SHAH ALAM - Gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dalam pilihan raya kecil (PRK) pada 7 Oktober depan. Pensyarah Kanan Sains Politik dari... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dalam pilihan raya kecil (PRK) pada 7 Oktober depan.

Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, ia berdasarkan dua faktor penting iaitu Pelangai adalah kerusi tradisi UMNO dan terletak di Parlimen Bentong yang mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu yang signifikan.

Menurutnya, berdasarkan perkiraan awal, ‘bank undi’ (undi sokongan) bagi kedua-dua parti itu akan memberi kelebihan, seterusnya UMNO yang dijangka akan bertanding semula di kawasan berkenaan akan mengekalkan kemenangan.

"Saya melihat sentimen dan pengaruh PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) sudah tiada dan gelombang-gelombang yang dicetuskan PRU15 dan enam PRN (pilihan raya negeri) semakin kurang.

"Memang kita akui di Pahang banyak kerusi Melayu tumbang kepada PN sebelum ini tetapi harus dilihat, pertandingan tiga penjuru menjadikan pecahan undi itu lebih ketara. Undi Melayu pergi kepada parti Melayu manakala undi bukan Melayu pergi kepada PH. Pada masa itu, UMNO terpaksa berlawan tiga penjuru.

"Tapi jika saingan kali ini kembali dua penjuru, kita jangkakan pola pengundian akan kembali seimbang. Peluang UMNO menang memang ada dengan kelebihan sebagai penyandang dan PH mempunyai base di Bentong,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Bagaimanapun jelasnya, situasi mungkin berbeza jika melihat kepada faktor calon dan jumlah keluar mengundi.

Ujar beliau, peratusan keluar mengundi boleh mempengaruhi keputusan kerana motivasi untuk mengundi kali ini dijangka tidak kuat berbanding dengan sebelumnya.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian wakil rakyat BN, Datuk Seri Johari Harun yang terbabit dalam nahas kapal terbang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Julai lalu.

Kawasan tersebut mempunyai pengundi berdaftar seramai 16,456 orang dan mempunyai 10 kampung tradisi, tiga buah tanah rancangan Felda, tiga buah estet dan empat Kampung Baru Cina.

DUN Pelangai dikenali sebagai kubu kuat UMNO dan merupakan kerusi bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob (1986-2022), sebelum digantikan dengan Johari.

Klik di sini untuk terus membaca