SHAH ALAM - Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof mengesahkan nama beliau belum pasti tersenarai sebagai calon Timbalan Menteri Pertahanan mewakili Parti Amanah Negara (Amanah), walaupun jika penyandang jawatan itu, Adly Zahari benar-benar dinaikkan pangkat menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Jelasnya, hal ini kerana beliau masih belum menerima sebarang surat rasmi berhubung perkara itu oleh Pejabat Perdana Menteri dengan ura-ura pelantikan beliau itu masih di peringkat ‘cakap-cakap’ semata-mata.
Terdahulu, timbul spekulasi bertiup kencang bahawa Anwar mungkin akan mempertimbangkan rombakan kabinet dalam masa terdekat dengan Adly yang kini merupakan Naib Presiden Amanah, disebut-sebut sebagai calon utama menggantikan bekas Menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia akibat pendarahan otak pada 23 Julai lalu.
Sekiranya khabar angin itu menjadi kenyataan, jawatan Timbalan Menteri Pertahanan yang diperuntukkan kepada Amanah akan dikosongkan dengan Azli antara nama disebut-sebut bakal mengisinya selain Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan; Ketua Pemuda, Hasbie Muda; Naib Presiden, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Pengarah Komunikasi, Khalid Samad.
"Belum pasti (tersenarai sebagai calon timbalan menteri). Saya tidak boleh ulas lanjut kerana setakat ini, saya belum menerima sebarang surat pengesahan rasmi (daripada Pejabat Perdana Menteri),” katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.
Untuk rekod, Azli menang kerusi Parlimen Shah Alam dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dengan majoriti 18,095 undian selepas menewaskan tiga lagi calon lain termasuk wakil calon Perikatan Nasional (PN), Dr Afif Bahardin (43,314 undi); Hizatul Isham Abdul Jalil (BN-UMNO) yang memperolehi 28,266 undi dan Muhammad Rafique Rashid Ali (GTA-Pejuang) – 2,781 undi.
Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan akan mengumumkan rombakan kabinet dalam masa terdekat bagi mengisi kekosongan jawatan Menteri KPDN.
Klik di sini untuk terus membaca