SHAH ALAM - Pembentangan pindaan Akta Komunikasi dan Digital oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Parlimen awal tahun depan dijangka mampu memastikan kelompangan dalam akta itu dapat ditangani.
Pengerusi Disiplin Teknologi Maklumat dan Sains Komputer daripada Pusat Tamhidi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, ini sekali gus dapat mengekang jenayah siber yang semakin berleluasa.
"Menurut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, takrifan ‘penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian’ itu terlalu umum dan tidak terperinci.
"Oleh itu, akta itu perlu lebih spesifik dan diperhalusi oleh pihak berkuasa agar ia tidak menimbulkan sebarang kekeliruan. Pindaan tersebut juga dapat beri jaminan kepada keselamatan pengguna secara keseluruhannya,” katanya kepada Sinar Premium.
Mohamed Ridza berkata, Akta Komunikasi dan Multimedia yang kali terakhir digubal pada 25 tahun lalu itu juga perlu dikaji semula, sesuai dengan peningkatan dan pembaharuan jenayah siber mengikut peredaran masa.
"Bagi membendung jenayah siber menggunakan teknologi AI, pihak bertanggungjawab disarankan mengambil pendekatan sama menerusi perisian dan peranti komputer yang boleh mengenal pasti dengan pantas cubaan menyerupai suara serta wajah untuk memperdaya mangsa,” jelasnya.
Mohamed Ridza turut menyokong pindaan akta berkenaan kerana ia dapat memudahkan lagi tugas pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah siber.
Pada Ahad, Timbalan Menteri KKD, Teo Nie Ching menjelaskan kementerian menerusi agensi-agensi di bawahnya sedang mengkaji semula akta berkenaan susulan kenyataan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengenai undang-undang Malaysia yang sedia ada berkaitan jenayah siber perlu dikaji dengan memasukkan elemen penipuan menerusi perisian dan peranti komputer.
Menurutnya, terdapat bukti bahawa teknologi kecerdasan buatan AI disalah guna bagi tujuan penipuan apabila suara atau wajah seseorang boleh ditiru untuk memperdaya ahli keluarga dan rakan terdekat mereka.
Biarpun cadangan pindaan oleh kerajaan itu penting, pakar undang-undang siber daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Abu Bakar Munir berpandangan, isu utama yang perlu diberi perhatian adalah kelemahan penguatkuasaan berkenaan jenayah siber.
"Antara input penting yang perlu dimasukkan dalam pindaan akta berkenaan adalah penambahbaikan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap mereka yang melakukan jenayah siber.
"Kebelakangan ini, kita sering mendengar berita tentang kehilangan wang dan kebocoran data. Hampir semua berpunca daripada satu panggilan telefon atau mesej daripada scammer.
"Persoalannya, bagaimanakah nombor telefon itu diperoleh? Negara kita mempunyai undang-undang yang mencukupi tetapi penguatkuasaan akta itu masih lemah,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca