SHAH ALAM - Kerajaan perlu berunding dengan semua pemegang taruh agar Jualan Rahmah Beras yang dilaksanakan sampai kepada golongan sasar.
Bendahari Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, langkah itu perlu dalam memastikan subsidi kerajaan diperoleh mereka yang benar-benar memerlukan.
Menurutnya, perbincangan mesti melibatkan persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan serta agensi terlibat baik di peringkat kerajaan Persekutuan, negeri, wakil rakyat mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan kenaikan harga beras.
"Kalau nak betul-betul bersasar, kita kena ada sesuatu mekanisme kekal sebagai contoh penggunaan kad subsidi di mana kita boleh kenal pasti hanya rakyat kita yang betul-betul memerlukan sahaja yang dapat menikmati barangan subsidi kita.
"Maksudnya di sini perlu ada rekod dan data yang memudahkan pelaksana untuk memantau bagi mengelak risiko ketirisan kerana melibatkan barangan subsidi yang dijual secara terbuka di pasaran,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam melaksanakan Jualan Rahmah Beras di setiap kawasan Parlimen seluruh negara.
Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh pada Selasa berkata, pihaknya memberikan harga istimewa kepada pengguna dengan menawarkan beras import lima kilogram dengan harga RM13, hingga RM14 sekampit.
Difahamkan menerusi konsep Jualan Rahmah Bergerak ianya akan memberi fokus di kawasan B40, perumahan kos rendah dan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan sebagainya.
Jelas NurAsyikin, hasil pemantauan Fomca juga mendapati kebanyakan pasar raya atau kedai runcit memang tiada dan kurang bekalan beras tempatan.
"Jadi pengguna tiada pilihan selain terpaksa membeli beras import yang harganya agak mahal.
"Bila beras import pun termasuk dalam jualan rahmah dan ini dapat mengurangkan beban kewangan rakyat terutama golongan B40,” ujarnya
Dalam pada itu, Fomca menyarankan kerajaan supaya dapat terus meningkatkan pengeluaran beras tempatan dari 65 peratus kepada 100 peratus.
"Dengan mengambil kira isu perubahan cuaca yang akan menjejaskan pengeluaran padi kita, bukan kita sahaja yang terjejas malah negara yang mengeksport beras juga akan turut terjejas hasil pengeluaran padinya.
"Maka kita kena ada bekalan kecemasan sekurang-kurangnya untuk enam bulan supaya negara dapat bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.
Ujarnya, beras adalah makanan ruji rakyat, kerajaan sepatutnya ada stok penimbal untuk bekalan kecemasan khususnya bagi beras tempatan.
Klik di sini untuk terus membaca