan dalam politik mereka. Mereka dulu pun, semakin dilarang terus juga menggerakkan laungan reformasi di jalanan.
Di Indonesia, demonstrasi disebut 'unjuk rasa'. Kadang-kadang kita menyebutnya tunjuk perasaan. Cuma bila disebut tunjuk perasaan, ia terlihat seperti ganas. Seperti membaling barang dan memecahkan tingkap bangunan.
Jadi patah kata 'demonstrasi' itu lebih merdu sedikit, lebih aman dan santai.
Apa pun, sebab 'rasa' itu biasanya marah, ia perlu ada sebab untuk marah.
Jadi yang biasanya marah secara beramai-ramai itu ialah orang yang berada di bawah, dan bukan di atas. Lainlah jika tunjuk perasaan itu sememangnya hanya lakonan, atau sebab diupah. Ini mungkin tak melibatkan rasa.
Pada tahun 1775, warga Perancis mengamuk. Ada sekurang-kurangnya 300 tunjuk perasaan. Bukan kerana kes seperti yang menjadi bualan orang ramai di Malaysia sekarang. Tetapi warganya mengamuk kerana tiada roti untuk dimakan.
Kisah protes roti ini sebenarnya bermula lama sebelum itu lagi. Masa itu, monarki Perancis beranggapan untuk memajukan negara, nilai kepada pembangunan tanah perlu dilakukan. Lalu dikenakan cukai terhadap pengerjaan pertanian.
Malang bagi rakyat, bekalan makanan berkurang, tetapi yang naik pula ialah harganya. Rakyat mula memprotes lapar.
Tahun-tahun kemudiannya tersebar berita apabila pihak pemerintah diberitahu rakyat, bahawa mereka kehabisan roti.
Tetapi puteri kepada Raja Louise XVI waktu itu, Marie Antoinette dalam responsnya - kononnya memberitahu rakyat, 'Qu'ils mangent de la brioche' - 'Jika tiada roti, makanlah kek'.
Dan kata-kata itulah yang terus disebut dan diulang-ulang, walaupun ia mungkin cerita rekaan sahaja, hingga kemudiannya dari satu demi satu protes, memunculkan Revolusi Perancis yang menyingkir raja dari tampuk pemerintahan.
Jadi protes atau tunjuk perasaan ini, di mana-mana pun akan selalu menakutkan. Ia mungkin bermula kecil, tetapi berakhir besar. Ada yang mungkin mengambil masa puluhan tahun.
Arab Spring - sentimen menjatuhkan kerajaan, dan cubaan mewujudkan kerajaan lebih demokratik, bebas daripada korupsi bermula di Tunisia sekitar tahun 2010.
Tapi ia merebak ke banyak dunia Arab yang lain, dan banyak pemimpin jatuh. Senarainya panjang, termasuk di Libya, Yaman, Mesir dan beberapa negara lagi. Banyak juga negara yang hancur kerana berakhir dengan perang saudara.
Antara yang teruk ialah di Syria, dan hingga kini pun kelihatannya pertembungan rakyat dan pemimpin selalu melukakan. Semuanya bermula dengan tunjuk perasaan.
Kita selalu membayangkan kes 1MDB itulah yang menyebabkan pentadbiran Barisan Nasional runtuh pada 2018.
Sebenarnya mungkin siri-siri tunjuk perasaan yang bermula sejak lewat 1990-an di zaman pemecatan Anwar Ibrahim itulah yang menjadi pemicunya. Sedikit demi sedikit idea tentang kerajaan yang bersih, melawan penguasa yang betul semua menjadi impian semua orang.
Walaupun kerajaan pembangkang waktu itu tak pernah menang, tetapi sedikit sebanyak orang tahu bahawa kerajaan yang bersih dapat merungkai banyak masalah lain.
Kini, kerajaan telah bertukar. Mereka yang dulunya berada di jalanan, kini tak perlu melaungkan reformasi lagi. Mereka boleh mengubah apa yang mereka rasakan tidak betul dalam era pemerintahan terdahulu.
Tapi, jika sebaliknya - maka akan selalu ada suara yang marah. Ada yang mungkin jujur, benar-benar marah. Ada pula yang mungkin sekadar bermain politik sahaja.
Apa pun, demonstrasi di jalanan akan selalu menakutkan. Sebabnya mudah. Ia melibat rasa dan perasaan rakyat yang selalu boleh menggoncang.
Jadi kawallah ia dengan membuat perkara yang betul – melaksana apa yg riuh disebut dulunya masa pemimpinnya juga sibuk di jalanan.
* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca