SHAH ALAM - Sindiket pemburu haram bukan sahaja memiliki jaringan antarabangsa, malah restoran makanan eksotik dan kedai haiwan peliharaan juga antara rangkaian yang dikesan bersekongkol.
Ini terbukti menerusi siasatan hasil kejayaan 122 kes membabitkan rampasan mencecah RM33.2 juta yang direkodkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman pada tahun ini.
Jenayah penyeludupan hidupan liar itu dikesan membabitkan dalang-dalang dalam kalangan warga tempatan dan asing.
Selain untuk dimakan dagingnya, binang-binatang yang dilindungi dan ada yang hampir pupus turut dijadikan haiwan peliharaan di zoo mini peribadi selain anggota badannya digunakan sebagai ubat-ubatan serta barang perhiasan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi yang dijalankan turut mengesan ada premis-premis kedai menjual haiwan serta restoran-restoran eksotik di negara ini bersekongkol dengan sindiket bagi memastikan bekalan untuk dijual tidak terputus.
Lebih mengejutkan, menurut KDNKA, kegiatan penyeludupan haiwan liar ini merupakan jenayah ketiga tertinggi di dunia selepas dadah dan senjata api.
Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, statistik sejak Januari lalu merekodkan sebanyak 101 tangkapan termasuk 12 wanita terdiri daripada warga tempatan dan asing.
Menurut beliau, mengikut pecahan jumlah tangkapan yang dilakukan, warga tempatan membabitkan 61 orang, Thailand (11 orang), Indonesia (10 orang), Myanmar (10 orang) dan Vietnam (sembilan orang).
"Tangkapan dan operasi ini dijalankan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) di bawah KDNKA. Sebanyak 122 kes membabitkan nilai rampasan mencecah RM33.2 juta direkodkan bagi tahun ini,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian.
Beliau memberitahu, berdasarkan statistik ini, binatang liar seperti babi hutan, rusa sambar, kijang, kancil dan landak sering menjadi sasaran pemburu haram bagi tujuan untuk dimakan dan dijual, manakala tulang, kulit dan bahagian-bahagian badan lain akan diguna dalam perubatan serta ubatan tradisional.
Katanya, bagi spesies burung murai batu pula, ia diburu kerana suaranya yang merdu dan boleh dijual semula oleh pemburu dengan harga mencecah puluhan ribu ringgit seekor dan banyak diseludup ke negara jiran.
"Binatang-binatang ini menjadi sasaran pemburu haram kerana permintaan yang tinggi daripada pembeli.
"Antara tujuan yang dikenal pasti ialah bagi perubatan, dijadikan haiwan peliharaan, koleksi dan barang pameran zoo mini peribadi, dijadikan trofi serta barang perhiasan mewah,” ujarnya.
Beliau memberi contoh, harga pasaran gelap bagi spesies Harimau Malaya atau harimau belang adalah antara RM500,000 sehingga RM1 juta.
"Harga daging hidupan liar seperti musang buah dan tenggiling di rantau Asia Tenggara dianggarkan bernilai AS$80 (kira-kira RM375) bagi setiap sekilogram dan tidak hairanlah sindiket tempatan sanggup bersekongkol dengan sindiket luar negara kerana permintaannya yang tinggi.
"Hidupan liar seperti musang buah dan tenggiling ini amat sukar diperoleh di rantau ini,” katanya.
Tambah Hazani, antara sindiket dikesan didalangi oleh seorang lelaki tempatan yang turut menjadi buruan pihak berkuasa luar negara.
"Suspek dikenali sebagai Teo dipercayai terlibat dalam banyak aktiviti perburuan haram serta penyeludupan serta sangat dikehendaki oleh pihak Interpol (Polis Antarabangsa) termasuk kerajaan Amerika Syarikat kerana terlibat dalam kes penyeludupan sumbu badak, gading gajah dan tenggiling dari Afrika untuk pasaran ke Vietnam dan China.
"Status terkini menyatakan individu terbabit telah ditahan di Thailand pada Jun tahun lalu dan diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk pertuduhan penyeludupan hidupan liar dan pengubahan wang haram,” katanya.
KEDAI HAIWAN, RESTORAN SEKONGKOL
Menurut Hazani, polis mengesan terdapat kedai-kedai haiwan peliharaan yang dipercayai menjual haiwan yang dilindungi.
"Biar pun premis ini mempunyai permit sah untuk menjalankan operasi perniagaan namun turut dikesan pemiliknya yang menyalah guna permit.
"Terdapat beberapa kedai haiwan peliharaan apabila diperiksa, terdapat dalam simpanan atau jagaan kedai tersebut tidak mempunyai lesen untuk menjual atau menyimpan hidupan liar seperti spesies burung macaw yang mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya.
Tambah beliau, tidak dapat dinafikan juga terdapat restoran-restoran yang menawarkan makanan eksotik hidupan liar yang dilindungi.
"Hasil serbuan mendapati terdapat beberapa restoran dikesan bersekongkol dengan pemburu haram atau sindiket bagi memperolehi stok dan tidak putus bekalan mentah hidupan liar eksotik.
"Permintaan tinggi daripada peminat makanan eksotik ini sanggup membayar sejumlah wang yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata, bagi pemburu haram warga tempatan, mereka menceroboh hutan simpan dan memburu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya seperti harimau sebelum dijual kepada sindiket.
"Warga asing pula akan memasuki sempadan Malaysia secara haram melalui lorong tikus dan tinggal di dalam hutan serta memperoleh sumber bekalan makanan dengan memburu hidupan liar yang ada di dalam negara,” katanya.
Jelas beliau, selain itu sindiket turut dikesan menjadikan negara ini sebagai transit sebelum mengeksport ke negara lain.
"Sindiket membawa masuk hidupan liar dari negara asal ke Malaysia secara transit melalui pintu masuk sah dengan memalsukan dokumen.
"Hidupan liar ini kemudian dieksport ke negara lain berdasarkan jenis dan juga permintaan yang ditawarkan,” katanya.
JENAYAH KETIGA TERTINGGI DUNIA
Kata Hazani, antara yang ditumpaskan WCB KDNKA ialah sindiket Musang Bali dan sindiket-sindiket tempatan.
"Untuk sindiket tempatan, WCB berjaya menahan tiga lelaki di Gua Musang, Kelantan pada 23 Februari lalu dan merampas seekor harimau belang yang telah mati.
"Ketiga-tiga suspek ini telah dituduh di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar2010 (Akta 716) di mana dua daripada mereka mengaku salah dan dijatuhkan hukuman penjara, manakala seorang lagi mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya.
Bagi sindiket Musang Bali, WCB telah menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Vietnam pada 28 November tahun lalu.
"Kita berjaya membuat rampasan 59 sangkar berisi musang yang akan diseludup ke luar negara,” ujarnya.
Polis percaya sindiket yang terlibat bukan sahaja tertumpu kepada satu-satu negara sahaja tetapi sebaliknya mereka menjalin kerjasama dengan sindiket dari luar negara.
"Ini disebabkan permintaan terhadap sesuatu haiwan yang tidak ada di negara penerima dan juga faktor nilai harga jualan yang tinggi di negara luar yang mana sindiket memperoleh keuntungan berlipat kali ganda.
"Oleh itu, bagi memudahkan urusan penyeludupan kebiasaannya sindiket tempatan akan mempunyai jaringan dan rangkaian yang baik dengan sindiket luar negara,'' kata Hazani.
Beliau percaya, para penjenayah terbabit sudah tentu memiliki kehidupan yang mewah hasil keuntungan dari jenayah tersebut.
Menurut beliau, risikan dan siasatan sentiasa dijalankan terhadap beberapa individu dan sindiket yang telah dikenal pasti aktif terlibat dalam kegiatan pemburuan serta penyeludupan sama ada melalui kegiatan dalam negara dan luar negara.
Kata beliau, jaringan berkenaan dibina kerana nilai harga jualan hidupan liar yang berasal dari Malaysia jauh lebih tinggi ditawarkan di luar negara.
Hazani berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam jenayah hidupan liar di negara ini.
"PDRM khususnya WCB sentiasa bersama dengan agensi penguat kuasa lain dalam mengesan mana-mana individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam sindiket penyeludupan ini.
"Tindakan boleh diambil di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan lain-lain undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
"Di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646), bagi kesalahan mengimport, mengeksport atau mengeksport semula hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas boleh dikenakan hukuman denda hingga RM 1 juta dan dipenjarakan tidak lebih 15 tahun jika sabit kesalahan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca