SEMALAM Arab Saudi menyambut Hari Kebangsaan ke-93 yang menandakan satu sejarah panjang negara yang kini menjaga dua tanah suci umat Islam – Makkah dan Madinah. Sambutan itu mengambil titik 23 September 1932 apabila Almarhum Raja... Klik di sini untuk terus membaca

SEMALAM Arab Saudi menyambut Hari Kebangsaan ke-93 yang menandakan satu sejarah panjang negara yang kini menjaga dua tanah suci umat Islam – Makkah dan Madinah.

Sambutan itu mengambil titik 23 September 1932 apabila Almarhum Raja Abdulaziz bin Abdul Rahman ibn Saud mengeluarkan dekri yang menyatukan kerajaan Najd dan Hijaz di bawah nama baharu, kerajaan Saudi Arabia (Arab Saudi).

Ia mewakili dua nama penting iaitu bangsa Arab dan kaum bani Saud yang menjadi pemerintah. Dekri itu turut meletakkan bahasa Arab sebagai bahasa kebangsaan dan al-Quran sebagai perlembagaannya.

Malah, sejarah pembentukan pemerintah dinasti Saud bermula lebih awal iaitu kira-kira 300 tahun lalu apabila Mohammed bin Saud (1727 M) mengetuai kabilah Bani Saud mengisytiharkan kekuasaan mereka di Diriyah dan menolak berada di bawah empayar Uthmaniyah.

Bagaimanapun, Ibn Saud tidak berjaya menguasai Semenanjung Arab sehingga beliau mengadakan pakatan dengan seorang ulama bernama Syeikh Muhammad Abdul Wahab pada 1744.

Kerjasama Ibn Saud dengan Syeikh Muhammad, ulama daripada Bani Tamim bermazhab Hanbali telah meletakkan batu asas penting kemunculan kerajaan keluarga Saud.

Kedua-dua mereka mempunyai kepentingan berbeza, namun berjaya membentuk persetujuan bersama.

Ibn Saud melihat dari sudut kuasa di Semenanjung Arab, manakala Syeikh Muhammad mempunyai cita-cita untuk mengubah budaya umat Islam supaya kembali kepada asas tauhid ajaran Islam dibawa Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.

Syeikh Muhammad kecewa dengan keadaan di Semenanjung Arab yang telah tercemar dengan amalan khurafat dan pemujaan kubur serta berleluasanya amalan Syiah di Madinah.

Gerakan itu berjaya mengambil alih Najd atau kini dikenali sebagai Riyadh, sekali gus bermulanya asas pembentukan kerajaan Dinasti Saud.

Kejayaan menguasai Najd membuka mata kabilah-kabilah Arab lain untuk menumpahkan taat setia kepada kerajaan Bani Saud dan mula menerima ajaran Syeikh Muhammad.

Ia menandakan permulaan kerajaan Saudi yang pertama dan perkongsian kuasa antara Bani Saud serta keluarga syeikh Muhammad.

Tarikh 23 September 1932 menjadi tarikh keramat apabila Raja Abdulaziz berjaya menguasai sebahagian besar Semenanjung Arab termasuk Makkah dan Madinah serta menamakan semula kerajaan Najd serta Hejaz sebagai kerajaan Arab Saud. Ia merupakan kerajaan bani Saud yang ketiga dan kekal sehingga hari ini.

Sepanjang dinasti Saud, ulama daripada keluarga Syeikh Muhammad dan mazhab Hanbali mempunyai peranan besar dalam pentadbiran kerajaan sehinggalah pada sedekad kebelakangan ini.

Raja Salman dan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman (MBS) dikatakan mula mengecilkan peranan keluarga Syeikh Muhammad dalam pentadbiran hal ehwal Islam negara tersebut.

Antara yang mengesan pengecilan peranan ulama tradisional dalam kerajaan Arab Saudi ialah Pengarah Timur Tengah dan Afrika Utara bagi Moscow Policy Group, Yury Barmin. Ulasan beliau boleh dibaca dalam artikel Can Mohammed bin Salman break the Saudi-Wahhabi pact? (AlJazeera, Januari 2018).

Ada perubahan awal Arab Saudi seperti memberi hak lebih luas kepada peranan wanita pelbagai sektor ekonomi dianggap sebagai pembaharuan yang ditunggu-tunggu. Begitu juga usaha MBS memimpin Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) melalui pelancaran Projek Giga PIF 2030.

Dengan kekuatan kewangan sekitar AS$700 bilion, PIF memfokuskan kepada projek-projek berstatus giga bagi membentuk ekosistem ekonomi baharu untuk Arab Saudi agar tidak bergantung kepada hasil minyak sepenuhnya.

Pemodenan pengangkutan awam seperti Keretapi Kelajuan Tinggi antara Jeddah, Makkah dan Madinah juga antara sumbangan besar kerajaan Arab Saudi bagi memudahkan kembara dakwah umat Islam.

Namun, sejak kebelakangan ini kerajaan Arab Saudi mula berdepan kritikan daripada umat Islam. Keghairahan MBS membawa konsert hiburan dunia dan membeli pemain bola sepak dunia mencecah puluhan bilion ringgit bagi meningkatkan profil negara tersebut mula menimbulkan kecurigaan umat Islam terhadap keutamaan penjaga kota suci itu.

Dari negara konservatif yang dianugerahi sumber minyak untuk menjaga kesucian kota Makkah dan Madinah, Arab Saudi kini bernafsu besar menyertai pemodenan ala barat.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca