APABILA perniagaan mula berkembang, biasanya ada keperluan untuk melabur dalam aset-aset seperti mesin, jentera, kenderaan dan sebagainya. Pada masa sama, kestabilan operasi menjadi satu perkara penting. Berpindah randah dari satu premis ke... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA perniagaan mula berkembang, biasanya ada keperluan untuk melabur dalam aset-aset seperti mesin, jentera, kenderaan dan sebagainya.

Pada masa sama, kestabilan operasi menjadi satu perkara penting. Berpindah randah dari satu premis ke premis lain akan mengganggu perjalanan perniagaan.

Maka, satu persoalan biasanya dihadapi oleh kebanyakan usahawan ialah perlukah dia membeli premis perniagaan seperti kilang atau bangunan pejabat.

Di samping untuk menjamin kestabilan operasi, mereka juga mungkin nampak usahawan-usahawan lain menayangkan aset-aset milik perniagaan mereka di media sosial sebagai tanda kejayaan.

Ada juga orang mencadangkan pembelian hartanah seperti pejabat adalah pelaburan jangka panjang. Oleh itu, bagaimana persoalan itu boleh dijawab? Ada tiga faktor boleh dijadikan petua bagi menjawab persoalan tersebut.

Pertama, kekuatan modal perniagaan. Setiap aset perniagaan dibiayai sama ada melalui modal atau pinjaman. Jika tak mahu meminjam atau tidak layak untuk mendapatkan pinjaman/pembiayaan, pemilik perniagaan kena menyuntik modal baharu sekiranya mahu membeli hartanah atau aset-aset jangka panjang seperti kenderaan.

Jadi, jika pemilik pun ada had dari segi keupayaan untuk menyuntik modal, pilihan untuk membeli aset mungkin tiada.Pilihan seterusnya ialah untuk mendapatkan pinjaman/pembiayaan daripada pihak ketiga seperti institusi kewangan. Apabila perniagaan meminjam, ia akan ada tanggungan perlu dibayar mengikut perjanjian dengan pihak memberikan pinjaman.

Oleh sebab perniagaan ada naik turunnya, perkiraan perlu dibuat sama ada perniagaan ada kemampuan untuk terus membayar balik pinjaman sekiranya berlaku penurunan dalam perniagaan.

Kegagalan membayar hutang akan mendedahkan perniagaan kepada tindakan undang-undang seperti penggulungan perniagaan atau penjualan aset oleh pihak memberi hutang bagi mendapatkan balik hutang-hutang mereka.

Maka, sebelum berhutang perlu disediakan unjuran perniagaan dan unjuran aliran tunai yang berkualiti tinggi bagi menilai kemampuan perniagaan untuk berhutang. Malah, pihak institusi kewangan akan menilai kemampuan perniagaan membayar balik pinjaman mereka dengan kaedah sama.

Perkara ketiga ialah kesan pembelian aset ke atas modal kerja perniagaan. Perniagaan yang berkembang biasanya memerlukan tambahan modal. Ia bagi membiayai pembelian perkara diperlukan untuk mengeluarkan produk yang semakin banyak dan kakitangan yang bertambah.

Sekiranya sebahagian daripada modal diagihkan untuk pembelian aset, jumlah modal boleh digunakan sebagai modal pusingan menjadi semakin terhad. Ia boleh membantutkan perkembangan perniagaan.

Di samping perkara-perkara di atas, bila pula pembelian aset seperti bangunan menjadi pelaburan? Ia apabila perniagaan menjana aliran tunai yang banyak. Sekiranya tidak dilaburkan, perniagaan hanya boleh mendapatkan sedikit pulangan apabila membuat pelaburan seperti deposit tetap di bank. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada perniagaan yang meletup menyebabkan mereka mempunyai baki tunai besar.

Jika inilah kedudukannya, bolehlah tunai yang besar itu dilaburkan dalam aset, yang digunakan juga oleh perniagaan sebagai tempat operasinya.

Keputusan untuk membeli premis perniagaan mestilah dibuat selepas analisis terperinci dibuat berdasarkan unjuran perniagaan yang disokong oleh data dan fakta mantap.

Sekiranya tak mampu, tiada masalah sekiranya kita hanya menyewa, cuma kena pastikan terma-terma sewa itu membantu dari segi menjamin kestabilan operasi dan tuan premis tidak boleh menaikkan sewa dengan sesuka hati.

Dalam perniagaan, konsep mengukur baju di badan sendiri itu penting termasuk dalam keputusan untuk menyewa atau membeli.

*Datuk Nik Mohd Hasyudden Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji

Klik di sini untuk terus membaca