RAMAI telah menunaikan umrah atau haji di Makkah dan Madinah. Kebanyakan pengalaman dikupas dari aspek syariat Islam. Namun, tidak ramai mengetahui kesan teknologi kejuruteraan dengan pengalaman menunaikan ibadah tersebut.
Penulis ingin mengupas aspek itu, apatah lagi penulis kini berada di Masjidil Haram setelah tiba dari Taif petang Rabu sekitar jam 1.30 pagi waktu tempatan.
Setiba di depan Kaabah, kelihatan ramai sedang melakukan ibadah tawaf. Tidak terkecuali penulis. Selepas kali terakhir melakukan ibadah haji pada 2001, penulis tetap kagum dengan ciptaan Kaabah. Ia sebuah struktur kubus (cubical) di tengah Masjidil Haram yang dianggap tapak paling suci dalam Islam.
Tawaf pula ialah perbuatan mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali mengikut arah lawan jam tanpa henti. Perbuatan tawaf dilakukan Nabi Muhammad SAW dan ia disebut dalam surah Al-Imran ayat 3:96-97. Ia satu cara umat Islam menunjukkan pengabdian kepada ALLAH SWT.
Ibadah haji atau umrah ialah perintah ALLAH sebagaimana disebut dalam surah Al-Baqarah ayat 2:125 bermaksud: "Dan (ingatlah), ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian makam Ibrahim tempat solat. Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail, bersihkanlah rumah-Ku untuk orang yang tawaf, yang iktikaf, yang rukuk dan yang sujud.”Kenapa perlu mengelilingi Kaabah mengikut arah lawan jam? Apakah kaitan saintifik dengan perbuatan pergerakan tawaf melawan arah jam?
Ada asas saintifik dalam perbuatan tersebut. Medan magnet ialah kawasan ruang di sekeliling magnet, arus elektrik atau medan elektrik berubah mengikut daya magnet bertindak. Caj yang bergerak dalam medan magnet mengalami daya berserenjang dengan halaju tersendiri. Medan magnet kekal menarik bahan feromagnet seperti besi.
Medan magnet menghasilkan cas elektrik dan momen magnet intrinsik zarah asas yang dikaitkan dengan sifat kuantum asas dikenali sebagai spin. Medan magnet dan elektrik saling berkait menjadi komponen daya elektromagnet. Medan magnet digunakan dalam seluruh teknologi moden, khususnya kejuruteraan elektrik dan elektromekanik.
Melakukan tawaf dengan melawan arah jam membuatkan penulis teringat pembelajaran fizik tentang ‘Hukum Peraturan Tangan Kanan dan Undang-undang Empat Jari’ atau the Right-Hand Rule and Four Finger’s Law. Ia simbolik mnemonik penentuan arus teraruh dalam konduktor apabila diletakkan dalam medan magnet.
‘Peraturan Tangan Kanan’ menyatakan jika kita membengkok empat jari tangan kanan dengan cara arah lawan jam dan memanjangkan ibu jari ke atas, ia bermaksud arus teraruh (induced).
‘Hukum empat jari’ ialah variasi peraturan tangan kanan yang digunakan untuk menentukan arah daya pada pengalir pembawa arus dalam medan magnet. Ia menyatakan jika kita menghalakan ibu jari ke arah arus dan kemudian melencongkan jari ke arah medan magnet sambil ibu jari menghala ke arah daya pada konduktor.
Peraturan dan hukum itu dikenali sebagai Undang-undang Faraday (Faraday’s Law). Ia menyatakan setiap kali konduktor diletakkan dalam medan magnet yang berubah, daya gerak elektrik atau Electromotive Force (EMF) teraruh dalam konduktor. EMF menyebabkan arus mengalir dalam konduktor dan arah arus ditentukan Peraturan Tangan Kanan atau Undang-Undang Empat Jari.
Peraturan Tangan Kanan dan Undang-Undang Empat Jari serta Faraday ialah kajian penting dalam aplikasi seperti penjana (generators), motor dan pengubah (transformers). Nah, inilah kaitannya dengan ibadah tawaf melawan arah jam.
Mungkin ramai tidak memikirkan simbolik kaitan melakukan tawaf mengikut arah lawan jam dengan hubungan asas antara magnet dan tenaga elektrik. Namun, sangat penting untuk kita memikirkan kaitan ibadah dalam Islam dengan aspek saintifik.
Kesimpulannya, Islam itu syumul dan lengkap. Setiap perbuatan ada kaitan dengan teknologi kejuruteraan. Jika kita sentiasa memikirkan aspek ibadah dan teknologi kejuruteraan, kemungkinan lebih ramai jurutera Islam boleh dilahirkan.
*Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca