URUMQI, XINJIANG - Bagi ‘budak 90an’ siapa yang tidak kenal dengan Mumm-Ra, antigonis utama dalam siri animasi ThunderCats.
Dek kerana animasi itulah, penulis sering mengaitkan mumia dengan Mumm-Ra. Apabila difikirkan semula, betapa naifnya penulis ketika itu. Sudahlah hingusan, terpengaruh pula dengan kartun Barat.
Apa pun, berkat budaya membaca yang diterapkan sejak kecil di rumah menyebabkan pengetahuan penulis mengenai mumia semakin bertambah dan ia bukan lagi mengenai Mumm-Ra!
Disebabkan mumia juga, penulis memasang cita-cita menjadi ahli arkeologi, kerjaya yang tidak pernah difikirkan rakan sekelas lain semasa di bangku sekolah rendah dahulu yang rata-ratanya memilih menjadi pegawai polis, anggota bomba dan guru.
Lebih tiga dekad berlalu, apa yang diimpikan penulis semasa zaman kanak-kanak akhirnya menjadi kenyataan.
Kerjaya sebagai wartawan memberi peluang kepada penulis melihat mumia dengan mata sendiri.
Penulis teruja apabila diberitahu bahawa delegasi media yang dijemput Pejabat Penerangan Dewan Negara China akan dibawa melawat ke Muzium Wilayah Xinjiang.
Difahamkan, muzium berkenaan menempatkan mumia yang paling terpelihara di dunia.
Namun, penulis mengakui bahawa keterujaan itu bertukar 360 darjah apabila memasuki ruang ‘manusia dari milenium terakhir’ di tingkat dua muzium berkenaan.
Perasaan seram timbul setiap kali melihat mayat kering dalam kotak kaca yang dipamerkan untuk tatapan umum.
Jika ia boleh berkata-kata, ungkapan seperti "selamat datang” atau "tinggalkan saya bersendirian” mungkin tersembur keluar daripada mulut mumia-mumia itu.
Loulan si jelita yang sedang lena tidur
Sebuah kotak kaca yang menyimpan sebujur tubuh kaku tidak jauh dari pintu masuk pameran ‘manusia dari milenium terakhir’ menyambut kedatangan penulis dan pengunjung lain.
Di dalam kotak kaca itulah tersimpannya mumia wanita ‘mat saleh’ digelar Loulan si jelita yang dianggarkan berusia hampir 4,000 tahun.
Bagaikan puteri yang sedang lena tidur, mumia Loulan si jelita adalah salah satu daripada 200 mumia yang ditemui di kawasan gurun barat Xinjiang.
Walaupun ia seakan-akan tidur, kecantikan Loulan si jelita adalah penuh misteri dan kontroversi, sekali gus menunjukkan kepelbagaian etnik di kawasan itu yang ketika ini didominasi etnik Uighur yang didakwa ditindas oleh pemerintah China seperti dilaporkan kebanyakan media Barat.
Penulis diberitahu bahawa Loulan si jelita meninggal dunia di Laluan Sutera, di mana pada waktu tersebut dipercayai tiada bangsa kulit putih yang pernah meneroka kawasan sejauh itu.
Loulan berbangsa kulit putih dengan tulang pipi yang tinggi, hidung mancung serta berambut perang dan dipercayai meninggal dunia pada usia 45 tahun.
Semasa digali, Loulan si jelita ditemukan lengkap berpakaian jubah berwarna merah, malah rambutnya juga didandan rapi.
Loulan si jelita ditemui pada tahun 1980 oleh sepasukan ahli arkeologi China di Gurun Taklamakan berhampiran bandar Loulan (juga dikenali sebagai Kroraina).
Wilayah ini dikenali sebagai ‘laut kematian’ kerana kegersangan yang melampau dan keadaan ekstrem serta pernah menjadi oasis yang berkembang pesat di Laluan Sutera purba.
Iklim padang pasir yang kering, digabungkan dengan kemasinan tanah, bertindak sebagai pengawet semula jadi sekali gus membolehkan mumia kekal terpelihara dengan baik selama ribuan tahun.
Pentarikhan radiokarbon mendedahkan bahawa Loulan si jelita hidup semasa Zaman Gangsa awal, kira-kira sekitar 1,800 Sebelum Masihi (sm).
Loulan si jelita dipercayai berbangsa Tocharian, iaitu kumpulan Indo-Eropah yang mendiami wilayah Xinjiang pada waktu tersebut.
Tidak bersendirian
Di ruang pameran ‘manusia dari milenium terakhir’, Loulan si jelita tidak bersendirian kerana dia ditemani mumia lelaki Cherchen yang berambut perang dan berketinggian 1.8 meter.
Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) telah mendedahkan mumia lelaki itu adalah berbangsa Celt (masyarakat zaman besi dan zaman pertengahan Eropah).
Kedua-dua mereka dikebumikan di Laluan Sutera bersama dua wanita lain dan seorang bayi serta dikelilingi ratusan mumia-mumia lain yang bercirikan orang Eropah.
Ia sekali gus menunjukkan terdapat pelbagai pengembara yang menggunakan Laluan Sutera, lebih awal daripada yang dilaporkan.
Apa pun, keberadaan Loulan si jelita di wilayah Xinjiang mencetuskan pelbagai persoalan dan misteri.
Siapakah Loulan si jelita dan mengapakah dia menemui ajal begitu jauh dari tempat asalnya?
Sukar untuk mendapat jawapannya tetapi mumia-mumia yang dikebumikan berdekatan Loulan si jelita adalah terdiri daripada pahlawan, raja-raja, petani dan tukang-tukang yang mahir.
Kesemua mereka dikebumikan sekurang-kurangnya 1,000 tahun sebelum orang berbangsa kulit putih yang dipercayai menerokai kawasan Asia terutamanya di Xinjiang.
Apa yang pasti, hanya Loulan sahaja tahu dan sudah tentu dia tidak akan dapat ‘memberitahu’ penulis mengapa si jelita itu berada di Xinjiang sejak ribuan tahun lalu.
Kini, Loulan si jelita tetap akan bersemadi dalam ‘tidurnya’ bersama lipatan sejarah dan misteri yang belum terungkai.
Klik di sini untuk terus membaca