YAN - Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menemui dua arca Buddha hampir lengkap dengan prasasti atau batu bersurat.
Pensyarah Kanan PPAG, Dr Nasha Rodzaidi Khaw berkata, bahan bersejarah itu dikesan ketika melakukan kerja penyelidikan di Tapak Arkeologi Bukit Choras yang bermula 28 Ogos hingga 12 September lalu.
"Ekskavasi arkeologi ini mendedahkan struktur binaan candi lebih besar dan lengkap dengan memperlihatkan separuh daripada bahagian utara dan selatan serta keseluruhan dinding barat.
"Bahagian kaki candi pula memperlihatkan susunan bertangga dan memiliki orientasi bertepatan dengan arah mata angin.
"Arca yang ditemui pula dalam keadaan haus dan pecah," katanya ketika ditemui di lokasi Tapak Arkeologi Bukit Choras di sini pada Jumaat.
Menurut Nasha, keistimewaan candi di tapak arkeologi ini yang pertama ialah keadaannya masih terpelihara.
"Kedua, kami menemui dua patung (arca) bersaiz manusia diperbuat daripada bahan dikenali sebagai stucco...dan penemuan stucco masih belum dilaporkan di Lembah Bujang dan kami cuma ada (penemuan) di Sumatera dan Jawa sahaja," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan kajian awal, wujud persamaan seni bina candi di Bukit Choras dengan candi di Jawa Barat dan Sumatera, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hubungan kebudayaan antara Kedah Tua dengan tapak lain di Asia Tenggara.
Nasha berkata, candi tersebut berkeluasan sembilan meter persegi namun saiz sebenarnya hanya dapat disahkan selepas kerja-kerja ekskavasi yang kini berada pada tahap 40 peratus selesai sepenuhnya.
"Tapak arkeologi Bukit Choras disifatkan sebagai istimewa kerana kedudukannya yang terasing.
"Kebanyakan tapak arkeologi Lembah Bujang terletak di selatan Gunung Jerai, sekitar Sungai Merbok dan Sungai Muda manakala tapak Bukit Choras merupakan satu-satunya tapak terletak di utara Gunung Jerai," katanya.
Katanya, tapak arkeologi Bukit Choras berdiri sendiri dan lebih besar.
"Kita rasa terkejut dengan penemuan candi ini kerana untuk wujud satu candi yang besar, ia kena ada populasi yang besar juga.
"Jadi ini membuka pelbagai bentuk potensi untuk kajian masa depan nanti," katanya.
Mengulas lanjut, Nasha berkata, struktur candi itu juga mempunyai persamaan dengan Tapak Batu Jaya di Jawa Barat dan membawa kepada pentarikhan menyamai zaman Srivijaya.
"Untuk itu, kajian pentarikan karbon dan teknik kronometrik iaitu pendar kilau rangsangan optik atau OSL dilakukan bagi mendapatkan usia candi ini," katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Warisan, Mohd Azmi Mohd Yusof berkata, tapak terbabit diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 pada 28 Disember 2016.
"Ekskavasi ini adalah projek rintis dalam bidang penyelidikan dan pendidikan susulan Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani JWN bersama universiti awam pada Mac lalu.
"Banyak penemuan yang kita buat dan harap dengan penemuan ini dapat merangka semula semua sekali," katanya.
Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, pasukan penyelidik USM menjalankan ekskavasi tapak arkeologi di Lembah Bujang sejak 10 tahun lalu dan dilakukan dengan bantuan dana dari Kementerian Pendidikan Tinggi.
"Jadi kami bekerjasama dengan JWN dan pihak berkenaan bagaimana nak kembangkan pelancongan arkeologi. Satu lagi penulisan sejarah yang sebelum ini banyak kita dapat daripada pengkaji barat tapi sekarang dengan penemuan ini, ia dapat ditambah baik," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca