KUALA LUMPUR - Dana tertangguh atau Wang Menunggu Dituntut (WMD) yang tersimpan di Amanah Raya Bhd (AmanahRaya) sehingga kini mencecah RM500 juta.
Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata, wang tunai itu adalah milik waris yang tidak dapat diserahkan atas sebab-sebab tertentu dan usaha menjejak mereka sedang giat dijalankan.
Menurutnya, proses mengesan waris bahagian pusaka itu dibuat dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pemimpin masyarakat untuk diagihkan kepada mereka yang berhak.
"Memang kami berdepan dengan cabaran dalam memelihara hak tersebut menurut undang-undang sedia ada. Dalam tempoh itu, kita akan berhubung dengan banyak pihak. Antara punca dana tertangguh ini adalah waris tidak dapat dikesan atau sudah berpindah, alamat yang diberikan tidak tepat dan ada kes waris dinamakan sudah meninggal dunia.
"Bagaimanapun, walau kes itu dibuka lama, masih ada peluang untuk mencari lagi. Tapi jika sampai satu tempoh tidak dapat dicari juga, harta orang Islam akan diberikan kepada Baitulmal manakala bukan Islam akan diberikan kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Konvensyen Reformasi Undang-Undang Pentadbiran Pusaka, Faraid dan Hibah Orang Islam Dalam Era Digital: Cabaran dan Peluang Baru di Wisma Badan Peguam Malaysia di sini pada Sabtu.
Program itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwai Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan, Kamal Bashah Ahmad Tajuddin; Bendahari Majlis Peguam Malaysia, Murshidah Mustafa dan pengarah program, Mohamad Redzuan Idrus.
Tambah Ahmad Feizal, antara cabaran utama berkaitan pentadbiran pusaka adalah kurangnya kesedaran berkenaan pengurusan harta pusaka, kelewatan memulakan pentadbiran pusaka, maklumat dan status waris yang tidak lengkap atau tidak tepat.
Selain itu katanya, ada kalangan waris yang tidak memberikan kerjasama dan bertelingkah serta kegagalan mengemukakan dokumen lengkap.
Klik di sini untuk terus membaca