SHAH ALAM - Cadangan supaya kerajaan memansuhkan pencen ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan menggantikannya kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu dibahaskan. Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Cadangan supaya kerajaan memansuhkan pencen ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan menggantikannya kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu dibahaskan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, perkara itu perlu dibawa, diusul dan dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Jika tanya saya secara peribadi sama ada saya bersetuju atau tidak terhadap cadangan ini, bagi saya tak ada jawapan setuju atau sebaliknya kerana ia kena dibincangkan sebab ia melibatkan peruntukan serta memerlukan persetujuan semua ahli Parlimen dan ADUN.

"Jadi kena ada ahli Parlimen atau ADUN bawa usul ini ke sidang dewan untuk dibahas atau dibincangkan secara bersama,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Azli, beliau tidak bersetuju dengan persepsi yang mendakwa ahli politik terutama ahli Parlimen dan ADUN beruntung kerana mendapat pencen walau berkhidmat dalam tempoh singkat.

Katanya, ia kerana kebanyakan ahli politik berkenaan bekerja untuk rakyat bermula dari bawah terutama atas dasar aktivis sebelum dipilih untuk bertanding bagi mewakili parti.

"Ahli politik ini berkhidmat kepada rakyat itu sepanjang tahun walaupun tidak pegang jawatan ahli Parlimen atau ADUN dan kemudian lepas jadi ahli Parlimen dan ADUN pun dia masih berkhidmat kepada rakyat.

"Tugas ahli politik ini juga bukan mutlak seperti seperti penjawat awam yang bekerja mengikut waktu pejabat, contohnya masuk jam 8 pagi dan balik jam 5 petang biasa dan pada hari minggu boleh bersama dengan keluarga.

"Ahli politik ini aktivis yang berkhidmat sepanjang masa sama ada atas kapasiti dia sebagai wakil rakyat atau tidak, dia tetap berkhidmat kepada rakyat. Jadi sebab itu saya kata perlu kepada perbincangan mendalam terhadap cadangan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal juga berpendapat cadangan tersebut mesti dibawa ke Parlimen atau DUN.

"Bahas dalam Parlimen dahulu (untuk lihat pendirian semua ahli Parlimen dan ADUN),” ujarnya ringkas.

Klik di sini untuk terus membaca