"RAMAI orang kita yang cerdik politik, tetapi tidak ramai orang politik kita yang cerdik.” Dia sangat selamba ketika melontarkan kata-kata itu.
Sama selamba dengan tauke pasar mini yang menyebut ‘saya mana tau’ apabila ditanya kenapa harga beras tempatan di kedainya turut melonjak naik sedangkan kenaikan sepatutnya hanya melibatkan beras import.
Kata-katanya memang menusuk kalbu. Pada mula saya menyangka dia sengaja hendak menguji saya, tapi rupa-rupanya...
"Encik kalau nak masuk politik cubalah jadi ahli politik yang bijak.
"Tapi kalau encik bijak, tak payahlah masuk politik.” Sah! Dia tidak kenal saya. Silap saya juga. Saya tidak pernah meratib tentang hal ehwal rumah tangga saya di media sosial. Tidak juga berperangai pelik-pelik atau membuat kenyataan yang bukan-bukan, yang membolehkan saya menjadi tersohor dalam sekelip mata.
Kenalan baharu saya, yang tidak kenal siapa saya itu, yang selamba mengata orang politik itu, saya kenali di sebuah kedai buku lama di ibu negara.
Saya datang untuk membeli buku, dia pula untuk menjual buku-buku lamanya. Alasannya, simpan pun tak guna, anak-anak zaman sekarang langsung tidak berminat dengan buku.
Kami berbual ringkas, spontan dan sepintas lalu. Ia berpunca daripada soalan saya, sama ada dia menyimpan buku-buku politik lama. Jawapannya, tidak ada sebab dia tidak begitu berminat hal-hal politik. Rentetan dari situlah keluar ayatnya yang sungguh menusuk kalbu itu, tentang tidak ramai orang politik yang cerdik.
Pada mula memang saya bersetuju dengan pandangannya. Tetapi tujuh atau lapan minit selepas dia meninggalkan kedai itu, saya berubah fikiran.
Memang benar kebanyakan orang kita mempunyai minat luar biasa terhadap politik. Sebahagian besar daripada mereka malah menjadikan politik sebagai subjek ruji dalam kehidupan seharian.
Tidur baring, makan minum, di pejabat di rumah, di padang sukan di pusat beli-belah, di sawah di kebun, di pasar di laut; politik sentiasa mendapat perhatian, menjadi tajuk perbualan dan bahan perbincangan.
Kerana minat yang mendalam mereka tahu banyak perkara tentang politik. Di sinilah silapnya kawan baharu saya itu. Dia gagal membezakan antara ‘tahu’ dan ‘cerdik’.
Tahu sebetulnya lebih dekat dengan pandai. Tetapi itu juga tidak semestinya. ‘Tahu bermain bola’ bukan bermakna ‘pandai bermain bola’. Cerdik lagilah tidak masuk buku. Tidak pernah saya dengar orang sebut ‘cerdik bermain bola’. Yang ada mungkin cerdik sebab mengurat pemain bola sepak yang banyak duit.
Berbanding dengan bidang lain, politik mempunyai kelas tersendiri kerana skop dan lingkungan pengaruhnya terlalu luas. Oleh itu kita tidak boleh secara semberono mengkategorikan pemainnya, yakni mereka yang terlibat secara langsung atau tidak, sebagai pandai atau cerdik.
Seperti dikatakan tadi, yang tahu tentang politik memang ramai. Ia sama seperti kebanyakan perempuan tahu memasak. Tetapi setakat mana pengetahuannya? Berapa ramai yang cuma tahu menanak nasi dengan periuk 'karan', tetapi kalau diberi periuk biasa, nasi yang ditanak mungkin menjadi bubur kalaupun tidak rentung di atas dapur?
Memastikan semua perempuan bukan setakat tahu, tetapi pandai memasak sepatutnya menjadi kewajipan. Saya mungkin dikecam kalau mencadangkan setiap calon isteri hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya sijil dari kelas memasak, dan kadar hantaran pula ditentukan mengikut gred sijilnya. Kecamlah. Mana tahu disebabkan kecaman itu saya akan menjadi popular!
Tentang politik pula, pada hemat saya, negara bukan sekadar perlukan rakyat yang celik politik dan tahu politik, tetapi realitinya ia lebih memerlukan yang pandai politik dan cerdik politik. Di sinilah rompongnya dunia politik di negara ini, dari dahulu hingga sekarang.
Lepaskan semua orang yang tahu, bukan pandai bermain bola ke tengah stadium dan biarkan mereka bermain. Letakkan semua perempuan yang tahu memasak, bukan pandai di sebuah dewan besar dan biarkan mereka memasak.
Tidak sukar untuk kita menjangka apa yang berlaku. Stadium mungkin menjadi padang jarak padang tekukur, dewan pula mungkin berselerak dengan rempah dan ising sampai ke bumbung.
Hal yang sama terjadi dalam dunia politik kita.
Maka saranan saya, usaha perlu dibuat untuk membina generasi yang pandai politik. Yang benar-benar faham maksud, tujuan, kepentingan dan serba-serbi mengenainya. Pemupukan ke arah membina kepandaian itu perlu dibuat sejak peringkat awal.
Tapi ingat, yang saya maksudkan pandai politik bukan pandai berpolitik kerana yang pandai berpolitik selalunya tak pandai politik... #dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca