MUSIM tengkujuh yang lazimnya membawa hujan lebat di semenanjung bakal menjelma tidak lama lagi. Dalam mencapai hasrat Pertahanan Menyeluruh (Hanruh), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu siaga untuk membantu agensi-agensi keselamatan lain... Klik di sini untuk terus membaca

MUSIM tengkujuh yang lazimnya membawa hujan lebat di semenanjung bakal menjelma tidak lama lagi.

Dalam mencapai hasrat Pertahanan Menyeluruh (Hanruh), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu siaga untuk membantu agensi-agensi keselamatan lain dan pihak berkuasa awam dalam memelihara ketenteraman serta memberi bantuan semasa berlakunya bencana alam seperti banjir di seluruh negara.

Ia adalah komponen kesiapsiagaan awam yang menuntut penggemblengan semua agensi awam, swasta, badan bukan kerajaan, pertubuhan sukarela dan lapisan masyarakat menghadapi situasi sebelum, semasa dan selepas peperangan, darurat atau bencana.

Hanruh sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu kepada negara ini, malah Kerjasama Awam dan Tentera atau Civil-Military Cooperation (CIMIC) telah pun dipraktikkan sejak tahun 1950an lagi.

Penonjolan CIMIC peringkat global sebagai satu entiti mula terserlah ketika berlakunya konflik Bosnia Herzegovina serta Kosovo pada pertengahan tahun 90-an. Rentetan kedua konflik tersebut, sebahagian besar negara pakatan NATO mula membangunkan struktur CIMIC masing-masing.

Pada Forum Putrajaya 2020 berkaitan CIMIC, Panglima ATM menyatakan bahawa pihaknya sedang memperkemas tugas utamanya dengan pertimbangan sewajarnya turut diberi untuk melaksana peranan keduanya dalam menangani cabaran keselamatan bukan tradisional yang dihadapi negara.

Cabaran bukan tradisional yang dimaksudkan oleh Panglima ATM antara lain adalah bantuan kemanusiaan dalam kejadian-kejadian berupa bencana alam.

Apa yang dilaksanakan ATM, terutamanya apabila berlaku bencana alam seperti banjir telah membuktikan bahawa semangat dan perancangan CIMIC mampu diterjemahkan kepada langkah kritikal seperti menyelamat dan memindahkan mereka yang terperangkap selain menyampaikan bekalan makanan dan minuman.

Namun, keberkesanan CIMIC telah menimbulkan perdebatan di kalangan penasihat ketenteraan negara-negara maju, khususnya isu berkaitan peranan sebenar sebuah angkatan tentera.

Ini kerana di setengah negara, angkatan tentera mula dilihat sebagai entiti yang ‘wajib’ dipanggil atau dikerah apabila berlaku bencana alam.

Malah kadang-kala pihak berwajib melihat CIMIC sebagai jalan penyelesaian paling mudah dan murah dalam menangani isu bencana alam.

Di Australia umpamanya, dalam Laporan Tahunan Jabatan Pertahanan tahun 2021-22, Jawatankuasa Pertahanan menyatakan bahawa kekerapan permintaan untuk melibatkan angkatan tentera negara itu setiap kali berlakunya bencana alam bakal meninggalkan kesan negatif terhadap kesiapsiagaan angkatan tentera bagi menghadapi peperangan.

Menurut laporan tersebut, lebih 50 peratus anggota tentera telah dikerah dalam pelbagai operasi bencana alam dalam beberapa tahun kebelakangan, seakan menjadikan angkatan tentera sebagai ‘pasukan bayangan’ yang boleh diminta oleh negeri dan wilayah untuk memberi khidmat apabila bencana alam menimpa.

Di Kanada pada tahun lalu, seorang penasihat keselamatan telah memberi amaran kepada Parlimen bahawa secara khusus, sepatutnya pihak tentera adalah pihak terakhir dikerah apabila negara menghadapi ancaman keselamatan.

Namun begitu, menurut beliau, perkataan ‘pihak terakhir’ bakal dikerah, kini bertukar menjadi ‘pihak pertama’ dan kadang-kala menjadi ‘satu-satunya pihak’ untuk menangani atau berhadapan senario membantu pihak awam ketika bencana alam.

Aktiviti seperti membersihkan kawasan selepas banjir atau kebakaran hutan yang memakan masa kini menyebabkan tempoh latihan pasukan atau anggota tentera dalam bidang tugas terasnya, iaitu bersedia menghadapi konflik bersenjata menjadi semakin pendek.

Di Malaysia, apabila berlaku bencana alam, pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara atau NADMA bertanggungjawab menyelaras semua aktiviti bagi menangani masalah yang dihadapi.

Pada tahun 2021 dalam kejadian banjir besar yang melanda Shah Alam, Selangor, pihak NADMA telah dikritik hebat pelbagai pihak yang menganggap ia gagal melaksana tugas seperti mana sepatutnya.

Seperti yang berlaku di Australia dan Kanada, akhirnya pihak tentera terpaksa dikerah untuk melaksana operasi pelbagai.

Kita perlu akur bahawa ATM mempunyai peranan dan pegawai serta anggotanya memerlukan kemahiran khusus.

Untuk mendapatkan kemahiran optimum, tiada jalan singkat melainkan melaksana latihan berterusan yang memerlukan masa dan kos.

Sekiranya masa dan dana latihan banyak dihabiskan bagi operasi bencana alam, tentunya keberkesanan pasukan dan anggota bakal terjejas dalam tempoh jangka panjang.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca