AILSA Terry, wanita berketurunan Scotland kini merupakan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia menggantikan Charles Hay yang berkhidmat sejak tahun 2019.
Memulakan tugas sebagai wakil United Kingdom (UK) di sini sejak bulan Ogos lalu cukup mencabar buat ibu kepada sepasang anak kembar lelaki berumur lima tahun.
Bagaimanapun, dalam pertemuan eksklusif Editor Sinar Daily, Tasnim Lokman, wartawan Sinar Daily, Nurul Atikah Sarji dan wartawan Sinar Premium, Liza Mokhtar bersama Ailsa baru-baru ini, ternyata memberikan kejutan istimewa di mana beliau tidak kekok membuka bicara dengan berbahasa Melayu.
Jelas Ailsa, tempoh kurang dua bulan menjejakkan kaki di bumi Malaysia digunakan sepenuhnya untuk mempraktikkan bahasa Melayu yang dipelajari bagi berasimilasi dengan kehidupan di negara ini.
Ikuti wawancara bersama Ailsa, bukan sekadar perhubungan dua hala antara UK dan Malaysia malah sisi baharu kehidupan yang mewarnai dirinya pada hari ini.
SINAR HARIAN: Sebelum ini anda pernah ditugaskan di pelbagai negara termasuk di Pakistan dan Afghanistan. Bagaimana pengalaman dan latar belakang dalam servis diplomatik ini membantu anda menjalankan tanggungjawab selaku Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia?
AILSA: Tugas sebagai pesuruhjaya tinggi bukan sekadar menjalankan projek dan melaksanakan formaliti, sebaliknya apa yang penting adalah mengenali dan menghormati budaya tempatan serta bergaul dengan masyarakat.
Ketika di UK, saya belajar bahasa Melayu daripada tenaga pengajar bertauliah dan apabila berada di sini, saya cuba sebanyak mungkin bertutur dalam bahasa Melayu ketika menjalankan aktiviti seharian.
Antaranya ketika berinteraksi dengan pemandu saya, sewaktu membeli-belah, makan di restoran dan juga ketika membuat lawatan.
Malah anak kembar saya berusia lima tahun juga cuba belajar bahasa Melayu dalam percakapan seharian mereka di rumah selain di sekolah.
Mereka sedang belajar mengucapkan selamat pagi dan memperkenalkan nama masing-masing dalam bahasa Melayu.
Saya dapati orang tempatan berasa amat senang hati apabila saya berbahasa Melayu dan ini adalah cara saya menunjukkan rasa hormat terhadap budaya tempatan.
Penting juga untuk memahami situasi semasa sesebuah negara, contohnya di Malaysia sama seperti di UK, juga mengalami kemelut politik dan bertukar-tukar Perdana Menteri dalam tempoh beberapa tahun.
SINAR HARIAN: Bagaimana anda sekeluarga mengadaptasi kehidupan baharu di Malaysia dan bagaimana anda menjalankan peranan sebagai seorang pesuruhjaya tinggi, ibu dan wanita serentak?
AILSA: Saya di sini dengan anak kembar berusia lima tahun. Mereka mula bersekolah dua minggu lepas dan kami sekeluarga termasuk suami bernama Adam, sangat gembira berada di Malaysia.
Selain daripada tugas, anak-anak dan suami adalah paling utama kepada saya. Suami saya merupakan seorang feminis dan beliau adalah tulang belakang yang sentiasa memberi sokongan kepada saya.
Beliau juga sanggup meninggalkan pekerjaannya untuk bersama saya di sini dan banyak berkorban dalam menjaga anak-anak pada permulaan kami berada di Malaysia.
Dengan berbekalkan sokongan dan bantuan daripada keluarga dan pasukan saya di sini disertai rasa percaya diri, tidak takut sekiranya melakukan kesalahan serta sentiasa memberikan yang terbaik, saya yakin mampu menjalankan tugas dengan baik.
SINAR HARIAN: Bagaimana pandangan anda tentang gaya hidup di Malaysia, budaya, makanan dan apakah tempat yang sudah dilawati?
AILSA: Saya amat suka berada di Malaysia yang terkenal dengan pelbagai makanan enak. Antara makanan kegemaran saya ialah ais kacang. Saya juga telah mencuba durian dan saya menggemari durian musang king.
Sejujurnya, antara perkara yang disukai di sini adalah saya berasa seperti berada di negara sendiri kerana pelbagai budaya dan komuniti yang ada, selain alam semula jadi yang indah di mana-mana.
Saya sudah sampai ke Sabah dan Sarawak dan saya menyukai perbezaan suasana antara Semenanjung terutama di Kuala Lumpur dengan dua negeri tersebut yang pastinya lebih tenang.
SINAR HARIAN: Selaku Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, ke mana anda mahu membawa hubungan Malaysia-UK selepas ini?
AILSA: Malaysia dan UK telah mempunyai hubungan yang rapat sejak sekian lama dan untuk kali ini kita mahukan kerjasama moden yang akan saling menguntungkan kedua-dua buah negara.
Ini antara lain termasuk kerjasama perdagangan, mencipta peluang pekerjaan di kedua-dua negara, kolaborasi dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan juga pendidikan.
Malaysia merupakan rakan dagang kedua terbesar UK di Asia Tenggara selepas Singapura dan jumlah perdagangan dua hala telah melepasi tahap prapandemik iaitu mencecah £5.6 bilion (RM32.56 bilion) pada penghujung suku pertama 2023, peningkatan sebanyak 5.9 peratus atau £311 juta (RM1.8 bilion) dari penghujung suku pertama 2022.
Sementara itu, penyertaan UK dalam CPTPP akan turut membuka peluang perniagaan baharu, akses pasaran dan mobiliti bakat dengan negara anggota terutama Malaysia di mana UK masih belum mempunyai perjanjian perdagangan bebas.
UK menandatangani perjanjian menyertai CPTPP pada Julai tahun ini dan menyasarkan untuk meratifikasinya menjelang penghujung 2024.
Ini bermakna, syarikat-syarikat Malaysia akan berpeluang menikmati faedah perjanjian antaranya, menyingkirkan 99 peratus tarif, meningkatkan akses perkhidmatan, perlindungan tambahan untuk pelabur dan prosedur kastam yang efisien.
SINAR HARIAN: Boleh anda ulas lebih lanjut tentang pelan kerjasama dua hala dengan Malaysia dalam bidang seperti pendidikan, teknologi dan juga krisis perubahan iklim?
AILSA: UK kekal pilihan utama destinasi pendidikan untuk rakyat Malaysia dan memiliki pasaran terbesar berbanding Amerika Syarikat (AS), Australia dan Kanada dengan hampir 13,000 rakyat Malaysia menuntut di UK.
Terdapat juga lima kampus universiti UK di Malaysia yang menawarkan pendidikan berkelas dunia kepada rakyat di sini yang tidak dapat belajar di UK.
Menurut British Council, lebih 80,000 pelajar Malaysia tamat belajar dengan kelayakan UK dalam tempoh 12 tahun kebelakangan ini dan British Council sedang dalam proses mendaftar alumni UK dan menyasarkan untuk mendaftar lebih 20,000 dalam platform alumni mereka menjelang Mac 2026.
Kerajaan UK juga terus menawarkan Biasiswa Chevening kepada rakyat Malaysia, sekali gus menjadikan negara ini penerima kedua terbesar Biasiswa Chevening di ASEAN dengan purata 35 hingga 40 warganya diterima setiap tahun dan terkini terdapat kira-kira 1,800 alumni Chevening di Malaysia.
Bagi sektor perdagangan dan teknologi, Malaysia-UK akan mengadakan persidangan Artificial Intelligence (AI) pertama dalam beberapa bulan mendatang bagi membincangkan perkembangan teknologi yang semakin mempengaruhi kehidupan pada masa kini.
UK juga fokus untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam menangani isu perubahan iklim, di mana kedua-duanya mempunyai sasaran karbon sifar hampir sama dan masing-masing mempunyai cabaran tersendiri dalam merealisasikan matlamat tersebut.
Keduanya, UK juga berhasrat bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang transisi tenaga. Ketika berkunjung ke Sarawak baru-baru ini, saya berasa amat kagum dengan kemajuan dimiliki Malaysia terutama dalam bidang melibatkan isu-isu hijau.
Seterusnya kerjasama dalam pemeliharaan alam semula jadi, flora dan fauna yang amat kritikal dalam mengatasi isu perubahan iklim.
Berhubung isu keselamatan serantau pula misalnya kontroversi Laut China Selatan, kami mengambil pendekatan tidak menyokong mana-mana pihak seperti juga Malaysia, sebaliknya menyokong sepenuhnya Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982 dalam menyelesaikan isu berkenaan.
SINAR HARIAN: Selain krisis perubahan iklim, isu sekuriti makanan turut menjadi ancaman besar di peringkat global. Selaku antara kuasa besar ekonomi dunia, apa pelan UK dalam menangani isu terbabit?
AILSA: Isu sekuriti makanan amat dekat di hati saya dan tahun lalu saya terlibat dalam melaksanakan sekatan terhadap Rusia dan berkesempatan berbincang dengan banyak negara di Afrika dan Asia berhubung masalah dihadapi berkaitan sekuriti makanan.
Tentunya Rusia bertanggungjawab menggugat bekalan makanan global namun ada juga beberapa faktor lain yang sememangnya isu ini memberi impak besar terhadap banyak negara termasuk UK sendiri yang turut terbeban dengan kos sara hidup tinggi.
Untuk itu, kami bakal menganjurkan persidangan sekuriti makanan pada musim luruh nanti, di mana kami akan menjemput beberapa negara bagi membincangkan solusi praktikal menangani isu terbabit.
Dari segi di Malaysia, antara keutamaan UK adalah menyelesaikan masalah rantaian bekalan. Malaysia seperti juga UK mempunyai rantaian bekalan yang sofistikated dan perlu kepada pengurusan yang betul.
Selain itu, secara global kita juga berharap semua negara terkesan dapat bersama-sama memikirkan jalan terbaik mengurangkan harga barangan bagi mengurangkan beban rakyat.
SINAR HARIAN: Apa pula pandangan anda berkenaan isu burqa dan niqab dipakai wanita Muslim yang banyak menjadi kontroversi di negara Eropah?
AILSA: Saya kira UK mempunyai pandangan berbeza dengan Eropah dalam isu ini. Di UK terdapat pelbagai lapisan masyarakat dan mereka bebas menganut sebarang agama.
Isu ini tidak seharusnya menjadi kontroversi. Paling penting wanita bebas memilih sebarang pakaian yang mahu dipakai dan melakukan apa yang mereka mahu.
Di UK juga, kerajaan tidak berniat untuk mencampuri hal tersebut dan semuanya terpulang kepada pilihan individu.
Apa yang perlu dipastikan, setiap individu tanpa mengira agama dan latar belakang mendapat peluang sama dalam bidang pekerjaan, pendidikan dan banyak lagi.
SINAR HARIAN: Adakah anda terinspirasi dengan pemimpin wanita seperti bekas Perdana Menteri New Zealand, Jacinta Arden dan bekas Perdana Menteri Finland, Sanna Mirella Marin?
AISLA: Sudah pasti saya terinspirasi kerana kita tahu tidak mudah bergelar pemimpin wanita di mata dunia apatah lagi Perdana Menteri. Di sinilah pentingnya untuk memiliki sistem sokongan kuat khususnya daripada keluarga dan sahabat.
Saya tidak rasa politik adalah untuk saya, tetapi ada beberapa peranan dalam khidmat luar negara kami yang saya ingin cuba selepas ini.
Ini adalah kali pertama menjadi pesuruhjaya tinggi, pastinya ia amat penting kepada saya kerana berpeluang mengetuai sebuah pasukan di Malaysia dan antara nasihat terbaik saya terima adalah sentiasa fokus untuk memberikan yang terbaik.
Klik di sini untuk terus membaca