SEJAK pemerintahan Pakatan Harapan 2.0 hingga sekarang, ekonomi Malaysia masih dalam keadaan lesu.
Harga barang masih meningkat, nilai Ringgit Malaysia masih merosot berbanding Dolar Amreika Syarikat (AS), dan tiada tanda-tanda kemakmuran yang jelas.
Namun, tidak boleh menyalah sepenuhnya kepada kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim memandangkan kerajaan gabungan baru sahaja beberapa bulan memerintah.
Walaupun kerajaan telah berusaha menjana hasil melalui pelaburan asing seperti memorandum persefahaman (MoU) bernilai puluhan bilion ringgit daripada China, ia masih tidak mencukupi untuk meningkatkan pendapatan negara bagi menampung perbelanjaan dan pembangunan yang diperlukan.
Maka, dasar-dasar kerajaan kini menuju ke arah pengurangan subsidi terhadap golongan M40 dan penambahan cukai terhadap golongan T20 dan dasar yang menambahkan beban golongan peniaga.
Contohnya, pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) tarif elektrik, kenaikan kadar cukai pendapatan individu untuk mereka yang memperoleh pendapatan tahunan RM10,000 hingga RM100,000 (sebahagian daripada M40 dan T20) dan kajian mengenai pelaksanaan cukai mewah.
Kini, golongan peniaga dalam kumpulan M40 dan T20 perlu menghadapi bebanan kos kian meningkat, seperti pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dan spekulasi bahawa ia mungkin meningkat kepada RM1,800 pada tahun depan.
Dasar gaji minimum seharusnya relatif dengan status ekonomi negara. Sebaliknya, dasar ini mungkin akan mengalahkan tujuannya.
Dengan penambahan kos pengeluaran secara mendadak, pihak majikan akan mengalihkan beban kos ini kepada pengguna dan bakal memburukkan keadaan inflasi; atau pihak majikan akan mengurangkan jumlah pekerja untuk menurunkan kos menyebabkan peningkatan kadar pengangguran.
Difahamkan, kerajaan juga sedang mempertimbangkan pelaksanaan subsidi petrol bersasar pada awal tahun 2024. Golongan berpendapatan lebih tinggi mungkin perlu membayar mengikut harga semasa antarabangsa.
Golongan T1 dengan pendapatan yang sangat tinggi mungkin tidak terjejas, tetapi sekiranya kumpulan M40 tidak tergolong dalam subsidi bersasar ini, maka mereka yang berpendapatan isi keluarga RM4,850 akan terjejas.
Berkenaan 98 hari cuti bersalin, kelihatan hak golongan wanita terbela. Bagaikan indah khabar dari rupa, dasar ini mungkin akan menjejaskan golongan wanita dari sudut praktikal.
Dengan terlaksananya dasar ini, majikan lebih cenderung menggajikan kaum lelaki dengan kelayakan yang sama.
Keseluruhannya, ini akan memberi kesan negatif kepada pendapatan purata wanita bekerja; kalau tidak, bertambahlah beban dan kos pihak majikan.
Dasar ekonomi kerajaan terhadap kumpulan M40 dan T20 terutamanya mereka yang memiliki perniagaan bagai menanggalkan pohon bakau untuk mendapatkan belacak minyak.
Jika kumpulan T20 dan M40 tidak mampu menanggung beban ini, yang lebih banyak akan menderita adalah seluruh negara.
Jika kerajaan ingin meningkatkan pendapatan negara dalam jangka pendek, dasar-dasar perlu berlaku secara adil dan saksama terhadap semua lapisan masyarakat. Contohnya, cukai barang dan perkhidmatan (GST).
GST adalah sistem percukaian yang telah hampir dilaksanakan di seluruh pelusuk dunia. Sistem ini adil terhadap semua pengguna, manakala barangan keperluan B40 boleh dikecualikan.
Berbanding dengan pemansuhan subsidi atas barangan keperluan M40 dan T20 (T2) dan penambahan cukai pendapatan golongan M40, rakyat Malaysia boleh memilih dan mengawal perbelanjaan mereka. Hanya mereka yang berbelanja lebih akan membayar cukai lebih.
Kerajaan tidak sepatutnya ‘menghukum’ golongan M40 dan T20 yang berusaha untuk menjana pendapatan untuk negara dan mewujudkan lebih peluang pekerjaan.
* Tai Zee How juga dikenali sebagai YouTuber Apek Cina, ialah seorang peguam dan pemerhati politik.
Klik di sini untuk terus membaca