SHAH ALAM - Kehadiran calon Bebas tidak akan menggugat persaingan atau mengacau undi dalam merebut kerusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober depan.
Penganalisis sosio politik Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ia berikutan PRK kali ini dilihat lebih tertumpu kepada persaingan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
"Saya tidak melihat (kemasukan) calon Bebas dapat memberi kesan mengubah keputusan PRK ini. Kalau kita lihat di PRK Johor, calon Bebas kurang mendapat undian.
"Kecuali kalau calon Bebas itu mempunyai nama dan dikenali ramai,” katanya kepada Sinar Harian.
PRK Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang merupakan salah seorang daripada 10 yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina di sini pada 17 Ogos lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).
Tambah Awang Azman, BN berkemungkinan mendapat kelebihan berbanding PN dalam persaingan di PRK Pelangai.
"Bagi saya BN (ada kelebihan) sebab kawasan Pelangai itu memang merupakan kubu kuat BN. Peluang untuk PN menang agak sukar,” jelasnya.
Sementara itu, Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis berkata, PRK Pelangai berkemungkinan menyaksikan pertembungan tiga penjuru atau lebih memandangkan lazimnya PRK sering menarik minat calon-calon Bebas untuk bertanding seperti yang dilihat dalam pilihan raya sebelumnya.
Bagaimanapun, ulasnya, calon Bebas tidak memberi sebarang kesan undi dalam PRK Pelangai berikutan landskap politik di negara ini masih lagi bersifat kepartian.
"Justeru, pengundi masih tidak melihat calon Bebas mampu mewakili mereka kerana melihat sekiranya calon ini menang, tiada apa yang mampu dilakukan kerana bersendirian dan kurang dari segi kekuatan, sumber dan sebagainya.
"Lebih baik memilih calon daripada parti yang berdaftar,” ujarnya.
Menurutnya, persaingan pelbagai penjuru akan memberikan kelebihan kepada tiga parti yang kuat bertanding sepertimana sebelumnya iaitu antara BN, PH dan Pas.
"Kalau sekadar calon Bebas tidak mendatangkan apa-apa kesan. Namun dalam situasi BN-PH-Pas, kelebihan bergantung kepada banyak faktor seperti geografi, lokaliti kawasan pilihan raya,
demografi pengundi, calon, isu setempat serta sentimen semasa.
"Selain itu, ia juga bergantung kepada kekuatan jentera akar umbi yang lazimnya memberi kelebihan kepada parti-parti yang sudah lama tertubuh seperti BN dan Pas,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca