SHAH ALAM - Sebarang kemungkinan perancangan rombakan kecil kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak semestinya menjamin calon menteri daripada Parti Amanah Negara (Amanah) terus memegang portfolio Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Sebaliknya, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, tidak mustahil Anwar selaku ketua Kerajaan Perpaduan akan melihat calon-calon daripada parti-parti lain dalam kerajaan yang mungkin lebih sesuai mengisi kekosongan portfolio kementerian berkenaan.
Katanya, sebarang keputusan rombakan kabinet adalah hak dan prerogatif kuasa Anwar selaku Perdana Menteri dan sehingga kini pihaknya masih belum mendapat indikasi jelas mengenainya.
"Bagaimanapun, kalau Anwar melihat keperluan pengisian jawatan dikosongkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub perlu disekalikan dengan pelaksanaan rombakan kecil kabinet bagi menyusun kembali struktur kepimpinan negara, itu tidak mustahil.
"Bagi kami, paling penting adalah Anwar akan terus menghormati hak Amanah dalam pelantikan Jemaah Menteri iaitu penetapan kuota dua menteri dan dua timbalan menteri,” katanya kepada Sinar Premium.
Pendedahan pandangan Mahfuz itu secara tidak langsung cuba mengesahkan spekulasi rombakan kabinet oleh Perdana Menteri seperti dilaporkan Sinar Premium pada Khamis.
Sebelum ini, sumber terdekat seorang menteri Barisan Nasional (BN) memaklumkan, terdapat kemungkinan kekosongan jawatan menteri KPDN akan diambil alih oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sumber BN itu berkata, dengan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bertukar kementerian, jawatan menteri dalam negeri yang kosong dijangka bakal diterajui semula oleh Timbalan Perdana Menteri daripada BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bagi agihan portfolio kementerian gantian kepada Amanah, sumber BN mendakwa Anwar mempertimbangkan Kementerian Kemajuan Wilayah dan Desa yang sebelum ini disandang Ahmad Zahid atau Kementerian Wilayah Persekutuan yang bakal diwujudkan semula sebagai ganti.
Namun begitu, terdapat juga ura-ura daripada sumber Kerajaan Perpaduan yang lain mendakwa rombakan kecil Kabinet oleh PMX dijangka hanya melibatkan pengisian kekosongan jawatan Menteri KPDN oleh calon Amanah serta pengguguran Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Sekiranya perkara itu menjadi realiti, Sinar Premium difahamkan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari adalah calon utama mengisi kekosongan ditinggalkan Salahuddin, manakala jawatan timbalan menteri dipegang Adly ketika ini diunjurkan bakal diisi Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.
Sementara itu, Khalid sewaktu dihubungi mendedahkan terdapat kemungkinan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu akan memberikan penerangan ringkas mengenai status kekosongan jawatan menteri daripada parti itu dalam mesyuarat dalaman parti pada malam Khamis.
Ujarnya, mesyuarat parti yang bakal memfokuskan perbincangan pelaksanaan Konvensyen Nasional Amanah 2023 itu juga akan menentukan siapa calon-calon sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan ditinggalkan Salahuddin.
"Sudah pasti keputusan rombakan kabinet dan hak pelantikan menteri adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri. Tetapi saya yakin Anwar pastinya akan mengadakan amalan konvensional dengan berbincang dan meminta buah fikiran wakil parti kerajaan termasuk Presiden Amanah.
"Saya ada dengar nama Adly disebut-sebut (dilantik menteri), tetapi pemilihan calon Amanah mungkin boleh dipilih dalam kalangan 18 ahli Parlimen atau pemimpin yang akan dilantik sebagai ahli Dewan Negara,” katanya.
Mengenai spekulasi mengaitkan beliau bakal mengisi jawatan Timbalan Menteri Pertahanan sekiranya dikosongkan Adly, Khalid menjelaskan beliau tidak tahu-menahu mengenainya dan meminta ia tidak dijadikan khabar angin.
Klik di sini untuk terus membaca