SHAH ALAM - Isu kenaikan harga barangan, kos sara hidup dan krisis bekalan beras tempatan dijangka mempengaruhi undian terutama pengundi Melayu terhadap Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini.
Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, keyakinan rakyat kini semakin pudar susulan isu itu secara tidak langsung menjadi faktor parti kehilangan sokongan dan undian.
"Isu nasional mahupun isu tempatan turut memberi kesan kepada masyarakat. Contohnya stok beras dan barangan keperluan. Pengundi akan ambil tahu sama ada wujud atau tidak bekalan makanan yang mencukupi di DUN itu.
"Zaman kini mempunyai teknologi dan media sosial, maklumat diterima rakyat berbeza dengan 30 tahun dahulu, mereka lebih cakna dengan perkembangan isu semasa jadi sedikit sebanyak akan mempengaruhi corak undian kepada UMNO-BN,” katanya kepada Sinar Harian.
Tegas Taufik, isu itu juga akan menjadi bebanan tambahan kepada calon BN untuk menangkis serangan parti pembangkang sekali gus berhadapan laluan sukar di PRK tersebut.
"Meskipun kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bahawa UMNO akan menoktahkan kemaraan ‘gelombang hijau’ tetapi perlu ingat, sebelum Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, kerusi itu disandang lama oleh bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob.
"Kini beliau agak mesra dengan PN. Malah Adnan sudah semestinya mempunyai kekuatan tersendiri (yang boleh mempengaruhi undian). Jadi, UMNO-BN jangan ambil mudah persaingan di PRK DUN Pelangai,” ujarnya.
Tarikh penamaan calon bagi PRK tersebut pada 23 September, manakala 3 Oktober nanti ditetapkan sebagai undi awal.
Sejumlah 16,456 pemilih berdaftar terdiri daripada 16,417 pengundi biasa, 36 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.
Klik di sini untuk terus membaca