DALAM dunia yang ideal, pemimpin politik adalah insan mulia yang jujur dan suci setanding malaikat. Mereka tidak akan menyalahgunakan kuasa sekalipun tidak disemak dan diimbang. Malangnya, dalam dunia yang sebenar, politik adalah seperti... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM dunia yang ideal, pemimpin politik adalah insan mulia yang jujur dan suci setanding malaikat. Mereka tidak akan menyalahgunakan kuasa sekalipun tidak disemak dan diimbang.

Malangnya, dalam dunia yang sebenar, politik adalah seperti mana-mana profesion yang lain, mutu kerja dan amanah mereka bergantung kepada struktur insentif yang mereka hadapi.

Jika mereka tidak dibayar secukupnya, atau mereka percaya mereka tidak akan tertangkap, atau mereka percaya mereka akan dilepaskan sekalipun tertangkap, maka ramai di antara mereka yang akan mencuri, menggadai hartanah awam atau memeras-ugut duit kopi rakyat jelata.

Yang tergoda dengan kuasa untuk sakau duit rakyat bukan saja ahli-ahli politik, tetapi juga parti-parti yang mereka tubuhkan.

Demokrasi bukan urusan yang murah kerana semua urusan perlukan wang, daripada kempen pilihan raya sampai ke pusat khidmat. Dana yang perlu dibelanjakan terlalu besar untuk ditanggung dengan yuran keahlian, sumbangan wakil rakyatnya dan derma orang awam yang dikutip melalui tin Milo.

Jadi daripada siapa parti-parti dapat wang? Pertama, ahli politik kaya yang tidak kisah melaburkan wang sendiri untuk dapat berkuasa politik.

Kedua, hartawan, perniagaan dan badan-badan sosial yang sanggup menaja ahli-ahli atau parti-parti politik untuk mempengaruhi dasar, projek atau pelantikan awam.

Kedua-dua sumber ini boleh membahayakan demokrasi. Sama ada dana untuk penyelenggaraan parti politik daripada ahli politik yang kaya atau penaja-penaja swasta yang kaya-raya, ia bermakna wang boleh membeli kuasa.

Sekalipun jika pembeli-pembeli kuasa ini tidak berniat jahat, ia bermaksud dunia akan dicorak oleh nilai dan cita rasa mereka - dan orang kebanyakan suka atau tidak hidup dalam dunia mengikut acuan orang lain.

Lebih teruk lagi, kuasa juga boleh membeli wang, ahli-ahli politik dan penaja-penaja mereka mungkin merompak rakyat.

Bagaimana kita boleh meminimumkan politik wang yang akhirnya pasti merugikan rakyat kebanyakan? Ada tiga cara.

Pertama, hadkan perbelanjaan dalam pilihan raya supaya ‘harga’ kuasa politik menjadi murah.

Kedua, wajibkan ketelusan dalam sumber pendapatan dan sasaran perbelanjaan parti politik supaya hubungan antara penguasa dan penaung serta anak buah mereka diketahui ramai untuk membolehkan pemantauan sebarang salah laku.

Ketiga, biayai parti politik dengan dana awam. Kriteria biasanya merangkumi bilangan atau peratusan undi yang diperoleh untuk mengurangkan kebergantungan mereka kepada dana swasta.

Budaya politik yang bersih bertapak apabila negara ada undang-undang pendanaan politik yang berkesan.

Malaysia diancam skandal bertaraf dunia 1MDB kerana kita tiada undang-undang pendanaan wang yang berkesan. Kita tiada undang-undang ini kerana penguasa dahulu tidak ingin aktiviti 'menyakau' wang terdedah atau tersekat.

Maka, pengumuman bahawa sebuah Akta Pendanaan Politik akhirnya akan menjadi realiti di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah berita baik setelah ia dilengah-lengahkan di bawah empat Perdana Menteri sebelum ini.

Malangnya, daripada butiran yang diumumkan, rang undang-undang itu tidak mengandungi pendanaan awam langsung kepada parti politik sedangkan 70 peratus daripada negara di seluruh dunia berbuat demikian.

Wahai parti-parti politik, janganlah malu-malu kucing. Daripada menyakau rakyat hari esok, mari kita bersama-sama tuntut dengan lantang, bayarlah parti politik supaya mereka mampu jadi bersih!

Paling bernilai kawan lama,

Kenangan silam penuh kasih,

Paling mahal jamuan percuma,

Bayarlah parti agar bersih.

*Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Klik di sini untuk terus membaca