SATU lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) akan berlaku selepas Simpang Jeram dan Pulai. Sejumlah 16,456 pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mereka dua minggu dari sekarang selepas tamat proses penamaan calon bagi mengisi kekosongan... Klik di sini untuk terus membaca

SATU lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) akan berlaku selepas Simpang Jeram dan Pulai.

Sejumlah 16,456 pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mereka dua minggu dari sekarang selepas tamat proses penamaan calon bagi mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, hari ini.

Ketika PRK Simpang Jeram dan Pulai, tumpuan dilihat lebih kepada keupayaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) terutamanya Parti Amanah Negara (Amanah) untuk mempertahankan dua kerusi tersebut selepas keputusan enam pilihan raya negeri (PRN) memperlihatkan Perikatan Nasional (PN) terutamanya Pas terus menguasai sokongan pengundi Melayu.

Walaupun begitu, keputusan dua PRK itu menunjukkan sebaliknya dengan PH-BN selesa mempertahankan kerusi tersebut dan menafikan gelombang hijau PN.

Dengan tumpuan umum sudah pasti kembali terarah kepada PRK Pelangai, hipotesis serupa tentang sentimen pengundi Melayu dan penerimaan kerjasama PH-BN sebagai Kerajaan Perpaduan dijangka kekal tidak berubah.

Dua perkara tersebut akan mempengaruhi, sekali gus menentukan pakatan mana yang menyerlah lantas berpeluang menang di Pelangai.

Atas kertas, Pelangai adalah kubu kuat BN yang berjaya dikuasai sejak Pilihan Raya Umum ke-7 (PRU7) tahun 1986 sehinggalah PRU15 lalu.

Namun kemampuan PN melakukan inroads di Pahang, di sebalik BN masih kekal berkuasa, masih memungkinkan Pelangai bertukar tangan.

Pelangai mengingatkan kita kepada DUN Slim di Perak yang dikuasai BN-UMNO sejak PRU pertama tahun 1959, menang selesa ketika PRK 2020 namun akhirnya berjaya dirampas PN-Pas dalam PRU15.

Slim dan Pelangai mempunyai demografi dan pengundi yang hampir serupa, peratusan pengundi Melayu yang tinggi sekitar 75 peratus dan mempunyai tiga kawasan Felda yang penting untuk dikuasai untuk menang.

Yang membezakan antara kedua-duanya ialah suasana di PRK Pelangai mungkin akan menyaksikan persaingan sengit antara PH-BN dan PN di sebalik kebarangkalian pertandingan tiga penjuru sepertimana sering berlaku dalam PRK.

Sebelumnya, persaingan tiga penjuru antara PH, BN dan Pas lantas menjadikan margin kemenangan parti lebih mencabar untuk diramal.

Untuk rekod, ketika PRU15, persaingan empat penjuru ketika itu menyaksikan BN menang dengan majoriti selesa 4,048 undi dengan calon BN mendapat 7,308 diikuti PN (3,260), PH (2,031) dan Pejuang (65).

Peratusan undi yang diterima BN meningkat lima peratus daripada 52.4 peratus dalam PRU14 kepada 57.7 peratus (PRU15).

Kalau trend itu kekal dalam PRK kali ini, maka BN dilihat tidak berdepan masalah untuk mempertahankannya.

Tambahan pula kali ini PH menjadi sekutu mereka lantas memungkinkan ‘bank undi’ sedia ada bertambah dan menjadi lebih besar.

Jika dikira dan dicampurkan undi BN dan PH, UMNO tidak mempunyai masalah mengekalkan Pelangai untuk kesekian kalinya.

Dua faktor berikut dilihat mempengaruhi keputusan PRK Pelangai sama seperti PRK Simpang Jeram dan Pulai.

Pertama, peratusan keluar mengundi memandangkan persaingan dua parti yang mempunyai tradisi akar umbi antara UMNO dan Pas.

Kedua, margin peralihan undi antara parti di kalangan pengundi Melayu memandangkan persaingan merebut undi kelompok ini tidak akan terpecah kepada tiga seperti sebelumnya.

Justeru, mana-mana parti yang mampu mengurangkan margin tersebut dengan andaian bahawa masing-masing mampu untuk mengekalkan dan mengerahkan akar umbi untuk keluar mengundi, parti tersebut berpeluang untuk menang di Pelangai.

Hal ini turut bergantung kepada faktor calon, kekuatan jentera parti dan isu-isu semasa yang melatari sepanjang tempoh berkempen dijalankan.

Dengan kempen bakal dibuka secara rasmi hari ini, apakah kempen di Pelangai ini juga tidak bebas daripada unsur-unsur yang membakar sentimen kaum dan agama secara berlebihan memandangkan demografi pengundi Melayu yang tinggi serta geografi signifikan kawasan Felda yang strategik?

Tempoh dua minggu menuju hari mengundi pada 7 Oktober kelak begitu menarik untuk diperhatikan.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Klik di sini untuk terus membaca