AWANG tak terkejut lagi dengan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang ‘menuntut’ agar sebuah portal berita meminda atau menurunkan laporan kekecohan Parlimen pada 19 September lalu.
Khabarnya SKMM anggap portal itu ‘menyiarkan kandungan yang tidak mencerminkan konteks sebenar ucapan yang disebutkan’.
Sebelum ini pun SKMM dah tuntut, malah halang beberapa portal berita yang lain menyebabkan lapan tokoh wartawan veteran negara mempersoalkan tindakan berkenaan.
Awang geli hati juga ada orang yang cadangkan mana-mana agensi tengok juga senarai penyata rasmi atau Hansard bagi setiap mesyuarat di Parlimen.
Dalam hansard setiap perkataan dan ungkapan dirakamkan, kata orang putih verbatim.
Jadi setiap kandungan ucapan ada dalam hansard termasuk yang menjerit-jerit dan riuh rendah hari itu.
Pada pendapat Awang, kerajaan kenalah kaji semula apa peranan sebenar SKMM.
Macam kata lapan wartawan veteran itu, mereka tak boleh jadi Big Brother.
Awang yakin pengendali portal berita tahu tanggungjawab dan etika mereka. Mereka tahu batas kebebasan media.
Jikalau ahli Parlimen buat kecoh macam itu dan perbuatan mereka disiarkan secara langsung kepada rakyat, mengapa salahkan portal berita yang melaporkannya?
UNIVERSITI 'TANPA' PERTANIAN
Satu masa dulu, kita bercita-cita nak jadi negara industri, bukan sebarang negara industri, negara industri tinggi.
Macam-macamlah dasar negara yang beri tumpuan ke arah itu. Kita nak buat kereta, nak buat kapal terbang, nak pergi angkasa lepas.
Kita nak keluar dari kandang negara miskin. Masa itu, miskin disamakan dengan sektor pertanian.
Ramailah bijak pandai ekonomi yang kata, kita tak perlu tumpu pada pertanian. Bila kita kaya dan mewah, kita boleh import bahan makanan.
Tak payah susah-susah tanam beras, kita bawa masuk beras.
Kemuncaknya kita tukar nama universiti yang ditubuhkan untuk tujuan pertanian pada tahun 1997, jadi Universiti Putra Malaysia (UPM).
Maka universiti ini tumpu pada bidang lain – ekonomi, bisnes, bahasa, kejuruteraan entah apa lagi. Pertanian hanya salah sebuah jabatan.
Hari ini, kesemua pengeluar dan pengeksport beras terbesar dunia fikir dua kali nak eksport beras negara mereka.
Sekarang ada krisis beras di negara-negara yang rakyatnya makan beras. Dalam negara pula, pengeluaran beras kita bukan bertambah, malah mengecil. Tanah sawah dah jadi tanah industri atau perumahan.
Elok sangatlah UPM kembali kepada asal. Atau buat sebuah universiti baharu khusus untuk pertanian.
Soal keterjaminan makanan akan jadi isu besar kepada dunia, negara kita sekarang dan masa hadapan.
Klik di sini untuk terus membaca