SHAH ALAM - Sindiket penyeludupan dadah ke Malaysia melalui jalan laut berkemungkinan menggunakan perisik bagi memastikan kegiatan mereka berjaya dan tidak ditangkap oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, perisik ditugaskan untuk mendapatkan maklumat sulit mengenai kelemahan pihak berkuasa seperti laluan selamat yang boleh digunakan mereka.
Katanya, sempadan negara sangat luas dan besar menyukarkan pihak berkuasa untuk mengawal secara keseluruhan kawasan perairan negara.
"Penyeludup dan pengedar ini ada perisik mereka sendiri, mungkin ada orang dia berkawan dengan mana-mana pegawai penguat kuasa atau mereka menggunakan nelayan untuk tahu laluan penghantaran mana yang tidak dikawal.
"Perairan kita ini besar, tidak mungkin untuk penguat kuasa mengawal secara keseluruhan dalam satu-satu masa. Jadi, bila ada orang spy mereka akan tahu laluan mana yang selamat dan tidak selamat digunakan,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Pada Ahad, Maritim Malaysia berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah menggunakan jalan laut dan merampas dadah seberat 1,301 kilogram bernilai lebih RM27 juta dari tahun 2020 sehingga awal tahun ini.
Ia hasil serbuan dilakukan Maritim Kedah dan Perlis di Zon Maritim Kuala Kedah dan Tanjung Sedili serta Maritim Batu Pahat, Johor.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Khairul Anwar Bachok berkata, kesemua dadah tersebut terdiri dari jenis ganja, heroin, morfin, methamphetamine dan MDMA.
Tambah Shahul Hamid, negara Malaysia dijadikan sebagai transit sebelum dadah diseludup keluar ke negara jiran termasuk Indonesia dan Australia sudah lama berlaku.
"Kalau tidak guna jalan laut mereka ikut darat tetapi hakikatnya perkara ini telah lama berlaku sedangkan negara kita ini banyak agensi penguat kuasa untuk membasmi jenayah tersebut.
"Oleh sebab itu, saya rasa kerajaan perlu melakukan kawalan secara berterusan jangan hanya bersifat berkala. Kalau selalu buat saya yakin lama-lama nanti masalah ini akan berkurang.
"Undang-undang kita sudah ketat namun apa yang perlu dilakukan hanyalah memperbanyakkan lagi kawalan,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan dadah adalah musuh utama yang boleh menggugat keselamatan negara.
"Dadah ini sangat bahaya, jika tidak dikawal ia boleh mengancam sesebuah negara,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca