SHAH ALAM - Menjadi ahli Parlimen, senator atau menteri bukanlah satu kerjaya, maka wajar untuk kerajaan mempertimbangkan cadangan memansuhkan pencen terhadap kumpulan berkenaan. Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, beliau turut... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Menjadi ahli Parlimen, senator atau menteri bukanlah satu kerjaya, maka wajar untuk kerajaan mempertimbangkan cadangan memansuhkan pencen terhadap kumpulan berkenaan.

Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, beliau turut mencadangkan semua pegawai kerajaan baharu untuk turut sama mengikuti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai simpanan selepas tamat berkhidmat.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa dana yang dimiliki oleh KWSP terlalu kecil untuk menampung komitmen pencen sedia ada yang perlu dibayar kepada golongan berkenaan.

"Sekarang ini, dana KWSP hanya ada dalam RM185 bilion sahaja. Dana ini yang akan digunakan untuk bayar pencen kepada golongan yang bekerja.

"Kemudian mahu bayar pencen kepada suami atau isteri sekiranya individu berkenaan meninggal dunia. Semua ini menelan kos beratus-ratus bilion,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Nungsari, keadaan tersebut menyebabkan semakin besar pembiayaan pencen diperlukan dalam belanjawan tahunan.

"Belanjawan 2023 menunjukkan jumlah perbelanjaan pencen adalah sebanyak RM22.6 bilion dan ia angka berkenaan akan semakin meningkat. Salah satunya disebabkan pencen ‘orang politik’.

"Secara keseluruhannya pencen juga perlu diuruskan sebelum menjadi beban kemudian hari. Salah satu cara dengan menggunakan skim caruman KWSP juga,” jelasnya.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada Khamis dilaporkan mencadangkan supaya kerajaan memansuhkan pencen ahli Parlimen serta ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dan menggantikannya dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai simpanan selepas tamat berkhidmat.

Pengerusinya, Thomas Fann berkata, ada pemimpin yang hanya berkhidmat satu penggal bersamaan dengan empat hingga lima tahun sahaja sebelum berundur, namun tetap menerima pencen seumur hidup.

Klik di sini untuk terus membaca