YEREVAN - Ribuan rakyat Armenia yang kecewa turun ke jalan raya di ibu negara yang menggesa kerajaan berundur selepas Azerbaijan kembali menguasai Nagorno-Karabakh dalam pertumpahan darah terbaharu sehingga mengorbankan lebih 200 orang dan... Klik di sini untuk terus membaca

YEREVAN - Ribuan rakyat Armenia yang kecewa turun ke jalan raya di ibu negara yang menggesa kerajaan berundur selepas Azerbaijan kembali menguasai Nagorno-Karabakh dalam pertumpahan darah terbaharu sehingga mengorbankan lebih 200 orang dan 400 cedera.

Sebelum ini, Azerbaijan mengumumkan pelancaran 'aktiviti anti-pengganas peringkat tempatan' di Nagorno-Karabakh bertujuan untuk 'memulihkan Perlembagaan'.

Penunjuk perasaan di Yerevan terkejut, marah dan bimbang selepas Azerbaijan mendakwa telah menguasai semula wilayah tersebut selepas melakukan operasi besar-besaran selama 24 jam.

Penunjuk perasaan memegang bendera Karabakh ketika demonstrasi di Yerevan. - Foto AFP

Di atas pentas kecil, pemimpin pembangkang menggesa Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan meletakkan jawatan dan menghasut orang awam menyekat jalan, seperti mereka lakukan sebelum ini.

"Hati kami hancur. Kerajaan perlu membuka koridor kemanusiaan untuk membantu orang ramai, sekurang-kurangnya untuk memindahkan kanak-kanak terjejas.

"Kami meminta kerajaan membantu rakyat,” kata doktor gigi, Victoria.

Sebelum ini, pemisah Azerbaijan dan Armenia dari Nagorno-Karabakh mengadakan rundingan langsung pertama mereka pada Khamis, selepas bersetuju melakukan gencatan senjata yang diusahakan Rusia.

Armenia yang majoriti beragama Kristian dan disokong Rusia manakala Azerbaijan penduduk Islam mendapat bantuan dari Turkiye.

Konflik mula-mula tercetus pada penghujung 1980-an apabila kedua-dua pihak berada di bawah pemerintahan Soviet dan tentera Armenia menawan sebahagian besar wilayah berhampiran Nagorno-Karabakh yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai wilayah Azerbaijan, namun dengan populasi Armenia yang ramai.

Orang awam mendapatkan pelindungan sementara di bangunan di Stepanakert ketika Azerbaijan memperbaharui serangan di wilayah Nagorno-Karabakh. - Foto AFP

PENDUDUK RAYU BANTUAN

Azerbaijan berjaya memperoleh semula wilayah itu dalam pertempuran 2020, yang berakhir dengan gencatan senjata dibantu oleh Rusia dan ribuan penduduk pulang ke rumah mereka selepas melarikan diri.

Penduduk Armenia mengakui mereka kehilangan tempat tinggal serta kelaparan dalam krisis terbaharu yang telah mengorbankan ratusan orang itu.

Krisis yang berlangsung selama berbulan-bulan menyebabkan Azerbaijan menyekat jalan utama menghubungkan Armenia ke Nagorno-Karabakh untuk penghantaran kargo sehingga mencetuskan kekurangan bekalan makanan.

Polis Armenia menahan penunjuk perasaan di pusat bandar Yerevan ketika menggesa perdana menteri meletak jawatan. - Foto AFP

Seorang penduduk, David Vartania berkata, jika Perdana Menteri Pashinyan disingkirkan awal, mereka berkemungkinan dalam menewaskan tentera Azerbaijan.

Penunjuk perasaan pula menyalahkan Rusia, sekutu kuat Armenia yang tidak membantu negara tersebut menentang Azerbaijan yang menerima sokongan kuat oleh Turkiye.

"Tiada siapa selamatkan kami selain tidak mempunyai tentera yang kuat. Jadi, kami bersendirian dan semua orang telah mengecewakan kami,” kata peguam, Angela Adamian. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca