TERUJA dan suatu penghormatan tertinggi dalam hidup yang mungkin tidak akan terulang kembali.
Itu gambaran perasaan diungkapkan oleh Asisten Ketua Staf Pusat Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob, 42, setelah disantuni oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di kuarters kediaman Esscom, Taman Palm Garden, Lahad Datu, Sabah, baru-baru ini.
Meskipun telah hampir dua minggu momen indah itu berlalu ketika Seri Paduka berdua menyertai Kembara Kenali Borneo ke Sabah dan Sarawak, namun sehingga kini Shukri dan keluarga terasa seolah-olah masih sedang bermimpi kerana tidak pernah membayangkan ketua negara sudi hadir ke teratak mereka dan lebih manis lagi menjadi satu-satunya rumah yang dikunjungi oleh Seri Paduka dalam siri kembara itu di Sabah.
"Amat sukar sebenarnya menggambarkan perasaan ini kerana di Sabah, Tuanku berdua hanya berkunjung ke rumah saya sedangkan saya bukan orang Sabah,” kata Shukri.
Mengimbau kembali lawatan tersebut, Shukri yang telah berkhidmat selama 23 tahun dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menzahirkan rasa terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan yang begitu prihatin dengan kebajikan para petugas Esscom sehingga membolehkan mereka sekeluarga mendapat pengalaman paling berharga dalam hidup.
Shukri merupakan antara petugas Esscom yang terpilih dalam Fasa 1 menerima kunci kuarters kediaman selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan kewangan sebanyak RM40 juta untuk pembelian 60 unit rumah di kuarters tersebut bagi meningkatkan infrastruktur dan fasiliti petugas Esscom yang berkhidmat di pantai Timur Sabah.
Terdahulu, Kembara Kenali Borneo ke Sabah dan Sarawak baru-baru ini bukan sahaja meninggalkan momen indah buat buat Shukri dan keluarga serta seluruh rakyat di Borneo tetapi juga kepada petugas Esscom kerana telah turut disantuni oleh Seri Paduka berdua dan delegasi yang berkenan mencemar duli ke pejabat Esscom di Lahad Datu.
Keberangkatan tiba Seri Paduka dan delegasi disambut oleh Komander Eastern Command (KEC), Deputi Komisioner Victor Sanjos dan Ketua Pegawai Eksekutif Esscom, Dr Jamaluddin Mohd Ali. Lawatan tersebut merupakan acara yang julung kali diadakan sejak agensi itu ditubuhkan sedekad yang lepas.
Secara umumnya, tidak ramai yang mengetahui akan kewujudan sebuah agensi keselamatan khas terdiri daripada gabungan pegawai dan anggota/staf Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), APMM serta anggota perkhidmatan awam Persekutuan yang berpusat di daerah Lahad Datu.
Sementara itu, ramai juga yang masih keliru dengan penggunaan terma Kawasan Keselamatan Khas (SSA) Pantai Timur Sabah dan Zon Selamat Sabah Timur atau Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone) sama ada daripada pihak jabatan/agensi kerajaan, akademik, pihak media mahupun orang awam.
Oleh yang demikian, lawatan tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada Seri Paduka berdua dan delegasi mengenali peranan serta fungsi agensi ini dengan lebih dekat dan juga membantu meningkatkan pengetahuan rakyat Malaysia terhadap Esscom.
Lawatan itu turut diserikan dengan keberangkatan bersama anakanda-anakanda Yang di-Pertuan Agong iaitu Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Esscom yang ditubuhkan pada 1 April 2013 kekal relevan sebagai agensi yang bertanggungjawab menerajui koordinasi keselamatan dalam mengekang pencerobohan anasir asing dan elemen jenayah rentas sempadan selain mempertingkatkan kesejahteraan masyarakat di ESS Zone meliputi sepuluh daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Penubuhan Esscom adalah susulan insiden pencerobohan di Lahad Datu dan serangan hendap pengganas di Semporna yang memberi tamparan hebat khususnya kepada pasukan keselamatan kerana kejadian itu mengorbankan nyawa 10 orang perwira selain mencatatkan satu episod hitam dalam lipatan sejarah negara.
Saat paling bersejarah semasa keberangkatan tiba Seri Paduka berdua dan delegasi ialah apabila disambut meriah dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ daripada rakyat khususnya dari daerah Lahad Datu yang menunggu sejak tengah hari di pekarangan Pejabat Esscom.
Lawatan ke Esscom adalah yang terpenting kerana Seri Paduka dan delegasi dimaklum mengenai perkembangan situasi keselamatan semasa, pengoperasian pasukan keselamatan, perolehan kuarters serta program kemasyarakatan dan peningkatan sosioekonomi komuniti yang diterajui oleh Esscom di ESS Zone.
Seterusnya, Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong serta delegasi telah dipersembahkan dengan demonstrasi maritim, udara dan penerjunan bebas melibatkan gabungan pasukan keselamatan PDRM, ATM dan APMM di Markas Pangkalan Polis Marin, Lahad Datu Wilayah 4 Sabah.
Usai program di Esscom, Seri Paduka berdua telah mengakhiri rangka lawatan dengan sesi ramah mesra bersama-sama rakyat di Dewan Perdana Lahad Datu.
Lawatan Seri Paduka berdua turut diiringi oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah III dan Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Timbalan Menteri Sains dan Teknologi, Datuk Arthur Joseph Kurup; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali serta pegawai-pegawai kanan Esscom, Istana Negara dan Ketua Polis Daerah Lahad Datu.
Victor Sanjos ketika ditemui menzahirkan perasaan gembira dan berterima kasih atas keprihatinan Seri Paduka serta delegasi ke Esscom.
Lawatan Tuanku ini adalah cerminan kepada kesungguhan dan keprihatinan Seri Paduka akan kebajikan petugas-petugas Esscom yang terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga dan berjauhan dengan insan tersayang demi memelihara kedaulatan, menjaga keselamatan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat di negeri ini khususnya di Pantai Timur Sabah.
Seperti mana titah Seri Paduka ketika Majlis Santapan Diraja di Kota Kinabalu, kembara ini membina satu lagi jambatan iaitu jambatan silaturahim antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Semasa majlis tersebut, Seri Paduka turut menzahirkan ucapan terima kasih khas atas segala jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh seluruh petugas keselamatan dan awam Esscom termasuk pasukan keselamatan yang berkhidmat di ESS Zone dalam memelihara kedaulatan negeri Sabah.
Insiden yang berlaku pada 10 tahun lepas memberi satu pengajaran yang amat besar kepada kita semua bahawa kedaulatan dan keamanan sesebuah negara itu bukanlah merupakan satu perkara yang boleh dijual beli dan dipandang remeh.
Perkara tersebut telah dizahirkan melalui lawatan Seri Paduka yang bertitah agar integriti wilayah di negara ini perlu terus dipertahankan dan dipelihara oleh semua pihak lebih-lebih lagi membabitkan maruah dan kedaulatan tanah air kita yang tercinta.
Sejajar dengan titah Seri Paduka, kita semua rakyat Malaysia khususnya di Pantai Timur Sabah diseru untuk menghayati nilai kemerdekaan yang telah dikecapi dengan menghayati susur galur sejarah negara yang penuh dengan perjuangan dan pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu dalam usaha membina negara serta berganding bahu dengan pasukan keselamatan dalam memelihara kedaulatan dan nikmat kemerdekaan yang dikecapi ini.
*Imelda Godon ialah Pegawai Perhubungan Awam Eastern Sabah Security Command (Esscom) Kementerian Dalam Negeri
Klik di sini untuk terus membaca