SUDAH lama saya hendak menulis anekdot-anekdot simple ini sebagai seorang Muslim. Cuma apa yang saya catatkan ini sama sekali bukan ingin menunjuk-nunjuk yang saya ini lebih baik amalan dalam beragama. Namun saya percaya, ada dalam kalangan anda berdepan dengan tiga situasi yang saya sampaikan di bawah ini tetapi tidak kesampaian untuk mencatatnya.
Situasi 1: Minggu lalu saya berkelana ke luar daerah. Kebetulannya salah satu hari saya mengembara itu jatuh pada hari Jumaat. Memang saya tidak menunaikan solat Jumaat kerana tiba ke sebuah bandar sesudah masuk waktu.
Sebagai musafir, saya ambil keputusan untuk menunaikan solat Zohor sahaja. Saya singgah di sebuah pusat beli-belah dengan berasa segan juga kerana tidak menunaikan solat Jumaat. Apa pandangan orang, bila ternampak saya yang berjalan santai melewati kedai-kedai di pasar raya itu?
Namun di sebaliknya, saya pula berasa malu apabila terpandang beberapa orang yang saya kira Muslim lelaki yang tidak solat Jumaat. Saya melewati keluarga muda suami isteri dengan dua anak kecil mereka. Mereka duduk santai di kerusi panjang sambil berfoto.
Tentu sekali saya berasa terganggu kerana mereka tidak solat Jumaat. Tetapi saya cuba bersangka baik. Barangkali mereka tidak sempat menunaikan solat atau beranggapan menunaikan solat Zohor sudah memadai apabila tidak solat Jumaat. Ataupun, mereka kesemuanya musafir seperti saya! Semoga ALLAH memelihara mereka dan saya. Amin.
Situasi 2: Memberi salam kepada seseorang Muslim itu sunat, tetapi menjawabnya adalah wajib. Ia menjadi permulaan kepada sapaan saya kepada mereka yang saya kenali. Tetapi ada juga ketikanya saya bermanis mulut dengan memberi salam kepada mereka yang tidak saya kenal, terutamanya di masjid atau di Malakat Mall tempat saya bertugas.
Tetapi, saya akan mendapat respons yang berbeza. Tidak kira di masjid atau di tempat lain, ucapan salam saya akan dijawab dengan dua reaksi.
Pertama, mereka yang menjawab salam saya dengan lafaz yang panjang dan penuh. Mereka kelihatan begitu gembira kerana saya mendoakan kesejahteraan kepadanya. Malah, ada yang terus mendekati saya lalu bersalaman. Bagi saya, mereka ini golongan yang faham tujuan memberi salam.
Sebaliknya, terdapat mereka yang menjawab salam tanpa memandang pun muka saya. Suara jawapan mereka mendatar, malah ada yang takut-takut menjawab salam saya. Mungkin mereka bersangka salam saya adalah pembuka bicara agar saya boleh memulakan agenda lain mengharapkan sesuatu daripada mereka.
Tidak mengapa. Saya boleh terima seadanya. Sekurang-kurangnya jawapan salam saya itu adalah mendoakan kesejahteraan saya juga meskipun seseorang itu menjawab dengan suara hambar, malah diikuti dengan jelingan tajam berbaur prasangka. Cuma saya berasa sedikit terkilan kerana salam itu sepatutnya menjadi pertukaran ucapan yang saling membahagiakan.
Situasi 3: Ada banyak ketika bila mana saya menunaikan solat di surau stesen minyak atau di surau R&R. Di tempat-tempat itu memang saya jarang dapat bertakbiratul ula mengikut imam, melainkan solat secara masbuk dengan sesiapa sahaja.
Kerap kali juga saya tidak dapat solat berjemaah kerana terdapat mereka yang bersolat tidak mahu sesiapa menjadi makmum. Mereka solat di barisan belakang ataupun di sebelah paling kanan ruang solat supaya tiada sesiapa yang dapat solat berimamkan mereka.
Mereka akan meletak beg atau jaket, betul-betul di ruang sebelah kaki kanan mereka ketika solat sebagai pengadang. Sayangnya bila mereka hanya inginkan satu ganjaran dengan bersolat sendirian, berbanding dengan 27 ganda pahala dengan solat berjemaah.
Barangkali mereka tidak pernah menjadi imam dan takut memimpin solat. Sebab itu ada antara mereka yang sunyi sepi bila saya menyentuh mereka sebagai isyarat meminta dirinya mengimamkan solat. Barangkali, mereka takut kena baca doa dalam bahasa Arab selepas solat. Wallahuaklam.
*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca