SHAH ALAM - Kenderaan berat seperti treler, lori atau bas yang melebihi muatan dan tidak diselenggara secara berkala menjadi punca peningkatan kes kemalangan dalam negara. Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kenderaan berat seperti treler, lori atau bas yang melebihi muatan dan tidak diselenggara secara berkala menjadi punca peningkatan kes kemalangan dalam negara.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, terdapat segelintir pemandu kenderaan berat yang mengambil mudah tentang muatan dan pemeriksaan brek secara berkala dengan alasan kos penyelenggaraan mahal.

"Memang betul, saya akui kenderaan lebih muatan dan brek yang bermasalah, rosak atau tidak berfungsi menjadi punca peningkatan kes kemalangan sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya lain.

"Justeru, apabila kemalangan berlaku, kenderaan berat ini perlu ambil jarak dan masa panjang untuk berhenti, tetapi dengan keadaannya yang tidak diselenggara, ia menyumbang kepada perlanggaran sehingga melibatkan nyawa pemandu lain juga,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian sebuah lori treler membawa muatan batu konkrit merempuh 11 kenderaan yang sedang berhenti di Putrajaya pada Rabu, menyebabkan dua maut.

Dalam pada itu, Teik Hua berharap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menambah baik aspek penguatkuasaan terhadap pemandu kenderaan berat khususnya mereka yang membawa muatan melebihi had keupayaan.

Tambah beliau, pihak berkenaan perlu menyediakan satu saluran aduan rasmi buat pengguna jalan raya mengenai sikap pemandu kenderaan berat yang sebahagiannya mementingkan diri dan membahayakan keselamatan orang lain.

"Agensi berkenaan perlu cari inisiatif untuk mengesan kenderaan melebihi had muatan atau tidak melakukan penyelenggaraan secara berkala dan sediakan saluran aduan rasmi yang mudah untuk pengguna jalan raya membuat aduan mengenai sikap pemandu kenderaan berat.

"Bagi menyelesaikan masalah ini untuk jangka masa panjang, paling berkesan adalah denda kerana pemandu tidak bertanggungjawab ini akan berfikir banyak kali apabila melibatkan duit.

"Sebagai contoh, apabila JPJ kenakan denda RM300 bagi setiap satu kilogram muatan yang melebihi had sepatutnya, mereka (pemandu kenderaan berat) jadi serik, denda perlu bergantung kepada berapa peratus muatan berat,” ulasnya.


Kemalangan maut membabitkan kenderaan berat:

1 September 2023

Enam sekeluarga maut selepas Perodua Alza yang dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori treler jenis Scania di Jalan Segamat-Kuantan, di Segamat, Johor.

27 Jun 2023

Empat sekeluarga maut manakala dua lagi kanak-kanak parah dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Bezza dan sebuah treler di Jalan Kulim-Baling dekat Padang Meha, Kedah.

17 September 2022

Empat sekeluarga maut selepas kereta Toyota Corolla dinaiki mereka merempuh sebuah treler di Kilometer 70.4, Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan dekat Kluang, Johor.

10 Julai 2022

Empat sekeluarga maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan treler berdekatan Simpang Roban, di Saratok, Sarawak.

18 Disember 2021

10 individu maut dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah treler berhampiran R&R USJ Lebuh Raya Elite menghala Shah Alam, Selangor.

Klik di sini untuk terus membaca